Friday, February 25, 2011

Tentang Kehidupan Umbut Kelapa dan Ikan Sungai

6 comments
Antara tempat yang pernah aku kunjungi atas tuntutan tugas dan tidak pernah lupa ialah Hulu Tembeling di Pahang. Hulu Tembeling terkenal dengan Taman Negara. Walaupun ketika kunjungan aku ke Hulu Tembeling itu memang aku sempat singgah Taman Negara, tetapi apa yang membuat aku tidak lupa sebenarnya bukanlah pengalaman di Taman Negara yang popular itu.

Sebaliknya apa yang kekal segar dalam ingatan ialah kampong-kampong yang aku dan kumpulanku singgahi dan bermalam seperti Kg Bantal, Kg Mat Daling, Kg Kuala Sat, Kg Pagi dan Kuala Tahan yang terletak di daerah Hulu Tembeling.  

Sebenarnya sepanjang kunjungan selama enam atau tujuh hari itu aku bukan sekadar menjumpai kampong-kampong tradisi yang disebutkan tetapi telah menemui kehidupan-kehidupan dan manusia-manusia berketurunan Melayu yang aku tidak pernah tahupun wujud dan tinggal di tengah-tengah hutan di bumi Pahang.

Tidaklah aku berniat merendah-rendahkan apabila mengatakan mereka tinggal "di hutan" tetapi apa yang ingin aku sampaikan ialah perihal terkejutnya aku bertemu mereka di situ dan mengenai penemuan aku tentang sebab mereka berada di situ.

Mungkin aku jadi terkejut kerana tidak membuat homework terlebih dahulu dan boss aku pula ketika meminta aku ke situ cuma menamakannya Hulu Tembeling dan Taman Negara sahaja.    

Beginilah rupanya ketika menaiki bot di Hulu Tembeling. 

Pengangkutan kami untuk sampai ke kampong-kampong ini ialah bot. Inilah satu-satunya "kenderaan" yang boleh tiba di kampong-kampong berkenaan (sekarang aku dengar kenderaan pacuan empat roda sudah boleh tiba ke Kg Mat Daling dan lori-lori balak juga semakin rakus menggasak kawasan ini).

Tidur pula kami berkhemah dan ada yang di dalam bot sahaja. Kumpulan kami terdiri daripada petugas-petugas pakar dalam bidang masing-masing dan mewakili jabatan atau syarikat masing-masing. Aku saja yang bukan pakar apa-apa. Tahulah aku ni macamana kan ...

Semua kami bergerak bersama-sama singgah satu kampong demi satu kampong untuk memberikan perkhidmatan masing-masing seperti hal berkaitan tanah, kesihatan, pergigian, pendaftaran (kad pengenalan dan surat beranak) dan memperkenalkan saham amanah sebagai tabungan masa depan. 

Di sinilah bermulanya emosi aku disentuh apabila melihat doktor gigi dan pembantunya yang datang bersama kami gigih memasang kerusi untuk memeriksa gigi sekadar ditepi sungai dan di bawah rimbunan buluh yang daunnya tunduk menjurai bagaikan tabir. Orang-orang kampong beratur menunggu giliran.

Seorang doktor pula menjadikan sampan sebagai "klinik" dan di tepi sungai berbaris panjang mereka yang hendak bertemu "tuan doktor."

Sama halnya jabatan-jabatan lain masing-masing mencari tempat sesuai "membuka meja" dan orang-orang kampong sabar menanti giliran. Dan ketika aku sendiri asyik (menyibuk) dengan tugas, sempat juga terperasan jabatan pendaftaran menguruskan orang-orang yang hendak membuat kad pengenalan dan "studionya" di tepi sungai itu sahaja. Aku sayu.

Aku diserang 1000 tanda tanya siapakah masyarakat Melayu ini dan mengapa mereka memilih tinggal di sini, tempat yang hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai. Jauh dari kemudahan dan pembangunan.

Curiosity is lying in wait for every secret.

Dan aku pun mula bertanya. Tulisan ini jauh sekali dari menjadi satu kajian apa-apa sebab aku hanya bertanya sepintas lalu dan jawapan yang aku terima juga serba ringkas.

Pada zaman dahulu, pahlawan-pahlawan Melayu yang menentang Inggeris terpaksa hidup berpindah randah mengelakkan diri dari dikesan dan ditangkap penjajah. Dan di Pahang, Sungai Tembeling merupakan laluan utama bagi pemimpin Melayu ini seperti Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau lari sampai masuk ke Terengganu dan ada yang terus ke Kelantan dan Siam.

Ini menjelaskan kenyataan seorang pakcik yang aku temui di Kg Bantal bahawa penduduk di kampong itu adalah keturunan Mat Kilau. Apabila aku google, memang ada pihak lain yang turut menyebut Kg Bantal itu pernah menjadi laluan Mat Kilau ketika berperang dengan Inggeris.

Tidak hairanlah jika keturunannya memang masih ada di situ sebab ada kalanya anak-anak kecil dan ibu-ibu mereka ditinggalkan saja.

Ketika di situ juga, ada seseorang dalam kumpulanku yang mula bercakap mengenai apa yang dirasainya  tentang kelainan falsafah yang dipegang masyarakat Melayu di situ. Katanya dia memerhatikan betapa tingginya sifat percayai mempercayai sesama sekampong, tolong menolong dan kekentalan hati mereka. Sumber rezeki dikongsi bersama dan tiada amalan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana enau sekarang sudah duduk di USJ Subang Jaya, Denai Alam, Bandar Seri Putra (Bangi) dan Jade Hills (Kajang).

Dan di situ, kami dijamu makan malam dengan umbut kelapa, pucuk paku, ikan sungai, daging landak dan sepertinya dengan ditemani bunyi aliran sungai dan cengkerik dan mendengar pelbagai kisah kehidupan yang diceritakan dalam loghat Pahang yang tebal. 

Kata mereka, maaflah itu sahaja rezeki yang ada sedangkan di benak kami pula muncul seribu kekaguman melihat bagaimana hidup boleh tetap sempurna di mana sahaja.

Kata mereka, mereka serba kekurangan hinggakan kami terpaksa datang secara berkala memberi perkhidmatan. Tetapi pada kami pula, kami yang datang untuk belajar kerana selalu lupa untuk bersyukur. 

Monday, February 21, 2011

Tentang Makan Tak Sedap

2 comments
Bagaimana rasanya selepas membayar RM8.60 untuk makan tengah hari (dengan sirap bandung) dan selepas itu kita cuma boleh makan sesuap dua sahaja?

Tak boleh makan sebab nasi putih keras, ikan merah yang diletak dalam kuah lemak cili api pun keras dan  sambal ikan bilis pula undercook dan oleh itu amat terasa kementahannya. Ikan masin yang aku turut ambil, cuba menyelamatkan keadaan dan aku sumbat juga ke mulut bersama nasi. Tetapi apa yang ikan masin boleh buat dengan nasi yang keras?  Aku mengalah. I left most of itWhich left me really pissed off too.

Aku bukanlah jenis yang bila makan semua kena top notch dan semua kena tahap menjilat jari. Tapi selepas berbelanja sebanyak itu dan cuma boleh telan sesuap dua, rasa sangatlah keciwa. Tambahan pula semua itu adalah rezeki. Hendak sumbat juga, aku memang ada masalah kesihatan berkaitan dengan perut dan memang memakan ubat.   

Hendak mengadu pada tuan punya kedai, serba salah juga sebab pada hari-hari lain masakannya elok dan sedap sahaja. So ringkasnya, it's just one of those days what I ate was something yucks.

Dan yang membuat pengalaman makan tengah hari tadi sesuatu yang menyedihkan ialah dari pagi lagi aku sudah berangan nak makan ikan merah masak lemak cili api di kedai itu. 


Rating :

Nasi putih 2/5
Ikan merah masak lemak 1/5
Sambal ikan bilis 2/5
Ikan masin 4/5
Sirap bandung 3/5 
  

Sunday, February 20, 2011

Tentang Berat Bertambah

5 comments
Semalam semasa tertengok Siti Nurhaliza di Astro, aku merumuskan isteri Dato K itu sudah gemuk. Mukanya nampak melebar. Bila aku tukar ke TV3 untuk menonton Majalah Tiga, aku nampak pula Nursyuhada dan aku rasa dia juga makin besar berbanding awal-awal dia muncul di kaca TV dulu. Dan seorang lagi yang aku rasa sudah kian membesar ialah aku sendiri. Aduh. Aku rasa badan aku berat dan bahagian pinggang aku sudah nampak macam berlipat sedikit jika dilihat dari belakang. Aku dah tengok cermin ok. Seluar aku banyak yang aku rasa tak selesa kerana ukur lilit pinggang yang bertambah. 

Macamana boleh jadi begini?

Jumaat lepas sebaik keluar pejabat aku bergegas ke Masjid Saidina Omar Al Khatab di Bukit Damansara untuk menghadiri majlis tahlil arwah isteri boss aku. Walaupun meredah kesesakan trafik petang Jumaat, aku tiba tepat-tepat ketika azan maghrib berkumandang.  Tahlil dan bacaan Yassin selepa maghrib dan makan pula sebaik selepas Isyak di Dewan Al Khatab di bahagian bawah masjid. Bila tiba waktu makan,  aku mendapati diri aku berada di depan sekali untuk mengambil makanan. Macamana boleh jadi macam tu ye?.Hehe. Aku memang lapar sebenarnya. Jadi pinggan aku bukan saja penuh nasi briyani, ada dua ketul ayam goreng dan seketul daging. Makanlah aku duduk di meja paling jauh konon malu nanti orang tegur aku ambil banyak. Sesudah habis, aku rasa nak bertambah tapi malu. Takkan nak angkut pinggan dan lalu tengah-tengah orang ramai. Jadi aku cuci tangan, masuk barisan semula dan ambil pinggan baru. Orang  mungkin tak perasan dan ingat aku baru saja turun dan baru hendak  makan. Haha.

Bagaimanapun rupanya HR Manager aku dah perhatikan aku. Lepas aku dah habis makan second round dia datang ke meja dan  kata dia nampak berselera sungguh aku makan. Sibuk je. Pergi cepat prepare untuk bayar bonus!  

Sampai di rumah, instead of tidur macam ular sawa yang kenyang, aku tidur lewat sebab mambaca dan tengok TV dan sudahnya buka peti ais dan makan coklat pula. Ada kalanya (di ketika yang lain) aku boleh masak maggi dulu sebelum tidur. Ini semualah yang membuat berat badan aku naik sekarang ini.

Tapi aku juga tidak boleh mengenepikan bahawa metabolisme aku sekarang semakin perlahan. Semua manusia akan melalui fasa ini ok. Hehe. Secara semula jadinya, ada  beberapa faktor akan memperlahankan metabolisme kita seperti umur, keturunan dan cara hidup yang kita amalkan. 

Umur? Dari apa yang aku baca, apabila keanjalan otot merosot, paras lemak akan meningkat. Otot lebih aktif berbanding tisu lemak dan ini sebabnya apabila otot berkurang, kadar metabolisme juga menurun. 

Bagaimanapun, jika nak dibandingkan antara lelaki dan wanita, metabolisme lelaki lebih cepat berbanding wanita kerana saiz badan kami  yang lazimnya lebih besar dan mempunyai kurang lemak badan. 

Oh, sebab itulah Siti Nurhaliza dan Nursyuhada makin membesar haha. 


Friday, February 18, 2011

Tentang Bas Yang Kemalangan

5 comments

Ingat lagi kemalangan dasyat membabitkan kehilangan jiwa pelancong Thailand baru-baru ni? Semasa merayau pekan Ipoh untuk mencari mi goreng baru-baru ni, aku terkejut bila nampak badan bas yang dah hancur ni "di pamerkan" di depan balai polis tak jauh dari Stesen KTM Ipoh yang cantik tu.  

Memanglah bukan ia dengan sengaja dipamerkan tetapi the fact that it is just left unguarded like that make me and others feel that pihak berkuasa memang sengaja nak tunjukkan pada public. Tidak dipagarkan pun.

Tak salahpun agaknya public tengok sebab ia boleh mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya. In fact semasa aku kecik dulu, siap mereka (agaknya Majlis Keselamatan Jalanraya) buat pentas khas dan letak sebiji kereta yang remuk atas stage itu supaya orang yang lalu lalang dapat tengok. 

Tetapi mengenai bas ini, bila semua orang boleh pergi dekat dan pegang-pegang bas tu, buat aku rasa tak best. Macam tak respect pada those yang hilang nyawa dalam kemalangan tu. Dan bas itu bukankah bahan bukti?. Tidak takutkah bahan bukti diganggu?. Masa aku lalu itu ada pekerja Nepal atau Myanmar yang lepak-lepak melihat bas itu. 

      

Tentang Nyonya Kantin

0 comments
Di satu majlis korporat yang aku hadiri atas urusan kerja dan sudah semestinya atas arahan boss, aku terkejut tiba-tiba ternampak nyonya kantin sekolah aku dulu di antara para hadirin. Kami sama-sama terkejut sebenarnya. Dia masih mengenali aku dan turut kehairanan apa aku buat di situ. Dan aku lagilah pula, nyonya kantin dari sebuah sekolah tidak terkenal di sebuah pekan kecil sedang berada di sebuah majlis korporat di sebuah hotel besar di Kuala Lumpur. Macam tak make sense. Biasalah aku kan berfikiran begitu. Aku tidak dapat pergi segera mendapatkan nyonya itu untuk merungkaikan tanda tanya yang menguasai diri kerana majlis sedang berlangsung.

Ok lah, majlis ini ialah sempena cadangan penyenaraian sebuah syarikat di Bursa Malaysia. Kejayaan tuan punya syarikat ini iaitu seorang taukeh muda, memang mengkagumkan. Jika tidak hebat, tentulah tidak layak syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia kerana listing requirement Suruhanjaya Sekuriti dan juga Bursa Malaysia mesti dipenuhi dulu.

Di majlis itu ada ucapan demi ucapan, sedikit taklimat dan akhirnya pemeteraian perjanjian taja jamin  antara syarikat berkenaan dengan beberapa institusi kewangan. Namun, di tengah-tengah majlis itu, aku tidak terlepas dari rasa ingin tahu mengapa nyonya kantin sekolah aku dulu berada di situ.

Selepas majlis berakhir aku terus menuju ke arah nyonya itu dan dia sendiri tersenyum melihat aku datang. Senyumannya terus mengingatkan aku betapa nyonya yang fasih berbahasa Melayu loghat Perak ini dulu memang mesra dan peramah. Dari rupanya yang sudah agak berumur, aku meneka dia sudah tidak meniaga lagi.

Aku terus bertanya khabar dan mengeluarkan soalan yang aku hendak tanya sangat, "Nya buat apa sini?" (kami memang memanggilnya Nya sahaja)

"Itu hah anak aku...'' kata nyonya itu sambil menuding jari ke arah taukeh muda tadi yang mana sudah tentunya seorang jutawan dan bakal bertambah kekayaannya apabila saham syarikatnya diapungkan di Bursa Malaysia.

"Ko pulak buat apa sini?" tanya nyonya itu.

Terasa sebenarnya aku yang tidak layak bertanya apa dia buat di situ.   

Tuesday, February 15, 2011

Tentang Maulidur Rasul

2 comments

Ketika melepasi simpang Giant Shah Alam semalam ternampak banner mengenai sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor. Ia segera mengingatkan aku kepada dua perkara. Pertamanya sudah lama aku tidak menghadiri majlis sambutan memperingati kelahiran nabi besar junjungan termulia Nabi Muhammad SAW dan keduanya, aku terkenang zaman kanak-kanak di mana sambutan yang "gilang gemilang" dilangsungkan di pekan kecil tempat aku tinggal.

Aku sudah lupa tetapi jikapun aku ada menghadiri majlis Maulidur Rasul ketika sudah dewasa ini, mungkin ia lebih merupakan "paksaan" kerana mewakili majikan.

Selain dari itu, setiap kali datang Maulidur Rasul aku hanya mengucapkan selawat di rumah sahaja, itupun cuma di sebelah pagi.

Ketika aku kecil, sambutan Maulidur Rasul merupakan sesuatu yang istimewa untuk aku. Ia merupakan peluang kedua untuk memakai baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping. Peluang kedua selepas  Hari Raya. Aku dibawa bersama oleh apak menyertai jabatannya dalam sambutan yang dianjurkan oleh majlis daerah. Dan sudah semestinya sebagai kanak-kanak, aku berada di depan sekali, berarak betul-betul di bawah sepanduk yang dihias cantik. Itulah kelebihannya tinggal di sebuah pekan yang kecil kerana apa saja yang berlaku, satu pekan akan tahu dan terbabit  sama.  

Hari ini, perarakan sedemikian tiba-tiba dijadikan isu dan polemik pula oleh golongan berkepentingan. Aku memang bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa ada cara lain lebih afdal menyambutnya iaitu dengan mengadakan majlis ingat-mengingati menjauhkan diri dari kemungkaran dan meningkatkan tekad untuk menjadi terbaik di sisiNya. Tetapi pada masa yang sama, aku juga berpendapat tiada salahnya jika berarak,  sesuatu yang sudah dilakukan di negara ini sejak turun temurun. Ini adalah kerana bukannya kita membuat sesuatu yang mungkarpun malahan ia menjadi pembakar semangat untuk bersatu padu dan untuk menunjukkan apabila berkumpul sebegitu, kita semua sama saja tanpa dibezakan darjat dan keturunan.

Tolonglah berhenti berpolitik disebalik perkara-perkara berkaitan keagamaan.  

Wallahualam.

Tentang Mountain Bike

5 comments
Setelah dua minggu dipujuk aku akhirnya bersetuju menjual mountain bike aku kepada Edy. Edy membodek dengan beralasan aku sudah lama tidak menggunakan mountain bike itu dan elok jual saja untuk dimanfaatkan oleh orang seperti dia.  


Edy betul. Hakikatnya, memang aku sudah lama tidak mengayuh.


Asalnya, aku membeli mountain bike itu dua atau tiga tahun dulu untuk terus aktif bersukan setelah "terpaksa" berhenti berjogging apabila doktor mendapati ada ligamen di bahagian lutut aku yang putus - kesan pembabitan lampau dalam pelbagai jenis sukan dan riadah. Dengan kecederaan itu, aku selalu rasa pedih di bahagian lutut apabila berjogging. Paling teruk aku terasa sakit begitu ialah ketika mendaki sebuah bukit di Taman Negara pada tengah-tengah malam semata-mata hendak melihat matahari muncul esok pagi. 


Dengan sakit begitu, mengayuh basikal merupakan pilihan yang ada untuk aku beriadah kerana berkayuh tidak memerlukan aku menghentakkan kaki ke tanah yang hanya akan menyebabkan lutut aku sakit semula (doktor menyerahkan pada aku bila nak buat operation dan betulkan ligamen itu).


Bermula dengan mengayuh di sekitar Shah Alam, aku kemudiannya menyertai gang yang mengangkut basikal di atas kereta dan keluar subuh hari untuk berkayuh di tempat-tempat tertentu. Dalam tempoh yang singkat, aku sudah berbasikal di Putrajaya, Cyberjaya, Janda Baik, Bukit Brogra dan Tg Karang. 


Aku tidak akan lupa tersesat di dalam hutan di Broga dan akhirnya masing-masing memikul basikal menuruni bukit mencari jalan keluar berpandukan suara anak-anak orang asli yang sedang bermain-main di kaki bukit. Aku tidak akan lupa berkayuh di tepi sawah padi di Tg Karang di samping kumpulan burung-burung bangau yang mencari makan anak-anak ikan di tali air. 


Antara faktor yang menyebabkan aku perlahan-lahan mengundur diri daripada mengayuh ialah apabila seorang demi seorang gang berbasikal aku ini meninggalkan mountain bike dan beralih kepada  racing bike pula. Ini satu kejutan untuk orang pemalu seperti aku kerana menunggang racing bike bermakna aku mesti bertukar kepada gaya pelumba yang memakai tight fitting jersey.


Tahu sajalah, memakai tight fitting jersey akan menyebabkan bahagian alat sulit nampak jelas tersembul. Haha. 


Memanglah semasa mengayuh mountain bike dulu aku turut memakai seluar ketat yang ada padding itu tetapi aku sarungkan seluar lain pula di luar. T shirt pula aku pakai jenis yang biasa sahaja kerana aktiviti berbasikal kami bukan menekankan kepada kelajuan sebaliknya  tertumpu kepada off road, downhill, memasuki belukar dan meredah anak sungai.


Menggunakan racing bike pula bermakna sepenuhnya menggunakan jalanraya dan pakaian pula harus sesuai dengan rintangan angin bagi meningkatkan performance.


Edy nampak teruja ketika datang mengambil basikal aku. Dia bercerita kawan-kawan di pejabatnya mula berbasikal dan dia terjebak dengan hasutan dan ajakan kawan-kawan. Hmm, sama juga macam aku dulu. Masa mula-mula terjebak, setiap kali lunch hour sanggup menghabiskan masa mencari kedai basikal di ceruk mana pun dalam KL ini. Apabila on line, laman-laman basikal saja yang jadi tumpuan.


Sama ada aku berani turut beralih kepada racing bike, kena tunggu dan tunggu ... 


Life is like riding a bicycle
 - in order to keep your balance, 
you must keep moving.  
~Albert Einstein




Monday, February 14, 2011

Tentang Che Nin bt Jabit

6 comments
Che Nin bt Jabit
(9/6/1987 - 3/8/2010)

Seorang kawan yang singgah bermalam di Kuala Kangsar pada cuti Gong Xi Fa Cai baru-baru ini bercerita mengenai pertemuannya dengan pengarah Mamat Khalid dan pelakon/penyanyi Awie. Dia terserempak dengan mereka di sebuah  hotel di Bandar Di Raja itu dan lalu bertegur sapa dan bersembang. Kawan ini merumuskan Mamat dan Awie amat peramah.

Mamat dan Awie  memberitahu kawan ini bahawa tujuan mereka berada di kuale ialah untuk penggambaran sequel Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Aku sudah menonton Hantu Kak Limah Balik Rumah dan aku akui ia menghiburkan. Oleh itu perkhabaran mengenai pembikinan sequel ini menarik minat aku. Aku tidak dapat mengagak jalan cerita dan plot yang bakal dipersembahkan oleh Mamat dalam sequel ini. 

Tetapi kalau aku, secara peribadi aku ingin mengetahui mengenai apa yang berlaku kepada Che Nin (salah saru watak penting dalam HKLBR) sepanjang 6 bulan dia ditinggalkan oleh Husin sehinggalah saat dia menghembuskan nafas terakhir. Pemergian Che Nin langsung tidak diketahuipun oleh Husin

Menurut Pak Jabit, Che Nin memang dari keturunan mati muda. Ibunya mati muda dan begitu juga dengan neneknya. 

Aku ingin mengetahui mengenai gelodak jiwa seorang gadis desa yang cantik ayu dan penuh sopan santun dalam menghadapi situasi menjerut rasa sebegitu.

Aku ingin mengetahui bagaimana Che Nin berhadapan dengan satu kejutan apabila ditinggalkan, bagaimana dia mengisi kekosongan hidup tanpa mendapat jawapan punca ditinggalkan dan bagaimana dia mengubati duka lara hatinya mengetahui cinta dan hasrat tidak kesampaian. 

Siapakah Che Nin? Adakah dia memang membantu ayahnya berniaga di warung makan atau dia sama seperti remaja lain memilih bebas dari ibu bapa dan bekerja di bandar berdekatan?


Di kala Husin terpengaruh dengan budaya rock yang jelas terlihat dari cara dia berpakaian, Che Nin tampil datang dari "alam satu lagi" dengan gaya dari tahun 1950an untuk menemui Husin. Adakah Che Nin semasa hayatnya memang bersederhana dalam pemakaian atau dia sama terdedah pada pengaruh sub culture rock, punk, gothic atau harajuku?
    
Semua permasalaahan Che Nin diselesaikan melalui divine intervention, nyawanya diambil dan semua kesedihan dan kekeciwaannya dikuburkan bersama. Absence and death are the same - only that in death there is no suffering.


Nota untuk diri sendiri :Beramallah dan tambahkan amalan.





        


Friday, February 11, 2011

Tentang Mencari Erti Keikhlasan

4 comments

Aku teringat berkunjung ke rumah seorang ahli perniagaan wanita atas satu urusan. Selalunya aku kalau ke situ lebih gemar duduk di luar sahaja saja berborak dengan pengawal keselamatan walaupun ayah wanita itu selalu mengajak aku masuk untuk bersembang. Wanita ini masih bujang dan memiliki beberapa syarikat. Satu daripada syarikatnya memegang satu konsesi perniagaan yang diperolehi dari sebuah kerajaan negeri. Bayangkan duit yang masuk apabila memiliki konsesi sebegini.

Satu hari ketika aku ke rumah wanita itu, dia sedang mengadakan usrah yang dihadiri sekumpulan wanita lain yang aku agak adalah rakan-rakannya. Aku yang duduk diluar jelas mendengar perbincangan yang berlangsung. Wanita itu mendapatkan pandangan ustaz mengenai bagaimana hendak benar-benar ikhlas dalam berdekah. 

Kata wanita itu, semua derma dan bantuan yang dia hulurkan sememangnya ikhlas dan itu sepatutnya sudah mencukupi. Bagaimanapun katanya dia sering dilanda persoalan mengenai keikhlasan kerana baginya itu amat penting dalam mendapatkan keberkataan dan keredhaan. Katanya lagi sebagai manusia biasa dia kadang kala bercerita kepada adik beradik atau kawan-kawan rapat mengenai derma dan bantuan yang dibuatnya. Ini hanyalah sebagai bualan kosong. Malangnya, selepas itu seringkali dia mendapati apa yang dibuat itu menjadi pengetahun pihak lain. 

Wanita itu berkata dia kini menutup sahaja mulutnya dan jika boleh apabila tangan kanan menderma, tangan kiri pun tidak sedar.

Aku sendiri turut tahu mengenai bantuan dan kemurahan hati wanita ini. Antara lain dia menanggung bil bagi masjid dan surau tertentu yang mencecah ribuan ringgit sebulan. Dia juga setiap tahun menghantar saudara mara dan rakan-rakan ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan haji.

Aku menulis mengenai usaha wanita ini mencari erti keikhlasan menderma kerana teringat mengenai kerancakan pihak tertentu di negara ini menderma sambil memanggil sidang akhbar untuk menghebahkan "kemurahan hati" mereka ke seantero Malaysia. Mereka akan memanggil majlis khas, berpakaian cantik-cantik, menyediakan makanan enak-enak dan menempah mock cheque bersaiz satu depa dan kemudiannya beraksi di depan kamera.  

Dan pada masa ini juga sektor koroprat pula makin galak berselindung di sebalik terma Corporate Social Responsibility (CSR) di mana syarikat-syarikat menaja dan membabitkan diri dalam kerja amal (yang tentunya dihebahkan juga oleh PR masing-masing) tetapi pada yang sama memasukkan pula elemen branding, pemasaran dan lain-lain.

Jadi kitapun mulalah melihat majlis di rumah anak yatim dan rumah orang tua yang para hadirin memakai kemeja T dengan logo syarikat-syarikat tertentu dan dipintu dewan kantung door gift diedarkan dan antara lain di dalamnya ada brosur perniagaan.

Wallahualam.

Tentang File Di Bawah Meja

5 comments
Akhirnya tadi tertunai juga hasrat mahu mengemas apa yang ada di bawah meja. Sudah sekian lama aku merancang berbuat demikian tetapi kemalasan, kesibukan dan gangguan-gangguan lain ciptaan sendiri sering saja menjadi halangan.

Sebenarnya tidaklah teruk sangat "keadaan" di bawah meja ini (percayalah ...) kerana cleaner di ofis selalu saja mengemasnya. Tetapi aku telah memberi amaran kepada dia, file-file yang ada di bawah meja ini jangan disentuh apa lagi dialihkan. 

Ia sebenarnya merupakan file peribadi, tiada kena mengena dengan kerja walaupun ia aku simpan di pejabat. 

Masalahnya dengan diri aku ialah tidak tahu membezakan (malas sebenarnya) mana satu dokumen, bil, surat-surat yang mesti disimpan dan mana satu yang boleh dimasukkan ke dalam bakul sampah. Atas sebab itulah aku mempunyai satu file yang aku labelkan dengan amat panjang sekali berbunyi :

THINGS I NEED TO KEEP BUT NOT NECESSARILY I AM GOING TO NEED THEM LATER.

Ya memang begitulah label yang aku lekatkan pada bahagian luar file yang aku keluarkan dari bawah meja tadi. Kononnya file ini aku namakan sedemikian kerana ia menjadi transit point atau tempat singgah sementara sebelum dokumen-dokumen itu ditentukan hala nasib masing-masing - simpan atau buang.

Namun begitu, file ini telah tertinggal begitu sahaja di bawah meja buat sekian lama. Surat  terakhir yang aku masukkan ke dalam file ini bertarikh 28 March 2007. 

Jadi, dari file ini sebenarnya apa yang perlu aku terus simpan dan apa pula yang patut aku nyahkan? 

Ketika menulis ini, aku melihat semula apa yang terkandung di dalam file ini dan sekaligus membuat verdict. Ya, membuat inquest dan membuat open verdict.   

(Oleh kerana jumlahnya yang banyak, aku akan pilih-pilih saja untuk tujuan catatan ini)

Di bahagian bawah sekali file ini ada layout plan pejabat aku semasa renovation hendak dibuat. Kenapa pula plan ini ada di dalam file berkenaan sedangkan aku ada satu file lain khusus untuknya? Verdict : Simpan, tetapi  dipindahkan ke file sepatutnya. 

Kemudian ada pula satu print out tarikh-tarikh lahir emak dan bapa saudara serta sepupu-sepupu. Aku memutuskan untuk simpan. Oh, by the way, aku "ngeri" dengan bulan September dan Oktober kerana berderet hari jadi sepupu rapat. Hmm.. kalau begitu apa kata aku pinda verdict tadi, buang saja print out ini? Haha.

Next, ada satu bil cukai pintu dari Majlis Bandaraya Shah Alam bertarikh 04/06.2007. Buang.   

Ada satu risalah tentang pintar matematik yang diedarkan di sebuah masjid selepas sembahyang Jumaat. Risalah ini mengenai kaedah pembelajaran matematik dipanggil MOKHDAR yang didakwa mampu melahirkan genius sains dan matematik. Verdict : Buang. Tetapi sebelum itu salinkan dulu contact info nya di sini untuk dimanfatkan :

Kaedah Mokhdar
Fyvoeight Resources 
No 23 Jalan Pusat BCH,
1/3 Country Homes,
Rawang.
03-60935815 / 019-2605162.

Seterusnya, ada satu keratan akhbar dari Utusan Malaysia bertajuk Modus Operandi Terciptanya Bangsa Melayu. Sebenarnya artikel ini merupakan ulasan buku yang bertajuk Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu yang disunting oleh Dr Mohamed Anwar Omar Din. Verdict : Simpan untuk reread dan lepas itu buang. 

Di dalam file ini juga ada memo dari bahagian HR bertajuk: Panel Clinics and Dentist as at 31/01/2007. Verdict : Buang sebab ada yang lebih terkini.    

Next. PERMIT MENGUBURKAN. Turut ada dalam file ini ialah salinan permit menguburkan arwah bapa saudara aku. Mungkin aku telah mengambil salinan permit ini untuk dihantar ke bahagian HR sebagai bukti aku menghadiri dan menguruskan pengebumian arwah. Verdict : Simpan.

30 minit kemudian ...

Sesudah memeriksa dan membelek apa yang patut disimpan dan dibuang, file ini masih lagi tebal.

Mungkin memang begitulah aku. Penyimpan.