Thursday, February 3, 2011

Tentang Terjumpa Selebriti


Memandangkan aku bekerja di sebuah kawasan yang menjadi kunjungan ramai, kerap sungguh aku terserempak muka-muka familiar. Mereka ini aku jumpa (perkataan yang tepat ialah "nampak") sama ada ketika aku sedang berjalan untuk pergi makan tengah hari atau ketika aku berjalan ke stesen LRT untuk pulang (pada hari aku dilanda mood malas memandu).

Bila disebut "muka-muka familiar", yang aku maksudkan ialah penyanyi, pelakon, ahli politik dan juga ahli sukan. 

Seperti kebanyakan manusia lain yang ada masa lapang, kelompok selebriti ini juga agaknya suka berjalan tanpa tujuan (aku prejudis lagi, tetapi memang aku nampak ada antara mereka yang mundar mandir sahaja.)

Aku pernah nampak pelawak Nabil dengan seorang gadis kecil molek sedang menuruni escalator (sebelum dia disebut-sebut menjalin hubungan serius dengan pelakon bernama Erma).

Aku juga pernah nampak Jamal Abdillah sedang berjalan dengan trademark barunya - rambut palsu. Alhamdulillah nampak sihat dan berisi badannya.  

Pada satu ketika yang lain, aku juga bertembung dengan Fauziah Ahmad Daud yang baru sudah shopping

Fasha Sanda yang ketika itu berbaju kurung coklat juga pernah aku temui di situ. Dia berjalan laju ditemani seorang wanita seperti sama-sama hendak cepat ke satu majlis. 

Sebagai peminat bola sepak, aku juga cam wajah Shahrin Majid (dari pasukan Selangor) di kalangan orang-orang yang mengunjungi kawasan itu. 

Bagaimanapun ada juga yang aku nampak memang sedang ada urusan pekerjaan di situ.

Aku pernah terserempak dengan Linda Jasmin sedang membuat photoshoot.

Pada satu hari selepas lunch, aku sempat melihat Anita Sarawak memunggah baju-bajunya dari sebuah kereta Mercedes di lobi sebuah hotel di situ, dibantu seseorang (mungkin pembantunya). Aku ingat pertemuan dengan Anita ini kerana suka mendengar suara lembut mesranya bercakap dengan "pembantunya" itu.

Di kalangan ahli politik pula, aku pernah nampak MB Terengganu Dato' Ahmad Said asyik dengan telefon bimbitnya di sebuah pasaraya sambil melayan anak lelakinya yang sedang mencuba seutas tali pinggang. Isterinya pula melayan anak yang lain.

Bagaimanapun, satu lagi yang aku tak boleh lupa ialah seorang selebriti lelaki yang terbabit dalam penganjuran pertunjukan fesyen Islam. Kebetulan aku mengetahui mengenai pembabitan dia dalam pertunjukan ini melalui satu temubual TV.  

Ketika hendak mengucapkan selamat jalan kepada tetamu-tetamu wanitanya, termasuk beberapa artis wanita tahun 90an, selepas majlis selesai,  dia seolah-olah menggayakan aksi laga pipi dengan seorang dramatis. 

Aku yang sedang lalu di situ sangat terkejut dan walaupun pipi mereka tidak bersentuhan, aku rasa aksi itu amat tidak sesuai, apa lagi di satu majlis yang kononnya dianjurkan itu mengenengahkan cara hidup Islam.

 











1 comments:

Anonymous said...

setakat laga-laga pipi tu biasalah bro.mesra gitu.

Post a Comment