Monday, June 18, 2012

Tentang pertemuan di sebuah menara

7 comments
Ketika dia mula muncul dari belah tepi tempat aku menunggu itu, tiba-tiba rasa saspen menyelubungi diri. Ini mungkin kerana apa yang terpandang olehku pada dirinya pada pagi itu ialah seorang manusia yang serius, diam dan tidak mempunyai apa-apa reaksi melihat aku menantinya di situ.

Aku antara percaya dan tidak yang muncul itu adalah dia yang kemudiannya melangkah masuk dan berdiri di depanku. Bagaimanapun, saspen itu hanya beberapa detik. Sebaik kami bersalaman dan aku mencium tangannya, perasaan saspen itu hilang begitu saja. Dia duduk di kusyen jingga (aku sudah dimaklumkan oleh PA nya memang dia akan duduk di situ). Aku pula menyelesakan diri di kerusi yang aku tarik rapat. Dia senyum mendengar butir buah perkataan yang aku ucapkan. Apa yang aku ucapkan padanya sebenarnya hanyalah bertujuan meredakan keadaan diriku sendiri. Sepanjang pertemuan itu dia banyak senyum sahaja mendengar beberapa komenku, antaranya, pernah melihat dia membeli juadah berbuka puasa di Jalan Raja Alang beberapa tahun lalu dan beberapa usikan lain. Betul kata orang dia memang tidak banyak cakap dan seperti pemalu walaupun hakikatnya suaranya pernah dominan dan menjadi authoriti di negara ini dan kritikan lantangnya terhadap Barat dan Yahudi memang meninggalkan bekas.

Sudah nampak susut badannya dan pergerakannya agak perlahan. Namun sepanjang perbualan, ternyata ingatan dan buah fiikirannya tetap tajam. Leka aku mendengar setiap pertanyaanku dijawab dengan penuh kebijaksanaan dan berdasarkan fakta semata-mata. Bukan retorik dan cakap kosong. Dan dia juga boleh bergurau. Ketika kami bergambar sebagai kenang-kenangan, aku berkata padanya sudah lama menunggu untuk bergambar dengannya. Balasnya, dia menunggu lagi lama, 87 tahun, barulah dapat bergambar dengan aku!.  Haha. Sebelum berpisah, aku mengucup tangannya lagi dan mendoakan moga dia terus sihat wal afiat.



Pejabatnya.