Monday, March 28, 2011

Tentang Mimy


Beberapa bulan lalu ...

... ketika saudara berkumpul beramai-ramai kerana satu majlis keluarga, kami yang malas balik sudahnya tidur saja di ruang tamu. Aku memilih satu ceruk untuk tidur. Bagaimanapun, beralih tempat tidur begitu membuat aku susah lelap. Aku sangkakan aku seorang saja yang begitu. Tiba-tiba aku terdengar suara sepupuku Mimy berbisik. Jelas segala butir buah bisikannya di telinga ku.

"Jangan nakal-nakal. Tak lama lagi mama nak pergi. Siapa nak tengokkan Kimi...?," bisiknya.

Dari ekor mata, aku nampak Mimy berbaring sambil memeluk anaknya Kimi yang sedang nyenyak tidur. Diciumnya Kimi yang baru berumur 4 tahun itu berulang kali.

"Mama sayang Kimi. Mama nak tengok Kimi besar, tapi mama tau mama tak sempat,"  bisiknya lagi perlahan-lahan.

Sesudah siang esoknya baru aku tahu, ada seorang ibu saudaraku yang berbaring di ruang tamu itu juga tidak boleh lelap dan turut terdengar bisikan Mimy. Ia sebenarnya sebuah rintihan. Ini diceritakan kepada ibu saudara lain dan masing-masing menitiskan air mata.

Beberapa tahun lalu ...

... Mimy bertemu jodoh dengan seorang pegawai undang-undang yang bertugas di sebuah majlis bandaraya bernama Nik. Nik sebenarnya adalah seorang bekas pegawai tentera berpangkat leftenan. Dia bukan sahaja good looking tetapi juga berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama. Sejak kehadiran Nik di dalam keluarga kami, dialah yang selalu ke depan apabila membacakan doa di majlis-majlis keluarga. Makcik-makcikku pun apa lagi, tidak habis-habis memuji.

Tidak lama selepas itu, sedikit demi sedikit kami menyedari Nik dan Mimy menghadapi masalah kewangan. Dan entah bagaimana juga, tiba-tiba aku dengar Nik kehilangan kerja. Ekoran dari itu, dia membawa Mimy pulang ke negeri asalnya. Di sana mereka tinggal bersama keluarga Nik dan aku tidak tahu apa yang dilakukan dan apa punca pendapatan mereka ketika itu. Di sanalah juga Nik dan Mimy mengambil anak angkat, seorang kanak-kanak lelaki bernama Hakimi dan dipanggil Kimi sahaja. 

Nasib Nik terbela sedikit apabila seorang bapa saudaranya memberikan dia kerja di syarikat miliknya. Maka kembalilah Nik, Mimy dan Kimi ke Kuala Lumpur. Aku sempat mengunjungi mereka sekali sahaja di rumah baru mereka di Puchong sebelum aku dengar Nik jatuh sakit pula.

Dia kemudian berhenti kerja dan kembali semula ke negeri asalnya bersama Mimy dan Kimi. Dan sedang aku berkira-kira untuk pergi menziarahi mereka, saudara mara lain mula berkongsi cerita bahawa masa untuk Nik sudah tiba. Dan itu memang betul kerana tidak lama selepas itu Nik pulang ke Rahmatullah.

Nik semasa hidupnya adalah mangsa ketagihan dadah dan dia dijangkiti HIV. Itu menjadi punca dia kerap kehilangan pekerjaan dan sudahnya jatuh sakit dan menyerah kepada retrovirus HIV.  

Setelah itu, Mimy mahu menetap sahaja bersama ibu mertuanya di tempat kelahiran Nik. Agaknya dia mahu terus "dekat" dengan Nik. Namun, dia sendiri sudahnya terpaksa menerima hakikat, sebagai isteri Nik, keadaan darahnya sendiri telah tercemar. Mimy telah turut disahkan pembawa HIV. 

Lama juga Mimy menyimpan perkara ini untuk pengetahuan dirinya sahaja. Namun apabila keluarga mendapat tahu, keluarga meminta dia segera pulang dan dia akur.

Keluarga menyewakan dia dan Kimi sebuah rumah di sebelah rumah seorang ibu saudaraku. Kami beramai-ramai menghulurkan bantuan. Di situlah dia membesarkan Kimi yang kini sudahpun masuk sekolah tadika Islam.  

Memang aku dan Mimy selalu berjumpa apabila ada majlis keluarga. Tetapi biasanya dia hanya mendiamkan diri. Dan setiap kali bertemu, selalu sahaja dia meminta aku menangkap gambar dia bersama Kimi dan ada kalanya gambar Kimi seorang. Selepas itu, disuruhnya aku print gambar itu besar-besar. Adakalanya bila aku terlupa kerana sibuk, Mimy akan buat-buat merajuk dengan aku.

Aku sudah tidak dapat mengingat sejak setahun yang lalu sudah berapa kali Mimy keluar masuk hospital. Kulitnya semakin lama semakin hitam dan kasar. 

Beberapa minggu lalu ...

... Mimy dimasukkan ke sebuah pusat perlindungan dan rawatan Islam khusus untuk pesakit HIV. Di sana, dia diajar menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, di rawat dengan ayat-ayat suci Allah di samping ubat-ubatan moden. Dan yang lebih penting disitu dia ditekankan untuk menguatkan diri melalui qiamulail dan sembahyang-sembahyang sunat dan taubat dll. Memang selama inipun Mimy sudah begitu.

Berat aku hendak menyebutnya tetapi Mimy seperti semakin kuat mahu menyiapkan dirinya yang kian hari kian lemah itu untuk satu perjalanan terakhir.

Sepanjang Mimy di situ, Kimi dijaga oleh ibu saudaraku.

Beberapa hari lalu ...

... Aku mendapat tahu Mimy terjatuh di pusat perlindungan dan rawatan itu kerana dia sudah tidak berupaya. Dia segera dikejarkan ke sebuah hospital. Kini dia terlantar di situ dan kami semua memanjatkan doa agar dia tenang, tabah dan segala urusannya dipermudahkan. 





2 comments:

Rin Ahmad said...

i sedih laa HK... serius i sedih.. Kimi pulak sebaya zikrey... gosh! semoga Allah permudahkan perjalan Mimy keSANA.. serius i sedih sgt! dah laa masa tengah baca ni background music kat blog i lagu siti nurhaliza.. BISAkah...

Anonymous said...

touching...

Post a Comment