Tuesday, February 8, 2011

Tentang Rock Punk di KLCC



Dari ruang belakang masjid Asy-Syakirin di KLCC  tempat aku baru selesai solat maghrib, aku nampak budak rock punk ini datang. Aku agak dia baru lepas melepak di KLCC atau lebih tepat lagi duduk bersidai menghadap air pancut di luar menara berkembar itu. Memang mereka selalu berkumpul di situ dan entah pukul berapa baru beredar.

Budak rock punk itu tiba di perkarangan masjid. Aku sempat meneliti pakaiannya dari atas hingga bawah. Apalah nak jadi dengan budak ini? Berseluar jeans dikerat paras lutut dan menuju ke masjid?.  Kemeja T-nya ketat dan rambut pula menyerupai puak Mohicans di Lembah Mohawk, cuma agak tipis. Ada beg selepang dibawanya. Dan dia memakai boot tinggi. Apabila sampai ke perkarangan masjid, aku terus mencuri pandang gelagatnya. Oleh kerana dia nampak seperti mahu masuk di belah belakang, aku agak dia mahu menggunakan tandas. Itukah gunanya masjid pada dia?

Setelah bersusah payah menanggalkan boot tingginya itu, dia melangkah memasuki masjid. Aku nampak dia membuka beg selepangnya dan aku menjadi lebih kuat mahu tahu apalah yang dibawanya ke hulu ke hilir.

Tiba-tiba aku nampak dia mengeluarkan kain pelikat berkotak-kotak biru dari beg tadi. Disarungnya terus dan berhat-hati pula dia menggulung kain itu di bahagian perut takut terlucut. Kemudian dia pergi ke belakang, mengambil wuduk dan selepas itu menuju ke ruang solat dan bersembahyang dengan cukup tertib.

Allahuakbar.
Masjid Asy-Syakirin



5 comments:

Rin Ahmad said...

owh kita tak boleh nilaikan seseorang dgn pakaiannya.. insaf i baca apa u tulis pasal budak punk tu...

i pulak rasa malu

hk said...

I pun telah termalu.

plug2pin said...

insaf aku

bilahatimulabicara said...

suatu pandangan yg tidak boleh dinilai melalui luaran, mmg takjub dengan dak tu, walaupun penampilan agak keterlaluan tapi dia masih tahu akan tanggungjwbnya pada ALLAH.. mgkn dia belum dapat menentukan penampilan mana yg sesuai bgnye... Semoga budak itu diberkati hidup dan dapat mengubah penampilannya

CekJah said...

saya pernah berkawan dengan satu mat rock satu ketika dahulu..
dengan rambut panjang mengurai,
seluar jeans ketat dan singlet
keluar dating kat Dayabumi
tiba waktu solat dia tinggalkan saya sendirian ditepi air pancut
10 minit kemudian dia kembali
bila saya tanya kemana?
jawabnya...solat..
isk malunya saya....

Post a Comment