Monday, February 7, 2011

Tentang Reunion Dan Masalah Yang Timbul


 
Selepas ini aku akan cuba mengelakkan diri dari menjadi penganjur Reunion. Reunion atau pertemuan semula bekas-bekas rakan sekolah sepatutnya sesuatu yang menarik kerana di situlah dapat bertemu semula mereka yang sudah lama terpisah, bertanya khabar dan bermaafaan atas perselisihan silam.

Tetapi ada kalanya Reunion boleh menjadi lain pula seperti yang aku alami.  

Menganjurkan reunion bukanlah sesukar mana apabila nama-nama yang patut dijemput dan nombor handphone serta e-mail address mereka sudah ada dalam simpanan. Tanpa di sedari, tiba-tiba sudah ada 50 nama di dalam senarai menyatakan mahu hadir Reunion yang bakal dianjurkan!. 

Lalu mesyuarat sambil makan tengah hari dipanggil dan mereka yang datang diberi tugas. Aku menjadi penghulunya. Beberapa ex classmates perempuan diberi tugas memilih venue dan menentukan menu dan tugas ini mereka sambut dengan gembira. Selepas jemputan dikeluarkan melalui SMS, BBM, facebook, Tweeter dan e-mail, words get around dan lebih ramai pula muncul entah dari mana menyatakan mahu datang. Makanan ditambah.

Tiba-tiba timbul pertanyaan di kalangan penganjur, apa hendak dibuat semasa reunion? Adakah berjumpa dan makan serta ucapan sahaja?. Lalu gambar-gambar lama dikumpul dan dijadikan slide show. Seseorang mencadangkan masukkan "lagu popular masa kita" sebagai muzik latar slide show itu, tapi akhirnya yang aku dengar cuma lagu Yesterday sahaja. Itu memang "lagu rasmi antarabangsa" untuk situasi bernostalgia agaknya. 

Selain itu diadakan pertandingan menyanyikan lagu rasmi sekolah. Si pencadang yakin ramai yang sudah lupa. Bagi mengingati bekas-bekas guru, diadakan pula pertandingan meniru gaya cikgu favourite.    

Maka pada hari ditetapkan berlangsunglah Reunion kami dalam suasana santai tetapi sangat mengujakan. Ada yang datang dari dekat, dan ada yang terbang dari jauh untuk bertemu semula.
Gambar hiasan semata-mata. Malah tahun itupun tidak tepat.

Bermula dengan komen ala-ala terkejut melihat perubahan paras rupa dan pertambahan ukur lilit pinggang masing-masing, topik perbualan segera memasuki bab gossip mengenai kawan-kawan - kegagalan percintaan sesama rakan sekolah, rumah tangga yang singkat usia, rakan-rakan yang mendapat limpahan rezeki dan pekerjaan hebat, rakan-rakan yang kurang bernasib baik dan lain-lain.

Aku pulang dengan seribu memori dan cerita terbaru kawan-kawan. 

Esoknya baru aku diberitahu rupanya ramai yang terus melepak sampai dinihari berborak di lobby hotel, catching up with old friends talking about the old times. 

Malah turut sampai ke telinga aku ialah kisah seorang ex classmate wanita yang keluar naik kereta berduaan di tengah malam itu dengan seorang ex classmate lelaki. Apa tujuan mereka bukanlah sesuatu yang perlu aku selidik. Nanti dikatakan menjaga tepi kain pula. 

Bagaimanapun aku sudahnya tidak dapat lagi mengelak apabila mula menerima sendiri panggilan yang mengadu berlaku pergeseran suami isteri, perselisihan sesama kawan baik dan lain-lain lagi ekoran Reunion yang kononnya aku terajui itu.

Oh, Reunion yang seharusnya indah sudah jadi begitu pula?
Hendak tak hendak, terpaksa juga menadah telinga dan menasihatkan mereka supaya mengatasi masalah dihadapi baik-baik dan melupakan saja perselisihan faham dan rasa kecil hati di antara mereka. 

Kalau diceritakan (ya aku akan ceritakan) isu-isu yang berbangkit, rasa seperti keanak-anakan pula: 

1. Rakan perempuan yang keluar dengan rakan lelaki kami itu (yang disebutkan tadi) mengamuk bila diketahui rupanya dia diekori beberapa rakan lain yang sengaja nakal hendak busy body

2. Seorang rakan perempuan malu besar apabila suaminya terbaca SMS penuh mesra yang dihantar kepada bekas kekasihnya masa sekolah dulu. Dia mengadu pada aku dia kini dilarang menghadiri apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh sesiapa saja dari sekolah kami. 

3.  Seorang rakan perempuan berkecil hati setelah mendapat tahu semasa Reunion itu, dua tiga orang kawan perempuan yang lain telah menyewa bilik hotel bagi memudahkan mereka menukar pakaian dan berdandan bagi menghadiri Reunion itu tetapi dia telah tidak diajak sama.  

4. Seorang rakan lelaki  dilarang isterinya masuk ke bilik setelah mendapat tahu kekasih lama suaminya itu hadir sama di Reunion itu walaupun sebenarnya mereka tidak bercakap pun antara satu sama lain semasa Reunion itu!

Apa yang berlaku selepas Reunion ini menimbulkan perbincangan antara aku dan beberapa kawan rapat lain. Bolehkah kekasih lama kini menjadi kawan pula? Aku berpendapat memang boleh dengan syarat ia diringkan dengan kematangan dan juga sentiasa berpijak di bumi nyata. Ada kawan-kawan aku ini tiba-tiba berada diawang-awangan pula hendak menyambung cinta lama yang terputus. Reunion menjadi penyebabnya.

Aku pula dulunya telah memilih clean break. That's it. Sekurang-kurangnya Reunion aku akan tetap manis.



  

   

2 comments:

Rin Ahmad said...

alasan ketiga dan keempat tu mengarut tul... hahahaha macam budak2

hk said...

Memang macam budak-budak. Itulah masalahnya :-)

Post a Comment