Friday, February 25, 2011

Tentang Kehidupan Umbut Kelapa dan Ikan Sungai

Antara tempat yang pernah aku kunjungi atas tuntutan tugas dan tidak pernah lupa ialah Hulu Tembeling di Pahang. Hulu Tembeling terkenal dengan Taman Negara. Walaupun ketika kunjungan aku ke Hulu Tembeling itu memang aku sempat singgah Taman Negara, tetapi apa yang membuat aku tidak lupa sebenarnya bukanlah pengalaman di Taman Negara yang popular itu.

Sebaliknya apa yang kekal segar dalam ingatan ialah kampong-kampong yang aku dan kumpulanku singgahi dan bermalam seperti Kg Bantal, Kg Mat Daling, Kg Kuala Sat, Kg Pagi dan Kuala Tahan yang terletak di daerah Hulu Tembeling.  

Sebenarnya sepanjang kunjungan selama enam atau tujuh hari itu aku bukan sekadar menjumpai kampong-kampong tradisi yang disebutkan tetapi telah menemui kehidupan-kehidupan dan manusia-manusia berketurunan Melayu yang aku tidak pernah tahupun wujud dan tinggal di tengah-tengah hutan di bumi Pahang.

Tidaklah aku berniat merendah-rendahkan apabila mengatakan mereka tinggal "di hutan" tetapi apa yang ingin aku sampaikan ialah perihal terkejutnya aku bertemu mereka di situ dan mengenai penemuan aku tentang sebab mereka berada di situ.

Mungkin aku jadi terkejut kerana tidak membuat homework terlebih dahulu dan boss aku pula ketika meminta aku ke situ cuma menamakannya Hulu Tembeling dan Taman Negara sahaja.    

Beginilah rupanya ketika menaiki bot di Hulu Tembeling. 

Pengangkutan kami untuk sampai ke kampong-kampong ini ialah bot. Inilah satu-satunya "kenderaan" yang boleh tiba di kampong-kampong berkenaan (sekarang aku dengar kenderaan pacuan empat roda sudah boleh tiba ke Kg Mat Daling dan lori-lori balak juga semakin rakus menggasak kawasan ini).

Tidur pula kami berkhemah dan ada yang di dalam bot sahaja. Kumpulan kami terdiri daripada petugas-petugas pakar dalam bidang masing-masing dan mewakili jabatan atau syarikat masing-masing. Aku saja yang bukan pakar apa-apa. Tahulah aku ni macamana kan ...

Semua kami bergerak bersama-sama singgah satu kampong demi satu kampong untuk memberikan perkhidmatan masing-masing seperti hal berkaitan tanah, kesihatan, pergigian, pendaftaran (kad pengenalan dan surat beranak) dan memperkenalkan saham amanah sebagai tabungan masa depan. 

Di sinilah bermulanya emosi aku disentuh apabila melihat doktor gigi dan pembantunya yang datang bersama kami gigih memasang kerusi untuk memeriksa gigi sekadar ditepi sungai dan di bawah rimbunan buluh yang daunnya tunduk menjurai bagaikan tabir. Orang-orang kampong beratur menunggu giliran.

Seorang doktor pula menjadikan sampan sebagai "klinik" dan di tepi sungai berbaris panjang mereka yang hendak bertemu "tuan doktor."

Sama halnya jabatan-jabatan lain masing-masing mencari tempat sesuai "membuka meja" dan orang-orang kampong sabar menanti giliran. Dan ketika aku sendiri asyik (menyibuk) dengan tugas, sempat juga terperasan jabatan pendaftaran menguruskan orang-orang yang hendak membuat kad pengenalan dan "studionya" di tepi sungai itu sahaja. Aku sayu.

Aku diserang 1000 tanda tanya siapakah masyarakat Melayu ini dan mengapa mereka memilih tinggal di sini, tempat yang hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai. Jauh dari kemudahan dan pembangunan.

Curiosity is lying in wait for every secret.

Dan aku pun mula bertanya. Tulisan ini jauh sekali dari menjadi satu kajian apa-apa sebab aku hanya bertanya sepintas lalu dan jawapan yang aku terima juga serba ringkas.

Pada zaman dahulu, pahlawan-pahlawan Melayu yang menentang Inggeris terpaksa hidup berpindah randah mengelakkan diri dari dikesan dan ditangkap penjajah. Dan di Pahang, Sungai Tembeling merupakan laluan utama bagi pemimpin Melayu ini seperti Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau lari sampai masuk ke Terengganu dan ada yang terus ke Kelantan dan Siam.

Ini menjelaskan kenyataan seorang pakcik yang aku temui di Kg Bantal bahawa penduduk di kampong itu adalah keturunan Mat Kilau. Apabila aku google, memang ada pihak lain yang turut menyebut Kg Bantal itu pernah menjadi laluan Mat Kilau ketika berperang dengan Inggeris.

Tidak hairanlah jika keturunannya memang masih ada di situ sebab ada kalanya anak-anak kecil dan ibu-ibu mereka ditinggalkan saja.

Ketika di situ juga, ada seseorang dalam kumpulanku yang mula bercakap mengenai apa yang dirasainya  tentang kelainan falsafah yang dipegang masyarakat Melayu di situ. Katanya dia memerhatikan betapa tingginya sifat percayai mempercayai sesama sekampong, tolong menolong dan kekentalan hati mereka. Sumber rezeki dikongsi bersama dan tiada amalan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana enau sekarang sudah duduk di USJ Subang Jaya, Denai Alam, Bandar Seri Putra (Bangi) dan Jade Hills (Kajang).

Dan di situ, kami dijamu makan malam dengan umbut kelapa, pucuk paku, ikan sungai, daging landak dan sepertinya dengan ditemani bunyi aliran sungai dan cengkerik dan mendengar pelbagai kisah kehidupan yang diceritakan dalam loghat Pahang yang tebal. 

Kata mereka, maaflah itu sahaja rezeki yang ada sedangkan di benak kami pula muncul seribu kekaguman melihat bagaimana hidup boleh tetap sempurna di mana sahaja.

Kata mereka, mereka serba kekurangan hinggakan kami terpaksa datang secara berkala memberi perkhidmatan. Tetapi pada kami pula, kami yang datang untuk belajar kerana selalu lupa untuk bersyukur. 

6 comments:

watachiwa said...

ade letrik x umah deme?

Rin Ahmad said...

tak ada ke gambar2 dorang tu HK?

hk said...

Watachiwa, ada kampong yang ada dan ada kampong yang tak ada. Di Kuala Tahan ada sebab dekat Taman Negara. Yang tua-tua ada yang jarang tengok kereta sebab kos ke Jerantut naik bot ibarati perbelanjaan hidup mereka untuk dua minggu. Tapi aeroplane deme biasa tengok sebab terbang atas.

Rin, akan diusahakan. CD travel hilang masa pindah. Di ofis lama adalah tapi itu milik Company.

plug2pin said...

aku teringin pi tmpt2 gitu..suka tgk kehidupan org lain

teringat pi kmpg org asli kat pulau banding....

Cik Liza said...

hidup mereka mungkin susan dah tidak sempurna di mata kita


tapi... aku bet
mereka lagi "tenang" dari kita dalam semua aspek...

huhuhu

Mama Datt n Dania said...

ngaper gmbo mike blurr?


teman tingin bebenorr nak kenai mike.. cer tunjuk cer citer..


kekekekeke..

Post a Comment