Wednesday, March 30, 2011

Tentang Kuih Gandus

6 comments
Apa kuih sedang top di Kuala Lumpur sekarang ? Sudah tentulah kuih gandus di Pasar Keramat. Sedap kah? Entahlah, aku belum merasainya tetapi sekarang ini ramai bercakap mengenainya hinggakan aku jadi mangsa diminta oleh beberapa orang untuk membelinya.

Mereka yang meminta aku pergi membeli ini, termasuk emak saudara aku, teringin sangat hendak merasa kuih itu setelah juadah manis berinti tart nanas itu serta  pakcik dan makcik yang menjualnya di Pasar Keramat itu, keluar Majalah 3  pada 13 Mac lepas dan terus jadi bahan percakapan.

Dengarnya, sebelum ini kuih ini sudah pernah diceritakan di dalam surat khabar juga.



Gambar dari Google

Akulah jadi mangsa untuk membelinya sebab kononnya pejabat aku tidaklah jauh dari Pasar Keramat. Macamana mereka boleh ingat pejabat aku dekat dengan Pasar Keramat entahlah?

Mungkin pada mereka kalau sudah kerja di tengah Kuala Lumpur, kira dekatlah dengan Pasar Keramat itu.

Maka pada satu hari minggu lepas kira-kira jam 11 pagi aku pun pergilah ke Pasar Keramat mencari gerai menjual kuih itu. Mudah saja mencarinya kerana gerai itu merupakan satu-satunya yang mempunyai queue panjang. Panjang hinggakan aku terus mengambil keputusan balik sahaja setelah membuat pemerhatian. Aku kira ada dalam 50 orang sedang berbaris dan selepas 5 minit aku perhatikan mereka yang di depan sekali langsung tidak bergerak (kerana menanti kuih masak).

Jadi congak sajalah berapa lama pula aku kena tunggu kalau aku jadi orang ke 51 masuk queue? Jadi aku beredar saja.

Oleh sebab tak sampai hati nak menghampakan, esoknya aku pergi lagi. Lega hati sebab dari jauh aku nampak cuma ada dua atau tiga orang sahaja di gerai itu. Tetapi apabila sampai betul-betul di depan gerai aku dapati gerai itu sebenarnya kosong dan dua tiga orang yang ada di situ merupakan orang seperti aku yang terpinga-pinga dan sedang tertanya-tanya mengapa gerai tutup?

Seorang lelaki yang menjaga parkir di situ memberitahu gerai terpaksa ditutup kerana inti kuih gandus sudah habis dan pakcik dan makcik berkenaan terpaksa mengambil cuti (menutup gerai) untuk membuat inti sekaligus menggunakan antara 300 hingga 400 biji nanas !

Jadi aku beredar lagi.

Beberapa hari lepas aku pergi lagi dengan tidak meletakkan apa-apa harapan pun. Aku kira ada dalam 23 orang sedang berbaris dan akupun masuk queue mencuba nasib walaupun aku tahu mungkin akan berbaris selama satu jam lebih. Bagaimanapun, sedang aku berbaris itu hujan pula turun dan aku terpaksa beredar pergi untuk berteduh. Aku lihat orang lain tidak berganjakpun walaupun hujan turun. Ada yang berlari pergi mengambil helmet dan masuk queue semula. Aku pula tidak sanggup membasahkan pakaian  sebab sedang bekerja.

Tiga kali pergi masih gagal. Aku bertanya seorang penjual ikan bakar di situ pukul berapa orang mula berbaris untuk membeli kuih gandus itu. Katanya ada kalanya pukul 7 pagi, adakalanya pukul 8 pagi dan ada kalanya pukul 9 pagi sudah ada yang tercongok di gerai itu walaupun pakcik dan makcik itu hanya sampai pukul 10 pgi dan kuih mula masak dan dijual pukul 11 pagi.

Maklumat kuih gandus:

Lokasi : Pasar Keramat

Harga : 40 sen biji

Maksimum order: 20 biji seorang


Monday, March 28, 2011

Tentang Mimy

2 comments

Beberapa bulan lalu ...

... ketika saudara berkumpul beramai-ramai kerana satu majlis keluarga, kami yang malas balik sudahnya tidur saja di ruang tamu. Aku memilih satu ceruk untuk tidur. Bagaimanapun, beralih tempat tidur begitu membuat aku susah lelap. Aku sangkakan aku seorang saja yang begitu. Tiba-tiba aku terdengar suara sepupuku Mimy berbisik. Jelas segala butir buah bisikannya di telinga ku.

"Jangan nakal-nakal. Tak lama lagi mama nak pergi. Siapa nak tengokkan Kimi...?," bisiknya.

Dari ekor mata, aku nampak Mimy berbaring sambil memeluk anaknya Kimi yang sedang nyenyak tidur. Diciumnya Kimi yang baru berumur 4 tahun itu berulang kali.

"Mama sayang Kimi. Mama nak tengok Kimi besar, tapi mama tau mama tak sempat,"  bisiknya lagi perlahan-lahan.

Sesudah siang esoknya baru aku tahu, ada seorang ibu saudaraku yang berbaring di ruang tamu itu juga tidak boleh lelap dan turut terdengar bisikan Mimy. Ia sebenarnya sebuah rintihan. Ini diceritakan kepada ibu saudara lain dan masing-masing menitiskan air mata.

Beberapa tahun lalu ...

... Mimy bertemu jodoh dengan seorang pegawai undang-undang yang bertugas di sebuah majlis bandaraya bernama Nik. Nik sebenarnya adalah seorang bekas pegawai tentera berpangkat leftenan. Dia bukan sahaja good looking tetapi juga berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama. Sejak kehadiran Nik di dalam keluarga kami, dialah yang selalu ke depan apabila membacakan doa di majlis-majlis keluarga. Makcik-makcikku pun apa lagi, tidak habis-habis memuji.

Tidak lama selepas itu, sedikit demi sedikit kami menyedari Nik dan Mimy menghadapi masalah kewangan. Dan entah bagaimana juga, tiba-tiba aku dengar Nik kehilangan kerja. Ekoran dari itu, dia membawa Mimy pulang ke negeri asalnya. Di sana mereka tinggal bersama keluarga Nik dan aku tidak tahu apa yang dilakukan dan apa punca pendapatan mereka ketika itu. Di sanalah juga Nik dan Mimy mengambil anak angkat, seorang kanak-kanak lelaki bernama Hakimi dan dipanggil Kimi sahaja. 

Nasib Nik terbela sedikit apabila seorang bapa saudaranya memberikan dia kerja di syarikat miliknya. Maka kembalilah Nik, Mimy dan Kimi ke Kuala Lumpur. Aku sempat mengunjungi mereka sekali sahaja di rumah baru mereka di Puchong sebelum aku dengar Nik jatuh sakit pula.

Dia kemudian berhenti kerja dan kembali semula ke negeri asalnya bersama Mimy dan Kimi. Dan sedang aku berkira-kira untuk pergi menziarahi mereka, saudara mara lain mula berkongsi cerita bahawa masa untuk Nik sudah tiba. Dan itu memang betul kerana tidak lama selepas itu Nik pulang ke Rahmatullah.

Nik semasa hidupnya adalah mangsa ketagihan dadah dan dia dijangkiti HIV. Itu menjadi punca dia kerap kehilangan pekerjaan dan sudahnya jatuh sakit dan menyerah kepada retrovirus HIV.  

Setelah itu, Mimy mahu menetap sahaja bersama ibu mertuanya di tempat kelahiran Nik. Agaknya dia mahu terus "dekat" dengan Nik. Namun, dia sendiri sudahnya terpaksa menerima hakikat, sebagai isteri Nik, keadaan darahnya sendiri telah tercemar. Mimy telah turut disahkan pembawa HIV. 

Lama juga Mimy menyimpan perkara ini untuk pengetahuan dirinya sahaja. Namun apabila keluarga mendapat tahu, keluarga meminta dia segera pulang dan dia akur.

Keluarga menyewakan dia dan Kimi sebuah rumah di sebelah rumah seorang ibu saudaraku. Kami beramai-ramai menghulurkan bantuan. Di situlah dia membesarkan Kimi yang kini sudahpun masuk sekolah tadika Islam.  

Memang aku dan Mimy selalu berjumpa apabila ada majlis keluarga. Tetapi biasanya dia hanya mendiamkan diri. Dan setiap kali bertemu, selalu sahaja dia meminta aku menangkap gambar dia bersama Kimi dan ada kalanya gambar Kimi seorang. Selepas itu, disuruhnya aku print gambar itu besar-besar. Adakalanya bila aku terlupa kerana sibuk, Mimy akan buat-buat merajuk dengan aku.

Aku sudah tidak dapat mengingat sejak setahun yang lalu sudah berapa kali Mimy keluar masuk hospital. Kulitnya semakin lama semakin hitam dan kasar. 

Beberapa minggu lalu ...

... Mimy dimasukkan ke sebuah pusat perlindungan dan rawatan Islam khusus untuk pesakit HIV. Di sana, dia diajar menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, di rawat dengan ayat-ayat suci Allah di samping ubat-ubatan moden. Dan yang lebih penting disitu dia ditekankan untuk menguatkan diri melalui qiamulail dan sembahyang-sembahyang sunat dan taubat dll. Memang selama inipun Mimy sudah begitu.

Berat aku hendak menyebutnya tetapi Mimy seperti semakin kuat mahu menyiapkan dirinya yang kian hari kian lemah itu untuk satu perjalanan terakhir.

Sepanjang Mimy di situ, Kimi dijaga oleh ibu saudaraku.

Beberapa hari lalu ...

... Aku mendapat tahu Mimy terjatuh di pusat perlindungan dan rawatan itu kerana dia sudah tidak berupaya. Dia segera dikejarkan ke sebuah hospital. Kini dia terlantar di situ dan kami semua memanjatkan doa agar dia tenang, tabah dan segala urusannya dipermudahkan. 





Friday, March 25, 2011

Tentang Moving On

5 comments
Kalau hidup ini seperti permainan-permainan sukan aku memang sentiasa kalah teruk dan kemudian tidak berpeluang pula membetulkan keadaan.

Semalam di Facebook group sekolah lama aku, aku dingatkan mengenai seorang kawan bernama Firdaus yang sudah lama menghilang. Aku memberitahu sahabat-sahabat di dalam group itu kali terakhir aku bertemu Firdaus ialah ketika kami menginjak ke usia 20an di mana secara kebetulan dan tanpa disangka-sangka pasukan kami bertembung dalam satu perlawanan hoki. Aku segera teringat keputusan perlawanan itu. Pasukan aku dibelasah 6 – 1.

Mengingati Firdaus membawa aku terkenang pula kepada satu perlawanan badminton antara aku dan abangku yang berbeza umur cuma 2 tahun. Aku, abangku, Firdaus dan Amir, iaitu abang kepada Firdaus, adalah rakan sepermainan. Aku kalah teruk perlawanan badminton dengan abangku itu 15- 1 dan 15 – 1. Sejak itu, abangku entah kenapa tidak pernah mengajak aku bermain lagi.

Keengganan abangku bermain lagi dengan aku itu membuatkan aku teringat pula kepada perlawanan catur antara aku dengan Mohd Fadzil, bekas rakan serumah aku dulu.

Masa itu dia baru balik dari US dan tinggal dengan aku sementara mencari pekerjaan. Itu kali pertama aku bermain catur dengan Mohd Fadzil dan keputusannya aku kalah. Dengan segera aku memberitahu Mohd Fadzil ingin bermain lagi kerana tidak puas hati kalah.

Mohd Fadzil bagaimanapun bingkas bangun dan sambil berlari ke dapur dan ketawa dia berkata tidak akan bermain catur dengan aku sampai kiamat sekalipun semata-mata kerana hendak memastikan selama-lamanya rekod kekal menunjukkan bahawa dia, Mohd Fadzil, telah mengalahkan aku. Hampeh.

Di lihat dari segi lain juga  jarang sekali kekecewaan yang aku lalui akan mendapat peluang untuk dibetulkan. Ini termasuklah dalam mengejar cita-cita, merealisasikan harapan dan merealitikan impian.

Maknanya, kekecewaan kekal sebagai kehampaan dan lepas itu menjadi titik hitam pula di dalam hidup aku. Malah, ada antara kekecewaan itu yang lebih teruk lagi dari kekalahan 6-1 dan 15-1 hingga aku terduduk dan membisu tak bersuara.

Tetapi ini bagaimanapun membawa aku mengenali perkataan move on. Dan entah sudah berapa kali agaknya di dalam hidup ini aku telah move on.

Aku bernasib baik kerana setiap kekecewaan yang aku lalui dalam hidup ini tidak pula datang dengan diiringi sekali perasaan marah atau dendam. Mungkin ini yang memudahkan untuk orang seperti aku ini move on. To be able to move on, one has to learn to forgive not only the person who have done one wrong but also oneself. Ya aku maafkan saja semua individu-individu yang terbabit di dalam apa jua kegagalan yang pernah aku lalui dan ini termasuklah diri aku sendiri.

Apa yang hendak dimarahkan apabila kita tidak tahu pun punca kenapa kita ditemukan dengan kegagalan dan kita juga bukan boleh meramalkan hasil dari sesuatu usaha melainkan ia adalah suratan takdir kerana Allah tidak mengizinkannya. Tentulah ada hikmah disebalik semua itu dan cuma apa yang kita boleh buat ialah meminimumkan risk supaya tidak jatuh terlalu teruk.

Sesetengah kegagalan di dalam kes aku adalah bersifat kekal dan oleh itu terlalu lama  aku melihat ia dalam bentuk negatif hanya akan memakan diri, menekan emosi dan membuang masa. Jadi biasanya dengan cepat aku mencari dan memilih untuk melihat benda-benda  positif dari sesuatu kegagalan yang mana, malangnya, sudah pastilah tiada apapun dari segi emosinya tetapi ada dari segi pengajaran dan pengalaman.

Lain orang lain caranya. Untuk diri aku, Alhamdulillah mungkin aku berdaya  bangun dengan cepat dan mampu nyahkan sahaja apa yang berlaku. Aku matikan sahaja di dalam mindaku apa-apa kekaburan yang ada sebab sesetengah kekaburan tidak mungkin menjadi jelaspun apabila tiada upaya kita mengelapnya.

Aku juga ringkaskan saja setiap cerita kegagalan kerana tidak ada gunanya pun mengingati kronologi panjang dan plot-plot bagaimana ia berlaku sebab bukan boleh dijadikan drama yang seronok ditontonpun.

Aku sematkan dalam hati dan minda bahawa semuanya adalah okay sebab kadang-kadang bila kita singkap balik kegagalan kita itu, apa yang berlaku  sebenarnya tidaklah teruk sangat. Kadang-kadang kita mungkin rasa tertekan sebab mental penat dan kering kontang dihisap oleh penyakit (masalah dan mainan emosi) yang datang.

Yang penting ialah stay positive kerana fikiran positif adalah lebih terbuka terhadap jalan penyelsesaian berbanding fikiran negatif yang asyik memikirkan benda karut-karut.

Bagaimanapun, barang diingat, setakat menulis seperti di atas dan setakat cakap saja senanglah kan. Sedangkan hakikat sebenarnya ...

Dan Mohd Fadzil mengajar aku bahawa dalam hidup ini bukan semua orang dapat peluang kedua.




Tuesday, March 22, 2011

Tentang Kerjaya Guru

6 comments


Terlebih dahulu aku ingin memulakan catatan ini dengan cerita yang disampaikan sepupuku, seorang guru. 

Dia baru grad dan baru saja mendapat posting tempat mengajar. Nasibnya baik sebab sekolah di mana dia dihantar cuma beberapa kilometer sahaja dari rumah. Nasibnya yang baik ini menjadi bahan "iri hati" (usikan) kawan-kawan kerana ada antara mereka yang telah dihantar ke ceruk pedalaman. 

Jadi inilah cerita sepupu aku itu. Ia mengenai seorang rakannya yang terpaksa mengajar di sebuah sekolah di kawasan pedalaman di Gua Musang.

Dan sekolah di mana rakannya dihantar itu sebenarnya merupakan penempatan Orang Asli. 

Pada satu hari ayah kepada salah seorang pelajar Orang Asli di situ telah datang ke sekolah dengan membawa seekor anak harimau yang baru ditangkapnya. 

Bapa pelajar itu bertanya-tanya kepada guru-guru dan kakitangan sekolah kalau-kalau mereka tahu sesiapa berminat membeli anak harimau. Bagaimanapun apa yang berlaku ekoran tindakannya itu ialah guru-guru dan kakitangan sekolah telah menjadi gempar dan panik. 

Ini adalah kerana mereka tahu apabila anak harimau hilang, si ibu pasti akan datang mencari berpandukan  deria baunya. Dan apa yang ditakutkan ialah bukan setakat datang tetapi si ibu harimau akan mengamuk kerana haiwan ini memang ganas apabila anaknya diganggu. 

Berikutan kejadian ini, guru besar telah dinasihatkan supaya menutup sekolah untuk satu hari kerana bimbang ibu harimau muncul tiba-tiba. 

Maka tak pasal-pasal telah bercutilah murid-murid sekolah itu pada hari berkenaan gara-gara tindakan bapa pelajar itu tadi. 

Di manakah kita boleh mendapat pengalaman seperti yang diceritakan di atas jika tidak di kawasan pedalaman. 

Dan di Malaysia hingga ke hari ini, yang mana tahap pembangunan dan pengagihan pemodenannya tidaklah cepat seperti sepatutnya, profesyen guru masih melalui fasa seperti di atas - berkorban, berhadapan apa saja dan memberikan segalanya demi amanah yang diberi. Situasi kemungkinan terpaksa berhadapan dengan harimau ketika memikul amanah seperti yang diceritakan di atas hanyalah salah satu contoh saja yang berlaku di luar sana. Ada banyak lagi.

Profesyen guru sangat dekat dengan aku. Mana tidaknya kerana ayahku pernah menjadi guru dan kemudiannya guru besar sebelum ditarik ke Jabatan Pendidikan. 

Berikutan jawatannya itu, rumah aku sentiasa dikunjungi guru besar dan guru-guru. Tidak cukup di pejabat, ayahku melayan mereka sampai ke rumah dan jikalau emak tiada, akulah disuruhnya membuat teh O dan kadang-kadang teh tarik untuk dihidangkan.  

Memang pelbagai isu mereka ajukan. Pada satu ketika yang lain, seorang cikgu dari sekolah aku sendiri telah datang ke rumah yang mana membuatkan aku ingin tahu apa halnya. Aku telah menyorok betul-betul di sebalik dinding tempat ayahku dan cikgu itu berbual dan alangkahnya terkejutnya aku kerana cikgu yang datang itu mengadu kepada ayahku mengenai  affair seorang guru lelaki dengan dengan seorang guru wanita. Hal yang diadukan bukanlah mengenai "hubungan" itu tetapi mengenai kelakuan tidak senonoh mereka selalu duduk berduaan di dalam kereta di tempat sunyi di pekan kecil tempat kami tinggal.

Dan aku menjadi lebih terkejut lagi kerana ketika asyik memasang telinga itu aku tidak sedar ayahku bangun dan masuk ke dalam (mungkin hendak ke tandas) dan telah ternampak perbuatan aku menekap-nekap telinga pada dinding kerana hendak mendengar lanjut mengenai affair itu. Teruk aku kena marah hehe.

Rapatnya aku dengan dunia guru hinggakan rumah tempat aku tinggal ketika itu juga sebenarnya merupakan kawasan perumahan yang dibangunkan oleh koperasi guru. Jadi, jiran aku di kiri, kanan, depan, belakang semuanya guru.

Malah aku sendiri nyaris-nyaris menjadi guru sandaran apabila ketika sedang tidak berbuat apa-apa menanti keputusan peperiksaan, ayahku mencadangkan aku mengajar di sekolah di daerah tempat kami tinggal.

Itu bagaimanapun tidak berlaku kerana aku sudah mempunyai rancangan lain untuk diri ku.  

Aku pernah diberitahu oleh seseorang (mungkin emak atau abang sulungku) bahawa ayahku memang mahukan salah seorang anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi guru. 

Tanpa dipaksa, adik perempuanku memilih menjadi guru dan mengambil kursus pendidikan di universiti walaupun asalnya ditawarkan kursus undang-undang. 

Al fatihah buat ayahandaku.

Monday, March 14, 2011

Tentang Aku, Orang Tabligh dan American Idol

10 comments
Selesai solat Maghrib aku terus terfikir mengenai makan malam. Dari KL tadi terus saja balik tanpa membeli apa-apa. Jadi aku kena keluar semula. Bagaimanapun, tiba-tiba teringat pula American Idol akan ke udara dalam masa terdekat. Dengan adrenalin terhadap American Idol agak masih tinggi selepas mengikuti pusingan pemilihan saban minggu, aku membuat keputusan keluar cepat-cepat. Dan jika hendak lagi cepat, beli saja roti.

Sebelum tiba di pintu kedai aku nampak beberapa orang lelaki berjubah dan berserban sedang berlegar-legar di kawasan itu. Aku tahu mereka sedang mencari sesiapa untuk ditarbiyah. Aku segera mencari laluan yang akan memastikan tidak bertembung dengan mereka (jangan ikut perbuatan aku ini!). 

Aku jenis tidak tahu mengatakan tidak dan jika aku ditahan, sudah pasti akan terpacak mendengar syarahan mereka sehingga menjelang masuk Isyak. But please, not tonight!. American Idol menanti. Tarikan JLo juga agaknya.

Sebenarnya aku cam salah seorang daripada lelaki tabligh itu. Maksud cam di sini ialah aku tahu dia siapa tetapi dia tidaklah tahu siapa aku. Dia merupakan bekas CEO sebuah bank. That explains kenapa aku cam dia dan dia tidak tahu pun aku wujud ! Tapi sudah beberapa kali kami solat berjemaah bersama-sama kerana setiap Selasa dia akan berada di surau dekat rumah aku. Rasanya dia memang mengamalkan berkunjung satu surau ke surau yang lain.  

Melihat janggut putihnya, aku agak dia sudah bersara dan mungkin mengisi masa dengan kegiatan tabligh.

Aku berjaya memasuki kedai tanpa terserempak dengan mereka. Setelah dengan cepatnya membeli roti dan beberapa benda lain, aku keluar dan baru beberapa langkah, tanpa aku sangka-sangka mereka sudah berada di hadapanku dan memberi salam !

Aku menjawab salam dan dengan segera merasa serba tidak kena kerana di hadapan aku ialah tiga lelaki berjubah dan berserban manakala aku pula hanya memakai T shirt dan seluar three quarter yang jelas menampakkan betis. 

Tanpa sempat memikirkan respon aku betul atau tidak, secara automatik aku menutup betis dengan roti yang baru dibeli. Aku rapatkan kaki supaya plastik yang tak sebesar mana itu menutup kedua-dua betis aku. Beberapa ketika kemudian baru aku sedar tindakan aku itu agak over sedangkan tiga lelaki berserban di depan aku ini langsung tidak memberi perhatian pada pakaian akupun apa lagi betisku yang terdedah. Lagipun aku sebenarnya masih menutup aurat cuma kalau nak dibandingkan mereka, faham-faham sajalah rupa aku masa tu.

Seperti dijangka, yang banyak bercakap ialah bekas CEO itu. Ringkasnya dia mengajak aku turut sama menyertai kerja dakwah seperti mereka di samping dapat menyedarkan dan menguatkan ketakwaan diri sendiri terhadap Ilahi. Bagaimanapun katanya, hidup kena balance yang mana membuat aku teringat American Idol dah start dah.

Sempat aku tanya pada CEO itu apa dia buat sekarang sebab aku tak fikir dia menghabiskan masa di padang golf apalagi di depan TV menonton rancangan hiburan macam aku buat (sekali sekala hehe).

"Oh after I left the bank, I started my own business. I've got two companies under me and both are listed," katanya. Tambahnya, syarikatnya diuruskan sama seperti syarikat-syarikat lain tetapi apabila masuk waktu sembahyang, hampir tiada ceruk di pejabat syarikatnya yang tidak mendengar bunyi azan. 

Bagaimanapun dia kata dia tahu manusia ada macam-macam jenis dan begitu juga di syarikatnya. Oleh itu dia tidak memaksa lepas azan, semua staff akan terus pergi bersolat tetapi sentiasa berpesan-pesan supaya yang liat akan berubah juga.

Selepas itu akupun balik rumah dan ... menonton baki American Idol.



    


Friday, March 11, 2011

Tentang Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday

7 comments
Hmm lagu Pulanglah nyanyian Awi Rafael ini boleh saja buat aku bertekak dengan someone. Tengoklah liriknya. Ada orang akan kata (aku pasti dia akan kata) liriknya dicemari, tetapi aku akan kata liriknya telah tambah dihiasi. Apa yang aku cakap ni ? Tengoklah liriknya turut ditepek dengan perkataan-perkataan Inggeris. Perkataan Inggeris itu pula bukanlah tak ada dalam bahasa Melayu dan bukanlah bombastic dan dasyat sangat. Jadi mengapa hendak menggunakan perkataan-perkataan Inggeris ini? 

Sesuai dengan aku sekarang yang hendak melayan apa saja di depanku secara ringan saja (kecuali perkara tertentu) maka aku anggap lagu ini dihasilkan sedemikian rupa semata-mata sebagai satu kerja kreatif dan hasil seni yang cuba dijadikan lain dari yang lain. We are now in the world of expressive art (tengok saja macamana grafiti sudah "dibenarkan" di spray merata KL - sakit mata sebenarnya aku tengok).

Jadi tak perlu tengok lagu itu dari sudut "disebaliknya" kerana isu selalunya timbul apabila sesuatu itu kita mula tengok dari sudut lain (berbeza).  

Lagipun masih adakah lagu-lagu kontemporari Malaysia yang layak dikaji dari segi kaitan kreativiti penciptaannya dengan general intelligence. Tak ada.

Teringat temubual seorang deejay radio dengan Edry Abdul Halim. Kata Edry, selera sudah berubah. Katanya selera pendengar hari ini adalah terhadap lagu pakai buang. Kalau aku faham, maksud Edry ialah lagu yang kita dengar sedap hari ini mungkin esok kita tak mahu dengar dah. So layan sajalah sebagai halwa telinga selagi kita suka nak dengar.  

Tapi one thing, lagu Pulanglah ini sangat catchy dan boleh dilayan.

Layan berapa kali?

We'll see.


Lirik lagu Pulanglah oleh Awi Rafael:

Bukalah mata dan lihat dihadapan mu
Aku berdiri tegak tapi kau tak nampak
Mata aku seperti sering kau campak saja
hanya hendak ada yang aku tak ada

Mungkinkah aku yang tidak sekaya
Munkinkah aku yang tidak bergaya
Haruskah aku yang tetap menanti kamu
berikan jawapan

pulanglah sebelumku runaway
Aku menanti kamu everyay
Aku menunggu dari Monday Tuesday, Wednesday, Thursday
tak ingin tak perlu
Pulanglah sebelumku run away
Aku menantimu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
tak ingin tak perlu
Aku dah bingung

Aku berjalan di kota Kuala Lumpur
Semua nampak berbeza tapi ku sama...
 
Awi Rafa

Thursday, March 10, 2011

Tentang Lawatan Ke Ipoh

6 comments
Pia hendak ke Ipoh membawa anaknya Zikrey menaiki choo choo train. Aku sudahpun memberikan tips dan apa yang patut kepadanya. Bagaimanapun aku sebenarnya tidaklah bersemangat sangat memberikan panduan kepada rakan-rakan seperti Pia apabila mereka hendak ke Ipoh.

Jangan salah faham. Aku sentiasa sedia memberikan pertolongan dan panduan jika diperlukan. Malah aku sedia bagi panduan secara lintas langsung sambil rakan-rakan berjalan kaki mencari kedai nasi ganja, sebagai contoh. 

Dan aku sayangkan Ipoh - tanah tumpahnya darahku. Tempat penuh nostalgia pahit manis aku dan keluarga.  

Cuma aku ada kekeciwaan sendiri terhadap bandaraya ini apabila rakan-rakan berkata hendak bercuti, makan-makan dan tengok-tengok apa yang menarik di Ipoh. Kekeciwaan aku berkait dengan cara Ipoh, atau lebih tepat lagi mungkin juga Majlis Bandaraya Ipoh, mempromosi bandaraya ini sebagai destinasi persinggahan dan juga berkait dengan tidak adanya usaha mereka yang bertanggung jawab menyerlahkan daya tarikan lain yang ada di Ipoh. Dan jika Ipoh tiada daya tarikan, apa pula yang mereka lakukan?.

Ya Ipoh ada banyak tempat makan. Kata kawan-kawanku yang berbangsa China, Ipoh merupakan syurga Chinese food. Untuk Melayu seperti aku juga, Ipoh kaya dengan tempat makan sedap-sedap yang berbaloi dicuba dan tidak malu untuk disyorkan pada kawan-kawan.

Tetapi letaknya tempat-tempat makan ini ialah satu di hujung sana dan satu di ceruk situ.

Jadi bagaimanakah caranya seorang pelawat yang cuma berkunjung sehari dua dapat mencarinya dengan mudah dan cepat?.

Selain usaha beberapa pelayar internet mengumpul tempat-tempat makan sedap di Ipoh di forum, blog dan facebook, aku belum jumpa satu panduan rasmi dari mana-mana badan atau jabatan yang mempromosi kelebihan Ipoh sebagai destinasi pelancongan dan tempat makan.

Apabila tiada sokongan dan kerjasama sebegini, maka memang tidak adalah panduan yang boleh diguna para pengunjung untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Walaupun Ipoh tidaklah sebesar mana, untuk move around tetaplah memerlukan panduan, di mana hendak mencari teksi atau hendak naik bas apa dan turun di mana. Tambah sukar, sekarang di Ipoh sudah tidak ada lagi perkhidmatan beca seperti di Georgetown.

Kalau hendak harapkan semua kedai-kadai makanan ini bergabung dan duduk sama-sama untuk lahirkan satu buku panduan .. hmm faham-faham sajalah cara orang Malaysia berniaga. Jaga kepentingan masing-masing dulu dan tak pernah kisahpun pasal faedah economics of scale. 

Selain tempat makan, apa daya tarikan lain di Ipoh? Hmm aku nak kena ingat dulu. Kalau pencinta seni bina bangunan lama sudah tentu lawatan mereka berbaloi kerana Ipoh ada banyak architecture masterpiece dengan pengaruh Moorish yang di bawa oleh Inggeris.

Satu contohnya ialah bangunan stesen KTM ini.

Stesen Keretapi Ipoh

Di depan bangunan ini ada satu teman kecik yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood, Anna and The King.

Kalau kawan-kawan yang datang dari Lembah Klang tak kan aku hendak mencadangkan mereka berkunjung ke taman tema The Lost World of Tambun pula yang sama saja dengan Sunway Lagoon. Kelainannya mungkin adanya kolam air panas dan letaknya di kaki gunung batu kapur.

Kunjungan ke Gunung Lang mungkin juga menarik kalau hendak melihat dari dekat bagaimana rupanya gunung batu kapur. Di situ juga boleh naik bot untuk ke satu pulau. Kalau petang minggu ada banyak  pasangan pengantin Melayu bergambar kenangan di situ (sejak pengantin Melayu dah pandai ikut cara orang Cina bergambar di merata lokasi menarik selepas berkahwin).     

Gunung Lang 

Pada pagi Ahad di tengah-tengah Ipoh ini juga ada flea market yang dipanggil Memory Lane. Ada banyak barang-barang lama dan antik dijual di situ dan manusia yang berkunjung amatlah ramai. Kalau berminat nak cari barang yang boleh membangkitkan semula nostalgia, di sinilah tempatnya.  

Memory Lane
Kredit : Sibikos

Di Tambun sebenarnya ada lukisan zaman purba di satu gua. Tapi bak kata aku tadilah, apa yang pihak tertentu itu buat bagi membolehkan pelancong pergi melawat?

Sepintas lalu, pada pendapat aku, kalau lawatan ke Ipoh hendak lebih bermakna kena keluar dari Ipoh dan berkunjung ke tempat-tempat berdekatan macam Batu Gajah di mana adanya Kellie’s Castle atau ke Bandar di Raja Kuala Kangsar di mana adanya Masjid Ubudiah, Muzium Di Raja Perak dan sambil singgah “Lembah” di tepi Sungai Perak (satu tempat jualan barang-barang tradisional dan ada banyak gerai makan.).

Masjid Ubudiah

Kalau hendak adventurous menjelahi gua, boleh menghala ke Kampar dan singgah di Gua Tempurung. Penjelajahan gua ini ada pakej-pakejnya ikut tempoh masa yang ada kita dan ikut tahap  keberanian kita.

Kalau setakat hendak berjalan kaki di sekitar Ipoh, print dulu peta ringkas Bandar Ipoh. Rancang ke mana anda hendak pergi. Sebaiknya jangan tergesa-gesa. Kalau free and easy, boleh makan banyak. Hehe.

Kalau hendak cuba pelbagai jenis masakan Melayu Perak, cari teksi nak suruh hantar ke Restoran Tasik Raban di sebelah Stadium Perak. Di tepi Stadium Perak itupun ada banyak gerai yang menjual masakan Melayu.

Kalau nak makan nasi kandar sudah semestinya cari nasi ganja atau ada juga yang panggil nasi vanggey (tapi tak sama dan jangan terkeliru dengan sebuah kedai yang menggunakan nama Restoran Vanggey). Nasi ganja ini terletak di Kedai Kopi Yong Suan di Jalan Yang Kalsom. Walaupun kedai kopi Cina, satu-satunya makanan yang dijual di situ ialah nasi kandar dan Cina itu hanya menjual air. 

Kalau lepak sambil makan-makan di sebelah malam, pergi ke Dataran DBI. Di situ segala macam makanan ada.

Selain itu, makanan sedap yang lain dan worth untuk dicuba ialah Mee Rebus Ramli, Mi Kari dan Mi Kicap Mat Jasak, Nasi Ayam Fuziah, laksa di Padang Polo dan ... banyak bebenor yong oi.  

Dan jangan lupa makan kacang putih Ipoh. Terbaik di dunia.










Tuesday, March 8, 2011

Tentang Merong Mahawangsa

4 comments

Sudah bersedia untuk Merong Mahawangsa karya Yusry Abdul Halim?. Ramai mula bercerita mengenainya ekoran trailer yang macam best dan lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim nyanyian Anuar Zain yang menjadi lagu tema filem itu. Lagu yang bikin feeling habis.

Jika tiada aral melintang aku berhasrat menjadi antara yang terawal menonton filem ini nanti. Tayangan bermula 10 Mac ini.

Sebagai sebuah filem bergenre epik, Merong Mahawangsa memaparkan drama kehidupan manusia dengan adunan pengembaraan, peperangan dan tentunya percintaan dan semua ini berlatar belakangkan historical setting yang kononnya berlaku di Kedah Tua.

Itulah daya tarikannya pada aku sebagai seorang peminat sejarah walaupun kewujudan Merong Mahawangsa itu dan kisah yang berlaku sekitar dirinya hanya lebih merupakan mitos dan bukan fakta sejarah. Sekurang-kurangnya begitulah buat masa ini sehinggalah ahli sejarah menemui bukti sebaliknya.

Di pasaran tempatan, filem genre sebegini bolehlah dibandingkan dengan filem epik milik Tiara Jacquelina iaitu Puteri Gunung Ledang. With due respect to Yusry, rasanya keterlaluan untuk aku membandingkannya dengan epik buatan Hollywood yang aku pernah tonton seperti Gladiator, Braveheart, Lawrence of Arabia (aku tengok DVD) apalagi epik fantasi seperti Star Wars dan trilogi Lord of The Rings. Bagaimanapun, aku suka kalau aku dibuktikan salah.

Pada aku, Merong Mahawangsa tiba tepat pada masanya kerana aku rasa pasaran tempatan dah banyak sangat filem-filem bernada serupa seperti Jangan Pandang Belakang Congkak, Damping Malam, Momok The Movie dan Di Sini Ada Hantu. Malah aku dengar masih ada banyak lagi cerita-cerita ala-ala hantu sebegitu yang bakal memasuki pawagam seperti Momok Jangan Panggil Aku, Karak, Senjakala dan Keramat Flat 3A.

Balik kepada Merong Mahawangsa, oleh kerana berbekalkan bajet sehingga berjuta ringgit, sudah tentu banyak yang kita harapkan dari filem ini. Pertamanya ia diharapkan memang sebuah filem yang bagus dari segi garapan jalan ceritanya dan pembikinannya sendiri sebagai sebuah filem epik yang meninggalkan kesan.

Keduanya, diharapkan Merong Mahawangsa dapat mendekatkan lagi peluang melihat penggiat filem tempatan memenangi sesuatu di Oscar Award . Jika masih ingat, paling dekatpun filem Malaysia memenangi anugerah Oscar ialah melalui  Puteri Gunung Ledang yang berkedudukan tempat ke 49 dalam senarai pendek kategori Best Foreign Language Film tahun 2004.

All the best.  

Tentang Meneruskan Hidup Dengan Lawak Jenaka

3 comments

Pakcikku ini kalau dibiarkan bercakap boleh membuat kita ketawa pecah perut. Dia kelakar. Dan dengan kebolehan berjenaka begitu, dia mampu melihat semua isu hidup dari sudut yang ringan tanpa mengenepikan hakikat bahawa pentingnya isu itu ditangani.

Kalau ikutkan, hidupnya dibelenggu segala macam masalah dan takdir yang mungkin akan dikeluh oleh sesetengah orang. Kakinya kudung, dipotong kerana diabetes. Anak lelakinya, yang masih kira budak lagi, sudah menjadi pesakit darah tinggi. Seorang lagi anak perempuannya bisu. Perniagaannya pula lingkup hasil campurtangan orang politik. 

Memang ada kalanya dia nampak duduk diam, agaknya memikirkan tentang kehidupannya tetapi bila kita ada berdekatan, ada saja benda lucu yang keluar dari mulutnya. Dan bahan lawaknya itu selalunya berkaitan diri dan masalah hidupnya sendiri.

Semasa minum petang dengannya Sabtu lalu dia bercerita mengenai kaki palsu barunya yang berharga RM12,000 dan sudah tentunya lebih selesa berbanding kaki palsu lamanya yang  berharga RM6000 lebih. Aku tidak tahupun kaki palsu semahal itu.
Katanya kaki palsu lama itu banyak masalahnya. Contohnya, satu hari ketika menunggang motosikal dia telah berhenti di satu simpang kerana lampu merah. Apabila lampu hijau, dia segera menekan  gear kaki menggunakan bahagian tumit kaki palsunya kerana untuk orang sepertinya, disitulah bahagian yang kuat.

Entah macamana tumit kaki palsunya tersangkut pada gear dan apabila cuba ditarik, keseluruhan kaki palsu itu telah tercabut dan terkulai jatuh di atas jalanraya.

Masa itu katanya beberapa orang perempuan yang ada ditepi jalan telah menjerit dan ada yang menutup muka kerana menyangkakan yang terputus itu adalah kaki betul 

Katanya beberapa lelaki lain yang ada berhampiran juga mulanya terkejut tetapi ketawa berdekah-dekah setelah menyedari apa sebenarnya yang berlaku.

Kata pakcikku dia sendiri pun turut ketawa sama semasa mengambil kaki palsunya itu di atas jalan raya.

Kemudian pakcikku bercerita bagaimana berpuluh tahun dulu dia pernah berjenaka dengan emaknya sendiri ketika kaki emaknya juga hendak dipotong dahulu. Katanya dia telah memberitahu emaknya doktor nak potong kaki emak sebab nak pinjam untuk buat kajian kejap.

Aku tak tahulah apa respon nenek saudara aku bila mendengar anaknya berjenaka macam tu. Mungkin jenaka ada tempat dan ada caranya. Dan mungkin juga berjenaka begitu hanya boleh dibuat orang tertentu sahaja.



Thursday, March 3, 2011

Tentang Hantaran Perkahwinan

4 comments
Kalau hendak membuat hantaran perkahwinan jangan memandai sendiri tetapi rujuklah pada pakar - siapa lagi kalau bukan makcik-makcik kita.

Aku bukanlah suka ambil tahu pasal barang hantaran dan persiapan kahwin saudara mara ni dan pembabitan aku biasanya cuma berkaitan fotografi sahaja (jika ada yang kurang bajet mengupah jurugambar, akulah diminta mengangkat kamera dan aku tidak menolak asalkan mereka faham mutu gambar aku banyak kekurangan).

Jadi biasanya kalau ada mesyuarat sempena majlis perkahwinan saudara mara ni, tujuan utama aku hadir cuma untuk makan dan menyakat mengusik sepupu-sepupu dan anak-anak buah saja, mana yang patut. So, rekod kedatangan aku memang bagus.

Di samping itu, apabila ada mesyuarat keluarga seperti ini, aku juga suka mendengar (tak boleh elak sebenarnya) komen-komen emak-emak saudara mengenai apa saja menjelang majlis berlangsung.

Selalunya ini berkaitan perkara yang layak diberi tajuk besar iaitu "BENDA-BENDA YANG TIDAK KENA."

Ya, pada pada emak-emak saudaraku, ada banyak benda-benda yang tidak kena. Otai knows best kan? Sudah menjadi kebolehan mereka menghidu benda yang tidak kena dan orang seperti aku dan sepupu-sepupu aku yang tak kisah ini, harus mendengar dan mengambil iktibar teguran mereka, walaupun telinga pedih.  

Perkahwinan sepupu aku hujung minggu lepas juga tidak terlepas - ada yang mereka kesan tidak kena sehari dua sebelum akad nikah.

Yang pertamanya, sepupu aku yang busy ini telah main order saja barang hantarannya dari satu laman web. Padahnya dekorasi barangan hantaran berkenaan, yang pada aku sudah cukup cantik, telah tidak menepati cita rasa makcik-makcik aku.

Dan ini disedari salah seorang makcik aku sehari dua sebelum pernikahan berlangsung kerana memang kebiasaannya apabila majlis sudah hampir barulah mereka (makcik-makcik aku) datang buat final inspection. Kata makcik aku, bunga yang menghiasi hantaran itu terlalu kecil dan tak sama dengan yang ditunjukkan di laman web.

Dan apabila masalah begini dikesan, yang terpaksa membetulkan semula keadaan ialah siapa lagi .... makcik kita juga.

Seorang makcik yang handal kratftangan datang dengan bakul ajaibnya yang penuh riben, gam UHU, bunga tiruan plastik, bunga tiruan kertas pelbagai saiz dan dawai berwarna hijau dan duduklah dia membuat kerja-kerja alteration sambil ditemani komen-komen siaran langsung dari makcik-makcik yang lain pula.

Seperkara lagi, sepupu aku yang mahu berkahwin ini menggunakan terlalu banyak gajet sebagai hantarannya. Aku diberitahu ada laptop (tapi aku tak nampak pula) dan ada Blackberry, kamera DSLR Nikon D90 dan jam tangan yang aku tak sempat belek.

Oleh kerana terlalu banyak gajet (empat banyak kan?) maka sepupu aku tanpa berunding dengan makcik-makcik aku telah memutuskan supaya kuih kacau (sejenis manisan tradisi dibuat dari labu yang dikacau seperti dodol tetapi berwarna hijau) dikeluarkan dari senarai barang hantaran.

Ini membuat makcikku menggaru kepala. Katanya ini tidak kena sebab kuih kacau sudah menjadi identiti keluarga dan wajib dijadikan  barang hantaran dalam apa keadaan sekalipun.

Ketika makcik-makcikku tengah kecoh pasal kuih kacau itu, seorang sepupu lain yang bakal kahwin bulan Julai depan pula membuka cerita dia baru saja rancang rancang nak letak remote control TV atas dulang hantarannya nanti.

Katanya bukan apa, ini cara dia nak jimat belanja. TV tu sebenarnya sudahpun dibeli dan digunakan sekali sekala. Jadi bila nak kahwin nanti sepupu aku ini suruh makcik aku ikat saja remote control tu dengan riben cantik-cantik dan letak atas dulang.

Mendengar ini, seorang makcik aku terus angin dan mula pot pet pot pet. Aku cuma sempat dengar perkataan "tak pernah dibuat orang" saja sebab aku dah lari keluar untuk tambah makanan.