Wednesday, April 27, 2011

Tentang Loghat Perak

1 comments
Pertama kali pulang bercuti ke Perak setelah menjadi "orang KL," seorang kakak di depan rumah bertanya sama ada ada sesiapa di KL yang hairan dengan cara aku menyebut perkataan "surat khabar".

Aku kata tidak ada pula dan terus bertanya kenapa kakak itu, yang aku panggil Kak Tam, bertanya demikian.

Kata Kak Tam sebutan aku "terlalu Perak" dan malah cara aku menyebut perkataan Kuala Lumpur juga tidak sama seperti cara pembaca berita di TV menyebutnya. Aku belesah menyebut kulumpo saja.

Ya, loghat Perak aku pekat. Tetapi ia tidaklah pula sama 100 peratus dengan loghat Perak yang diucapkan oleh karekter Usop Wilcha atau oleh Cikgu Shida (yang menulis di blog menggunakan loghat Perak). 

Loghat Perak aku adalah campuran cara penuturan di dua daerah yang berbeza.

Aku boleh menggunakan cara sebutan di dua-dua daerah itu kerana pernah tinggal di tempat-tempat berkenaan dan oleh itu akan menggunakan salah satu darinya bergantung dengan siapa aku bercakap.

Aku juga menjadi begitu kerana keluarga di sebelah arwah bapa aku menggunakan satu loghat manakala keluarga di sebelah emak pula satu loghat lain. Jadi sudahnya anak mereka ini dua-dua boleh.    

Ramai tidak tahu sebenarnya loghat Perak terbahagi dua yang utama iaitu loghat Kuale seperti yang dituturkan Usop Wilcha (serta Mr Os) dan loghat Parit seperti yang pernah cuba digunakan satu watak di dalam filem P Ramlee (mungkin filem Do Re Mi).  

Jadi, jika aku berdepan dengan orang yang menggunakan loghat Kuale, aku menggunakan loghat itu dan jika aku bercakap dengan orang yang bertutur dalam loghat Parit pula, aku akan cuba sesuaikan loghat aku ke arah itu.  

Loghat Kuale berpusat di  Kuala Kangsar dan dituturkan di Kuala Kangsar, Ipoh, Teluk Intan, Tapah hingga ke Tg Malim manakala loghat Parit itu pula berpusat di Parit dan tempat-tempat seperti Bota, Lambor dan Kg Gajah. 

Bezanya hanya boleh diterangkan dan difahami dengan mendengar bagaimana ia disebut dan dituturkan. 

Thursday, April 21, 2011

Tentang Perkahwinan TY

6 comments


Attended TY's akad nikah and wedding reception last weekend. Here are some photos from the wedding.


TY put up a marquee next to his house for the reception. The akad nikah and bersanding however were in the house. This photo shows the back portion of his house. 


TY's friends from The Porsche Club.  TY is an active member of the club.


She was there. Look at her kening. Walla...
There were few more familiar faces whom I do not know the names hence I don't bother to take their pictures.

 
 

He was there. His father is in London for some business and to attend Prince William's wedding.
  

Freedom.
Shuib's voice is still the same.


TY and spouse.
Moga berbahagia dan kekal selamanya.


Friday, April 8, 2011

Tentang MasterChef Malaysia

4 comments


Setelah beberapa bulan mengikuti rancangan MasterChef US dan kemudiannya Junior MasterChef Australia, bulan Oktober nanti tercongoklah aku di depan TV menyaksikan MasterChef Malaysia pula.

Astro bakal menerbitkan rancangan realiti berasal dari UK  ini dan khabarnya audition sedang berlangsung. Ia akan dikendalikan di dalam bahasa Malaysia dan disiarkan melalui Astro Ria (104).

Sebenarnya Malaysia bukanlah satu-satunya negara Asia Tenggara yang mengambil dan menerbitkan rancangan popular ini sebab Indonesia dan Filipina juga telah berbuat demikian. Selain itu juga ada MasterChef India, MasterChef Greece, MasterChef New Zealand dan MasterChef Sweden. 

Untuk MasterChef Malaysia, aku harap barisan jurinya biarlah chef-chef terkenal juga seperti  Chef Wan atau yang sepertinya. Janganlah setakat ambil selebriti (aktor atau aktres) yang konon-konon handal bab memasak dan ada rancangan TV sendiri tu. Macam tak dapat belajar apapun dari mereka ini.   

Teruja hendak melihat bagaimana tahap kebolehan orang Malaysia apabila disuruh menyiapkan meal course untuk fine dining.

Aku yakin ramai orang Malaysia yang boleh buat cuma mereka selama ini tidak ada tempat menunjukkan kebolehan masing-masing, selain di ceruk dapur sendiri sahaja. Ada yang mendapat kebolehan menyediakan makanan fine dining ini melalui minat dan trial and error sahaja berpandukan buku-buku resipi dan ada juga yang memang belajar secara langsung. 

Sepupuku Reezal adalah antara orang yang memang belajar memasak makanan ala Barat ini secara langsung ketika mengambil kursus Hotel and Catering di NPC.  Tetapi sebaik habis belajar dia memilih menjadi pramagura pula. Bagaimanapun, oleh sebab sudah ada pengetahuan, selalu sahajalah dia menjadi rujukan saudara mara bagaimana hendak membuat mushroom soup, sauce itu ini, steak dll. 


Aku tak tahu sama ada Reezal berminat hendak memasuki MasterChef Malaysia ini. Aku pula sudah tentunya tak layak kalau asyik masak nasi goreng saja.

Selain makanan Barat yang sesuai untuk cafe, bistro, casual dining, aku rasa, rancangan versi Malaysia ini akan disuntik juga dengan elemen tempatan. Mereka akan diuji membuat rendang, segala jenis tumis-tumisan dan kuih muih tempatan dll agaknya.

Habislah dapur MasterChef kita nanti dengan wap dan percikan minyak. But I like.









   

Monday, April 4, 2011

Tentang Pilihan Dalam Hidup

1 comments
Di dalam hidup ini, kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Ada kalanya kita tidak boleh memiliki semua komponen yang kononnya membentuk kebahagiaan secara serentak kerana di antara komponen-komponen ini ada yang mungkin terpaksa dicerai-beraikan untuk mendapat kebahagiaan hakiki.

Aku mempunyai seorang GM yang aku rasa hidup bahagia, dari perhatian luaran aku

Dia sudah berusia 50 tahun dan sudahpun mengerjakan haji.

Aku pernah memikirkan hidupnya sudah lengkap dan bahagia hinggalah dua minggu lalu aku nampak dia diam seperti sedang memikirkan sesuatu.

Aku tahu menungnya itu bukan berkaitan masalah kewangan kerana dia berkedudukan tinggi, bergaji besar dan ada pula pendapatan luar dari petrol station milik sendiri yang khabarnya masuk puluhan ribu sebulan. Isterinya pula CEO sebuah syarikat senarai awam.

Akhirnya aku mendapat tahu rupa-rupanya isterinya yang berjawatan CEO itu diarahkan bertukar ke sebuah negara yang terkenal dengan keganasan gerila untuk membuka perniagaan baru di sana. Dia akan berada di sana beberapa tahun. Anak-anak pula semua bersekolah di Australia sejak kecil.

Dengan perkembangan terbaru ini, GM aku terpaksa membuat pilihan dan pertimbangan. Antara yang aku tahu pertimbangannya ialah seperti berikut:-

Pertamanya; terus menetap di KL dan bekerja di tempat sekarang disamping mengekalkan petrol station nya sementara isterinya berseorangan di negara berkenaan. Ini juga memudahkan anak-anak balik apabila ada cuti singkat kerana jarak KL – Australia adalah lebih dekat.

Keduanya; berhenti kerja, jual petrol station dan menemani isteri di negara berkenaan tanpa berbuat apa-apa. Apabila anak-anak bercuti, dia dan isteri akan bercuti juga dan semua akan pulang dan bertemu di KL.

Aku hendak juga tahu sama ada GM aku ini setuju dengan arrangement semua bertemu di KL itu kerana dia memang terkenal berkira apabila ada perkara membabitkan  wang.

Ini mengingatkan aku pada satu insiden. 

Walaupun berduit, seorang rakanku pernah menemankan GM aku ini membeli hadiah hari jadi beg tangan tiruan “jenama Coach” untuk isterinya di sebuah kedai yang tersorok di KL. Khabarnya dia membeli beg tangan tiruan ini dengan harga RM2,000 dan harga beg yang original dari design yang sama pula kononnya ialah RM10,000. Katanya, buat apa beli yang original mahal-mahal sedangkan mutu buatannya sama dan kerana itulah harganya boleh mencecah RM2,000.

Tak tahu pula aku apa respon isterinya mendapat beg tangan tiruan sebagai hadiah hari jadi dan entah dia perasan atau tidak.

Berbalik kepada pilihan-pilihannya, aku tidak tahu apa lagi opsyen yang difikirkan oleh GM aku ini tetapi apa yang aku tahu dia telah menemui boss nombor satu aku, Dato Y, untuk mendapat pandangan.

Dato Y, ini pula baru sahaja kematian isteri akibat kanser payu dara dan masih melalui fasa bersedih dan kehilangan. Apabila GM aku memberitahu tentang isterinya bakal keseorangan di luar negara beberapa tahun, terus saja Dato’ Y berkata “wife and family are everything and should come first….”

Dato Y berkata buatlah pilihan yang tepat berdasarkan pentingnya keluarga dan jangan jadi seperti dia yang sudah kehilangan isteri baru tersedar.

Kata Dato Y, kadang-kadang apabila jam 10 pagi dia terasa hendak menelefon isterinya dari pejabat for a small chat dan bergurau seperti yang biasa dibuatnya setiap hari selama 25 tahun lalu tetapi sekarang hendak telefon macam mana kerana dia sudah tiada?

Kata Dato Y, ada kalanya bila balik ke rumah dia terus duduk di sofa tanpa membuka pakaian kerana itulah yang biasa dibuatnya sementara menanti isteri (arwah) balik dari menjemput anak-anak sekolah, tuition, mengaji atau kelas piano, untuk minum petang bersama-sama .

Tetapi kini dia hanya mampu duduk termenung di sofa seorang diri sebab anak-anak sudahpun dijemput driver dan masing-masing lebih suka melayan ipad atau PC game di bilik dan isteri pula sudah tiada.

Setelah mendengar kata-kata Dato Y, GM aku terus saja membuat keputusan melepaskan kerjayanya di tempat aku, menjual petrol station nya dan akan menemani isterinya.

Nasib GM aku ini baik kerana apabila tersebar khabar dia akan menetap di negara berkenaan, sebuah syarikat terus menawarkan dia juga jawatan CEO di sana.




Wednesday, March 30, 2011

Tentang Kuih Gandus

6 comments
Apa kuih sedang top di Kuala Lumpur sekarang ? Sudah tentulah kuih gandus di Pasar Keramat. Sedap kah? Entahlah, aku belum merasainya tetapi sekarang ini ramai bercakap mengenainya hinggakan aku jadi mangsa diminta oleh beberapa orang untuk membelinya.

Mereka yang meminta aku pergi membeli ini, termasuk emak saudara aku, teringin sangat hendak merasa kuih itu setelah juadah manis berinti tart nanas itu serta  pakcik dan makcik yang menjualnya di Pasar Keramat itu, keluar Majalah 3  pada 13 Mac lepas dan terus jadi bahan percakapan.

Dengarnya, sebelum ini kuih ini sudah pernah diceritakan di dalam surat khabar juga.



Gambar dari Google

Akulah jadi mangsa untuk membelinya sebab kononnya pejabat aku tidaklah jauh dari Pasar Keramat. Macamana mereka boleh ingat pejabat aku dekat dengan Pasar Keramat entahlah?

Mungkin pada mereka kalau sudah kerja di tengah Kuala Lumpur, kira dekatlah dengan Pasar Keramat itu.

Maka pada satu hari minggu lepas kira-kira jam 11 pagi aku pun pergilah ke Pasar Keramat mencari gerai menjual kuih itu. Mudah saja mencarinya kerana gerai itu merupakan satu-satunya yang mempunyai queue panjang. Panjang hinggakan aku terus mengambil keputusan balik sahaja setelah membuat pemerhatian. Aku kira ada dalam 50 orang sedang berbaris dan selepas 5 minit aku perhatikan mereka yang di depan sekali langsung tidak bergerak (kerana menanti kuih masak).

Jadi congak sajalah berapa lama pula aku kena tunggu kalau aku jadi orang ke 51 masuk queue? Jadi aku beredar saja.

Oleh sebab tak sampai hati nak menghampakan, esoknya aku pergi lagi. Lega hati sebab dari jauh aku nampak cuma ada dua atau tiga orang sahaja di gerai itu. Tetapi apabila sampai betul-betul di depan gerai aku dapati gerai itu sebenarnya kosong dan dua tiga orang yang ada di situ merupakan orang seperti aku yang terpinga-pinga dan sedang tertanya-tanya mengapa gerai tutup?

Seorang lelaki yang menjaga parkir di situ memberitahu gerai terpaksa ditutup kerana inti kuih gandus sudah habis dan pakcik dan makcik berkenaan terpaksa mengambil cuti (menutup gerai) untuk membuat inti sekaligus menggunakan antara 300 hingga 400 biji nanas !

Jadi aku beredar lagi.

Beberapa hari lepas aku pergi lagi dengan tidak meletakkan apa-apa harapan pun. Aku kira ada dalam 23 orang sedang berbaris dan akupun masuk queue mencuba nasib walaupun aku tahu mungkin akan berbaris selama satu jam lebih. Bagaimanapun, sedang aku berbaris itu hujan pula turun dan aku terpaksa beredar pergi untuk berteduh. Aku lihat orang lain tidak berganjakpun walaupun hujan turun. Ada yang berlari pergi mengambil helmet dan masuk queue semula. Aku pula tidak sanggup membasahkan pakaian  sebab sedang bekerja.

Tiga kali pergi masih gagal. Aku bertanya seorang penjual ikan bakar di situ pukul berapa orang mula berbaris untuk membeli kuih gandus itu. Katanya ada kalanya pukul 7 pagi, adakalanya pukul 8 pagi dan ada kalanya pukul 9 pagi sudah ada yang tercongok di gerai itu walaupun pakcik dan makcik itu hanya sampai pukul 10 pgi dan kuih mula masak dan dijual pukul 11 pagi.

Maklumat kuih gandus:

Lokasi : Pasar Keramat

Harga : 40 sen biji

Maksimum order: 20 biji seorang


Monday, March 28, 2011

Tentang Mimy

2 comments

Beberapa bulan lalu ...

... ketika saudara berkumpul beramai-ramai kerana satu majlis keluarga, kami yang malas balik sudahnya tidur saja di ruang tamu. Aku memilih satu ceruk untuk tidur. Bagaimanapun, beralih tempat tidur begitu membuat aku susah lelap. Aku sangkakan aku seorang saja yang begitu. Tiba-tiba aku terdengar suara sepupuku Mimy berbisik. Jelas segala butir buah bisikannya di telinga ku.

"Jangan nakal-nakal. Tak lama lagi mama nak pergi. Siapa nak tengokkan Kimi...?," bisiknya.

Dari ekor mata, aku nampak Mimy berbaring sambil memeluk anaknya Kimi yang sedang nyenyak tidur. Diciumnya Kimi yang baru berumur 4 tahun itu berulang kali.

"Mama sayang Kimi. Mama nak tengok Kimi besar, tapi mama tau mama tak sempat,"  bisiknya lagi perlahan-lahan.

Sesudah siang esoknya baru aku tahu, ada seorang ibu saudaraku yang berbaring di ruang tamu itu juga tidak boleh lelap dan turut terdengar bisikan Mimy. Ia sebenarnya sebuah rintihan. Ini diceritakan kepada ibu saudara lain dan masing-masing menitiskan air mata.

Beberapa tahun lalu ...

... Mimy bertemu jodoh dengan seorang pegawai undang-undang yang bertugas di sebuah majlis bandaraya bernama Nik. Nik sebenarnya adalah seorang bekas pegawai tentera berpangkat leftenan. Dia bukan sahaja good looking tetapi juga berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama. Sejak kehadiran Nik di dalam keluarga kami, dialah yang selalu ke depan apabila membacakan doa di majlis-majlis keluarga. Makcik-makcikku pun apa lagi, tidak habis-habis memuji.

Tidak lama selepas itu, sedikit demi sedikit kami menyedari Nik dan Mimy menghadapi masalah kewangan. Dan entah bagaimana juga, tiba-tiba aku dengar Nik kehilangan kerja. Ekoran dari itu, dia membawa Mimy pulang ke negeri asalnya. Di sana mereka tinggal bersama keluarga Nik dan aku tidak tahu apa yang dilakukan dan apa punca pendapatan mereka ketika itu. Di sanalah juga Nik dan Mimy mengambil anak angkat, seorang kanak-kanak lelaki bernama Hakimi dan dipanggil Kimi sahaja. 

Nasib Nik terbela sedikit apabila seorang bapa saudaranya memberikan dia kerja di syarikat miliknya. Maka kembalilah Nik, Mimy dan Kimi ke Kuala Lumpur. Aku sempat mengunjungi mereka sekali sahaja di rumah baru mereka di Puchong sebelum aku dengar Nik jatuh sakit pula.

Dia kemudian berhenti kerja dan kembali semula ke negeri asalnya bersama Mimy dan Kimi. Dan sedang aku berkira-kira untuk pergi menziarahi mereka, saudara mara lain mula berkongsi cerita bahawa masa untuk Nik sudah tiba. Dan itu memang betul kerana tidak lama selepas itu Nik pulang ke Rahmatullah.

Nik semasa hidupnya adalah mangsa ketagihan dadah dan dia dijangkiti HIV. Itu menjadi punca dia kerap kehilangan pekerjaan dan sudahnya jatuh sakit dan menyerah kepada retrovirus HIV.  

Setelah itu, Mimy mahu menetap sahaja bersama ibu mertuanya di tempat kelahiran Nik. Agaknya dia mahu terus "dekat" dengan Nik. Namun, dia sendiri sudahnya terpaksa menerima hakikat, sebagai isteri Nik, keadaan darahnya sendiri telah tercemar. Mimy telah turut disahkan pembawa HIV. 

Lama juga Mimy menyimpan perkara ini untuk pengetahuan dirinya sahaja. Namun apabila keluarga mendapat tahu, keluarga meminta dia segera pulang dan dia akur.

Keluarga menyewakan dia dan Kimi sebuah rumah di sebelah rumah seorang ibu saudaraku. Kami beramai-ramai menghulurkan bantuan. Di situlah dia membesarkan Kimi yang kini sudahpun masuk sekolah tadika Islam.  

Memang aku dan Mimy selalu berjumpa apabila ada majlis keluarga. Tetapi biasanya dia hanya mendiamkan diri. Dan setiap kali bertemu, selalu sahaja dia meminta aku menangkap gambar dia bersama Kimi dan ada kalanya gambar Kimi seorang. Selepas itu, disuruhnya aku print gambar itu besar-besar. Adakalanya bila aku terlupa kerana sibuk, Mimy akan buat-buat merajuk dengan aku.

Aku sudah tidak dapat mengingat sejak setahun yang lalu sudah berapa kali Mimy keluar masuk hospital. Kulitnya semakin lama semakin hitam dan kasar. 

Beberapa minggu lalu ...

... Mimy dimasukkan ke sebuah pusat perlindungan dan rawatan Islam khusus untuk pesakit HIV. Di sana, dia diajar menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, di rawat dengan ayat-ayat suci Allah di samping ubat-ubatan moden. Dan yang lebih penting disitu dia ditekankan untuk menguatkan diri melalui qiamulail dan sembahyang-sembahyang sunat dan taubat dll. Memang selama inipun Mimy sudah begitu.

Berat aku hendak menyebutnya tetapi Mimy seperti semakin kuat mahu menyiapkan dirinya yang kian hari kian lemah itu untuk satu perjalanan terakhir.

Sepanjang Mimy di situ, Kimi dijaga oleh ibu saudaraku.

Beberapa hari lalu ...

... Aku mendapat tahu Mimy terjatuh di pusat perlindungan dan rawatan itu kerana dia sudah tidak berupaya. Dia segera dikejarkan ke sebuah hospital. Kini dia terlantar di situ dan kami semua memanjatkan doa agar dia tenang, tabah dan segala urusannya dipermudahkan. 





Friday, March 25, 2011

Tentang Moving On

5 comments
Kalau hidup ini seperti permainan-permainan sukan aku memang sentiasa kalah teruk dan kemudian tidak berpeluang pula membetulkan keadaan.

Semalam di Facebook group sekolah lama aku, aku dingatkan mengenai seorang kawan bernama Firdaus yang sudah lama menghilang. Aku memberitahu sahabat-sahabat di dalam group itu kali terakhir aku bertemu Firdaus ialah ketika kami menginjak ke usia 20an di mana secara kebetulan dan tanpa disangka-sangka pasukan kami bertembung dalam satu perlawanan hoki. Aku segera teringat keputusan perlawanan itu. Pasukan aku dibelasah 6 – 1.

Mengingati Firdaus membawa aku terkenang pula kepada satu perlawanan badminton antara aku dan abangku yang berbeza umur cuma 2 tahun. Aku, abangku, Firdaus dan Amir, iaitu abang kepada Firdaus, adalah rakan sepermainan. Aku kalah teruk perlawanan badminton dengan abangku itu 15- 1 dan 15 – 1. Sejak itu, abangku entah kenapa tidak pernah mengajak aku bermain lagi.

Keengganan abangku bermain lagi dengan aku itu membuatkan aku teringat pula kepada perlawanan catur antara aku dengan Mohd Fadzil, bekas rakan serumah aku dulu.

Masa itu dia baru balik dari US dan tinggal dengan aku sementara mencari pekerjaan. Itu kali pertama aku bermain catur dengan Mohd Fadzil dan keputusannya aku kalah. Dengan segera aku memberitahu Mohd Fadzil ingin bermain lagi kerana tidak puas hati kalah.

Mohd Fadzil bagaimanapun bingkas bangun dan sambil berlari ke dapur dan ketawa dia berkata tidak akan bermain catur dengan aku sampai kiamat sekalipun semata-mata kerana hendak memastikan selama-lamanya rekod kekal menunjukkan bahawa dia, Mohd Fadzil, telah mengalahkan aku. Hampeh.

Di lihat dari segi lain juga  jarang sekali kekecewaan yang aku lalui akan mendapat peluang untuk dibetulkan. Ini termasuklah dalam mengejar cita-cita, merealisasikan harapan dan merealitikan impian.

Maknanya, kekecewaan kekal sebagai kehampaan dan lepas itu menjadi titik hitam pula di dalam hidup aku. Malah, ada antara kekecewaan itu yang lebih teruk lagi dari kekalahan 6-1 dan 15-1 hingga aku terduduk dan membisu tak bersuara.

Tetapi ini bagaimanapun membawa aku mengenali perkataan move on. Dan entah sudah berapa kali agaknya di dalam hidup ini aku telah move on.

Aku bernasib baik kerana setiap kekecewaan yang aku lalui dalam hidup ini tidak pula datang dengan diiringi sekali perasaan marah atau dendam. Mungkin ini yang memudahkan untuk orang seperti aku ini move on. To be able to move on, one has to learn to forgive not only the person who have done one wrong but also oneself. Ya aku maafkan saja semua individu-individu yang terbabit di dalam apa jua kegagalan yang pernah aku lalui dan ini termasuklah diri aku sendiri.

Apa yang hendak dimarahkan apabila kita tidak tahu pun punca kenapa kita ditemukan dengan kegagalan dan kita juga bukan boleh meramalkan hasil dari sesuatu usaha melainkan ia adalah suratan takdir kerana Allah tidak mengizinkannya. Tentulah ada hikmah disebalik semua itu dan cuma apa yang kita boleh buat ialah meminimumkan risk supaya tidak jatuh terlalu teruk.

Sesetengah kegagalan di dalam kes aku adalah bersifat kekal dan oleh itu terlalu lama  aku melihat ia dalam bentuk negatif hanya akan memakan diri, menekan emosi dan membuang masa. Jadi biasanya dengan cepat aku mencari dan memilih untuk melihat benda-benda  positif dari sesuatu kegagalan yang mana, malangnya, sudah pastilah tiada apapun dari segi emosinya tetapi ada dari segi pengajaran dan pengalaman.

Lain orang lain caranya. Untuk diri aku, Alhamdulillah mungkin aku berdaya  bangun dengan cepat dan mampu nyahkan sahaja apa yang berlaku. Aku matikan sahaja di dalam mindaku apa-apa kekaburan yang ada sebab sesetengah kekaburan tidak mungkin menjadi jelaspun apabila tiada upaya kita mengelapnya.

Aku juga ringkaskan saja setiap cerita kegagalan kerana tidak ada gunanya pun mengingati kronologi panjang dan plot-plot bagaimana ia berlaku sebab bukan boleh dijadikan drama yang seronok ditontonpun.

Aku sematkan dalam hati dan minda bahawa semuanya adalah okay sebab kadang-kadang bila kita singkap balik kegagalan kita itu, apa yang berlaku  sebenarnya tidaklah teruk sangat. Kadang-kadang kita mungkin rasa tertekan sebab mental penat dan kering kontang dihisap oleh penyakit (masalah dan mainan emosi) yang datang.

Yang penting ialah stay positive kerana fikiran positif adalah lebih terbuka terhadap jalan penyelsesaian berbanding fikiran negatif yang asyik memikirkan benda karut-karut.

Bagaimanapun, barang diingat, setakat menulis seperti di atas dan setakat cakap saja senanglah kan. Sedangkan hakikat sebenarnya ...

Dan Mohd Fadzil mengajar aku bahawa dalam hidup ini bukan semua orang dapat peluang kedua.




Tuesday, March 22, 2011

Tentang Kerjaya Guru

6 comments


Terlebih dahulu aku ingin memulakan catatan ini dengan cerita yang disampaikan sepupuku, seorang guru. 

Dia baru grad dan baru saja mendapat posting tempat mengajar. Nasibnya baik sebab sekolah di mana dia dihantar cuma beberapa kilometer sahaja dari rumah. Nasibnya yang baik ini menjadi bahan "iri hati" (usikan) kawan-kawan kerana ada antara mereka yang telah dihantar ke ceruk pedalaman. 

Jadi inilah cerita sepupu aku itu. Ia mengenai seorang rakannya yang terpaksa mengajar di sebuah sekolah di kawasan pedalaman di Gua Musang.

Dan sekolah di mana rakannya dihantar itu sebenarnya merupakan penempatan Orang Asli. 

Pada satu hari ayah kepada salah seorang pelajar Orang Asli di situ telah datang ke sekolah dengan membawa seekor anak harimau yang baru ditangkapnya. 

Bapa pelajar itu bertanya-tanya kepada guru-guru dan kakitangan sekolah kalau-kalau mereka tahu sesiapa berminat membeli anak harimau. Bagaimanapun apa yang berlaku ekoran tindakannya itu ialah guru-guru dan kakitangan sekolah telah menjadi gempar dan panik. 

Ini adalah kerana mereka tahu apabila anak harimau hilang, si ibu pasti akan datang mencari berpandukan  deria baunya. Dan apa yang ditakutkan ialah bukan setakat datang tetapi si ibu harimau akan mengamuk kerana haiwan ini memang ganas apabila anaknya diganggu. 

Berikutan kejadian ini, guru besar telah dinasihatkan supaya menutup sekolah untuk satu hari kerana bimbang ibu harimau muncul tiba-tiba. 

Maka tak pasal-pasal telah bercutilah murid-murid sekolah itu pada hari berkenaan gara-gara tindakan bapa pelajar itu tadi. 

Di manakah kita boleh mendapat pengalaman seperti yang diceritakan di atas jika tidak di kawasan pedalaman. 

Dan di Malaysia hingga ke hari ini, yang mana tahap pembangunan dan pengagihan pemodenannya tidaklah cepat seperti sepatutnya, profesyen guru masih melalui fasa seperti di atas - berkorban, berhadapan apa saja dan memberikan segalanya demi amanah yang diberi. Situasi kemungkinan terpaksa berhadapan dengan harimau ketika memikul amanah seperti yang diceritakan di atas hanyalah salah satu contoh saja yang berlaku di luar sana. Ada banyak lagi.

Profesyen guru sangat dekat dengan aku. Mana tidaknya kerana ayahku pernah menjadi guru dan kemudiannya guru besar sebelum ditarik ke Jabatan Pendidikan. 

Berikutan jawatannya itu, rumah aku sentiasa dikunjungi guru besar dan guru-guru. Tidak cukup di pejabat, ayahku melayan mereka sampai ke rumah dan jikalau emak tiada, akulah disuruhnya membuat teh O dan kadang-kadang teh tarik untuk dihidangkan.  

Memang pelbagai isu mereka ajukan. Pada satu ketika yang lain, seorang cikgu dari sekolah aku sendiri telah datang ke rumah yang mana membuatkan aku ingin tahu apa halnya. Aku telah menyorok betul-betul di sebalik dinding tempat ayahku dan cikgu itu berbual dan alangkahnya terkejutnya aku kerana cikgu yang datang itu mengadu kepada ayahku mengenai  affair seorang guru lelaki dengan dengan seorang guru wanita. Hal yang diadukan bukanlah mengenai "hubungan" itu tetapi mengenai kelakuan tidak senonoh mereka selalu duduk berduaan di dalam kereta di tempat sunyi di pekan kecil tempat kami tinggal.

Dan aku menjadi lebih terkejut lagi kerana ketika asyik memasang telinga itu aku tidak sedar ayahku bangun dan masuk ke dalam (mungkin hendak ke tandas) dan telah ternampak perbuatan aku menekap-nekap telinga pada dinding kerana hendak mendengar lanjut mengenai affair itu. Teruk aku kena marah hehe.

Rapatnya aku dengan dunia guru hinggakan rumah tempat aku tinggal ketika itu juga sebenarnya merupakan kawasan perumahan yang dibangunkan oleh koperasi guru. Jadi, jiran aku di kiri, kanan, depan, belakang semuanya guru.

Malah aku sendiri nyaris-nyaris menjadi guru sandaran apabila ketika sedang tidak berbuat apa-apa menanti keputusan peperiksaan, ayahku mencadangkan aku mengajar di sekolah di daerah tempat kami tinggal.

Itu bagaimanapun tidak berlaku kerana aku sudah mempunyai rancangan lain untuk diri ku.  

Aku pernah diberitahu oleh seseorang (mungkin emak atau abang sulungku) bahawa ayahku memang mahukan salah seorang anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi guru. 

Tanpa dipaksa, adik perempuanku memilih menjadi guru dan mengambil kursus pendidikan di universiti walaupun asalnya ditawarkan kursus undang-undang. 

Al fatihah buat ayahandaku.

Monday, March 14, 2011

Tentang Aku, Orang Tabligh dan American Idol

10 comments
Selesai solat Maghrib aku terus terfikir mengenai makan malam. Dari KL tadi terus saja balik tanpa membeli apa-apa. Jadi aku kena keluar semula. Bagaimanapun, tiba-tiba teringat pula American Idol akan ke udara dalam masa terdekat. Dengan adrenalin terhadap American Idol agak masih tinggi selepas mengikuti pusingan pemilihan saban minggu, aku membuat keputusan keluar cepat-cepat. Dan jika hendak lagi cepat, beli saja roti.

Sebelum tiba di pintu kedai aku nampak beberapa orang lelaki berjubah dan berserban sedang berlegar-legar di kawasan itu. Aku tahu mereka sedang mencari sesiapa untuk ditarbiyah. Aku segera mencari laluan yang akan memastikan tidak bertembung dengan mereka (jangan ikut perbuatan aku ini!). 

Aku jenis tidak tahu mengatakan tidak dan jika aku ditahan, sudah pasti akan terpacak mendengar syarahan mereka sehingga menjelang masuk Isyak. But please, not tonight!. American Idol menanti. Tarikan JLo juga agaknya.

Sebenarnya aku cam salah seorang daripada lelaki tabligh itu. Maksud cam di sini ialah aku tahu dia siapa tetapi dia tidaklah tahu siapa aku. Dia merupakan bekas CEO sebuah bank. That explains kenapa aku cam dia dan dia tidak tahu pun aku wujud ! Tapi sudah beberapa kali kami solat berjemaah bersama-sama kerana setiap Selasa dia akan berada di surau dekat rumah aku. Rasanya dia memang mengamalkan berkunjung satu surau ke surau yang lain.  

Melihat janggut putihnya, aku agak dia sudah bersara dan mungkin mengisi masa dengan kegiatan tabligh.

Aku berjaya memasuki kedai tanpa terserempak dengan mereka. Setelah dengan cepatnya membeli roti dan beberapa benda lain, aku keluar dan baru beberapa langkah, tanpa aku sangka-sangka mereka sudah berada di hadapanku dan memberi salam !

Aku menjawab salam dan dengan segera merasa serba tidak kena kerana di hadapan aku ialah tiga lelaki berjubah dan berserban manakala aku pula hanya memakai T shirt dan seluar three quarter yang jelas menampakkan betis. 

Tanpa sempat memikirkan respon aku betul atau tidak, secara automatik aku menutup betis dengan roti yang baru dibeli. Aku rapatkan kaki supaya plastik yang tak sebesar mana itu menutup kedua-dua betis aku. Beberapa ketika kemudian baru aku sedar tindakan aku itu agak over sedangkan tiga lelaki berserban di depan aku ini langsung tidak memberi perhatian pada pakaian akupun apa lagi betisku yang terdedah. Lagipun aku sebenarnya masih menutup aurat cuma kalau nak dibandingkan mereka, faham-faham sajalah rupa aku masa tu.

Seperti dijangka, yang banyak bercakap ialah bekas CEO itu. Ringkasnya dia mengajak aku turut sama menyertai kerja dakwah seperti mereka di samping dapat menyedarkan dan menguatkan ketakwaan diri sendiri terhadap Ilahi. Bagaimanapun katanya, hidup kena balance yang mana membuat aku teringat American Idol dah start dah.

Sempat aku tanya pada CEO itu apa dia buat sekarang sebab aku tak fikir dia menghabiskan masa di padang golf apalagi di depan TV menonton rancangan hiburan macam aku buat (sekali sekala hehe).

"Oh after I left the bank, I started my own business. I've got two companies under me and both are listed," katanya. Tambahnya, syarikatnya diuruskan sama seperti syarikat-syarikat lain tetapi apabila masuk waktu sembahyang, hampir tiada ceruk di pejabat syarikatnya yang tidak mendengar bunyi azan. 

Bagaimanapun dia kata dia tahu manusia ada macam-macam jenis dan begitu juga di syarikatnya. Oleh itu dia tidak memaksa lepas azan, semua staff akan terus pergi bersolat tetapi sentiasa berpesan-pesan supaya yang liat akan berubah juga.

Selepas itu akupun balik rumah dan ... menonton baki American Idol.



    


Friday, March 11, 2011

Tentang Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday

7 comments
Hmm lagu Pulanglah nyanyian Awi Rafael ini boleh saja buat aku bertekak dengan someone. Tengoklah liriknya. Ada orang akan kata (aku pasti dia akan kata) liriknya dicemari, tetapi aku akan kata liriknya telah tambah dihiasi. Apa yang aku cakap ni ? Tengoklah liriknya turut ditepek dengan perkataan-perkataan Inggeris. Perkataan Inggeris itu pula bukanlah tak ada dalam bahasa Melayu dan bukanlah bombastic dan dasyat sangat. Jadi mengapa hendak menggunakan perkataan-perkataan Inggeris ini? 

Sesuai dengan aku sekarang yang hendak melayan apa saja di depanku secara ringan saja (kecuali perkara tertentu) maka aku anggap lagu ini dihasilkan sedemikian rupa semata-mata sebagai satu kerja kreatif dan hasil seni yang cuba dijadikan lain dari yang lain. We are now in the world of expressive art (tengok saja macamana grafiti sudah "dibenarkan" di spray merata KL - sakit mata sebenarnya aku tengok).

Jadi tak perlu tengok lagu itu dari sudut "disebaliknya" kerana isu selalunya timbul apabila sesuatu itu kita mula tengok dari sudut lain (berbeza).  

Lagipun masih adakah lagu-lagu kontemporari Malaysia yang layak dikaji dari segi kaitan kreativiti penciptaannya dengan general intelligence. Tak ada.

Teringat temubual seorang deejay radio dengan Edry Abdul Halim. Kata Edry, selera sudah berubah. Katanya selera pendengar hari ini adalah terhadap lagu pakai buang. Kalau aku faham, maksud Edry ialah lagu yang kita dengar sedap hari ini mungkin esok kita tak mahu dengar dah. So layan sajalah sebagai halwa telinga selagi kita suka nak dengar.  

Tapi one thing, lagu Pulanglah ini sangat catchy dan boleh dilayan.

Layan berapa kali?

We'll see.


Lirik lagu Pulanglah oleh Awi Rafael:

Bukalah mata dan lihat dihadapan mu
Aku berdiri tegak tapi kau tak nampak
Mata aku seperti sering kau campak saja
hanya hendak ada yang aku tak ada

Mungkinkah aku yang tidak sekaya
Munkinkah aku yang tidak bergaya
Haruskah aku yang tetap menanti kamu
berikan jawapan

pulanglah sebelumku runaway
Aku menanti kamu everyay
Aku menunggu dari Monday Tuesday, Wednesday, Thursday
tak ingin tak perlu
Pulanglah sebelumku run away
Aku menantimu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
tak ingin tak perlu
Aku dah bingung

Aku berjalan di kota Kuala Lumpur
Semua nampak berbeza tapi ku sama...
 
Awi Rafa