Wednesday, July 13, 2011

Tentang nenek

0 comments
Serba salah.

Mak ngah aku yang memulakan dan dialah yang terlebih dahulu merasa serba salah diikuti kami adik beradik dan sepupu-sepupu. Kisahnya, mak ngah mahu merujukkan nenek yang terlantar sakit tua kepada ustaz-ustaz untuk melihat sama ada wujud unsur lain menyebabkan dia terus bernafas - walaupun badannya sudah ibarat hanya tinggal kulit sahaja sekarang ini. Mak ngah mahu melihat sama ada wujud saka yang enggan melepaskan nenek pergi. Bagaimanapun ini perlu dibuat tanpa ada sekelumitpun hasrat mahu menyingkatkan umur nenek. Siapa tidak sayangkan nenek yang ketika sihatnya adalah tunjang kekuatan keluarga ini dan oleh itu memang tiada siapa mahu melepaskan dia pergi.

Apa yang mendorong tindakan mak ngah ialah rasa tidak sanggup melihat nenek tersiksa terlantar tanpa sedar apa-apa lagi. Kata mak ngah, rakan-rakan yang sama belajar ilmu perubatan Islam dengannya di Masjid Negeri juga berkongsi pendapat bahawa perlu rujuk nenek  kepada ustaz-ustaz yang mahir dalam hal seperti ini.

Tambahan pula sebelah nenek dari keluarga raja Brunei dan oleh itu mungkin ada penjaganya. Memang kami biasa mendengar pelbagai cerita aneh sejak kecik mengenai kunjungan dan jelmaan benda tertentu yang kata orang-orang tua (datok dan nenek saudara) didatangkan (menjelma) dari Brunei atas sebab tertentu. Wallhualam.
Bagaimanapun, untuk melihat sama ada benar wujud unsur saka,  persetujuan semua mesti diperolehi. Cuma mak ngah bimbang abang aku yang sulung tidak bersetuju. Memang aku pernah rujukkan hal ini pada abangku selepas kami solat maghrib pada satu hari dan jawabnya kalau sudah Tuhan mahu memanjangkan umur nenek kita kena terima saja seadanya.
Oleh itu aku agak terkejut apabila mendapat tahu abangku itu sendiri yang telah membawa seorang ustaz datang ke rumah untuk melihat-lihat nenek.  

Diceritakan pada aku, ustaz berkenaan telah melaungkan azan dan membacakan ayat-ayat suci. Kemudian dia bertanya tentang sebarang senjata tajam diperbuat dari besi yang mungkin ada dsimpan oleh kami. Memangpun nenek ada menyimpan senjata yang dibawa keluarganya dari Brunei. Bersama senjata itu ada macam-macam lagi perkakasan logam yang di bawa sama. Ustaz mengajar bagaimana cara "mematikan" senjata itu supaya ia tidak menjadi tempat tinggal saka. 
Dan seperti yang disuruh oleh ustaz itu juga kami kemudiannya membuangnya ke sungai yang mengalir ke laut.
Kami berserah dan bermohon pada Allah Ta'ala supaya memberikan yang terbaik dan tindak tanduk kami berada di jalannya sentiasa. Biar apa sekalipun, kami tetap menjaga nenek dengan penuh kasih sayang.   

Friday, May 20, 2011

Tentang Maharaja Lawak dan Astro

3 comments

Terjebak !

Baru-baru ini aku melanggan pakej Astro Mustika untuk membolehkan aku menonton saluran Astro Warna (132). Sebut saja saluran itu, sedia maklumlah aku mahu menonton Maharaja Lawak. Aku mula tertarik apabila terbaca komen rakan-rakan di forum bahawa mutu lelucon yang dipersembahkan agak tinggi dan pintar. Dan aku tidak menunggu lagi apabila pada satu malam terbaca status facebook sahabat baik aku Dr Noridah yang katanya sedang menanti tayangan Maharaja Lawak untuk meringankan kepala setelah bekerja seharian.

Akupun terus melanggan walaupun sebenarnya tidak menyenangi strategi Astro “mengenakan” pengguna. Pada awalnya Astro menayangkan Maharaja Lawak di Astro Ceria (104) tetapi setelah penonton mula mengikuti, ia ditukarkan ke Astro Warna pula yang mana terpaksa dilanggani berasingan.
Bagaimanapun langganan Astro Warna  oleh aku ini adalah untuk sementara sahaja. Langganan ini akan dihentikan sebaik Maharaja Lawak tamat. Tidak kuasa aku hendak menyerahkan duit secara berlebihan kepada Astro setiap bulan.

Ingat lagi Astro pernah terbabit dalam isu membuli pengguna? Apabila ia menjadi terlalu dominan dan “berkuasa” ke atas pelanggannya, ia sudahnya memaksakan itu dan ini ke atas mereka sedangkan perkhidmatan dan mutu siarannya bukanlah boleh dibanggakan.

Apabila berlaku hujan dan ribut, siaran pasti terganggu dan melanggaklah pelanggan melihat skrin kosong. Lalu kerajaan, hasil desakan wakil-wakil yang dipilih rakyat,  campurtangan menegur Astro di Parlimen. Dan sebagai jalan keluar, Astro memperkenalkan Byond.

Aku sudah lupa kronologi dan kekerapan Astro meminda perkhidmatan atas nama menambah baik sajian hidangannya.

Melalui Byond pelanggan kononnya mendapat kualiti lebih baik kerana dapat  menonoton rancangan-rancangan berformat HD tetapi yuran sudah tentulah lain pula – dinaikkan.

Tetapi apa yang pengguna terlepas pandang bukanlah semua rancangan disiarkan dalam bentuk HD pun.

Jika tidak salah, yuran pelanggan biasa juga sudah dinaikkan. Walaupun yuran naik, program tetap masih diulang-ulang. Jika ia program yang popular tidak mengapa juga tetapi kebiasaannya filem yang amat tiada taste dimainkan berulang kali.  

Iklan yang melambak-melambak itu pula tidak disusun elok-elok supaya tidak mengganggu tontonan. Tambah jelik apabila sekarang ini promo filem dan drama hantu banyak sangat.

Pendapatan Astro yang dikaut dari kita semua mencecah ratusan juta tetapi cekik tetap cekik. Begitulah dasar kapitalis dan dia tahu dia memonopoli pula.

Jika tidak kerana adanya saluran sukan yang membolehkan aku melihat aksi pasukan kesayangan saban minggu, jika tidak kerana NetGeo, Discovery dan Histroy, sudah lama aku kerat sahaja kabel putih Astro tu.

Bagaimanapun apa yang pasti, setelah tamat Maharaja Lawak nanti, saluran Mustika pasti dipotong dan jimatlah RM12.95 nanti. Dan apa yang pasti lagi (sigh...) aku nampaknya sudah tergolong dalam komuniti yang terjebak menjadikan saluran TV dan kandungannya sebagai satu isu hidup. Siapa suruh ... 

Hidup ini lebih indah di zaman sekadar menonton Cumi dan Ciki.

Monday, May 16, 2011

Tentang Root Beer dan Sarsi

5 comments
Walaupun ia berlaku hanya sebentar, agak kesal juga aku kerana bertelagah dengan seorang waitress Indonesia tadi. Aku tidak pernah terbabit dalam pertelagahan begini dan selalunya aku matikan sahaja apa-apa insiden yang boleh membawa kepada "berlawan cakap" seperti tadi. Tetapi tadi aku teruskan sahaja kerana pertamanya dia tidak membawa minuman yang aku pesan dan keduanya dia terang-terang salah tetapi tidak mahu menerima kesalahannya.

Ceritanya bukan apa. Semasa makan tengah hari tadi aku memesan minuman root beer tetapi diberikan sarsaparilla semata-mata kerana pada can minuman itu tertulis perkataan A&W. Agaknya pada waitress itu apa saja yang terkandung dalam can A&W adalah root beer. Aku memberitahu waitress itu bahawa yang dibawanya itu sebenarnya adalah sarsi dan bukan root beer tetapi dia menjawab balik dengan mengatakan memang itu adalah root beer. Dan dia pergi.

Ini bukan root beer !

Aku sangka hal ini habis di situ dan tidak menjadi masalahpun jika aku meminum saja sarsi jenama A&W yang dikatakannya root beer itu untuk mengiringi nasi ayam Singapura yang aku sedang makan.

Tetapi rupanya dia datang balik dengan membawa satu can sarsi jenama F&N pula. Ditunjukkannya can itu kepada aku saraya berkata "ini barulah sarsi .... !"

Aku terangkan pada dia kalau root beer maka akan ditulis perkataan root beer pada can itu tetapi ini ditulis perkataan sarsaparilla dan sarsaparilla itu adalah sarsi.

Aku katakan lagi apa yang diberikannya pada aku tadi adalah sarsi jenama A&W dan apa yang sedang ditunjukannya kepada aku pula ialah sarsi jenama F&N, keluaran dua syarikat berbeza.
Dan dia pergi. Moga aku dapat pahala mendidik seorang insan yang terkeliru atau tidak pernah tahu mengenai perkara ini. 

Tetapi dari kejauhan aku terdengar dia bercakap dengan seseorang dan perkataan sarsi disebut-sebut berulang kali. Aku sudah malas mendengarnya.

Root beer yang sebenarnya.

Tuesday, May 10, 2011

Tentang New Zealand

3 comments


(i)

Teringat kisah seorang mamat menaiki bot laju di Shotover River di daerah Otago. Setelah bayaran dibuat, bot itu meluncur di tengah suhu sejuk membawa mamat itu bersama beberapa orang yang lain menikmati salah satu daya tarikan pelancongan yang ada di South Island, New Zealand.

Bot itu meluncur tepat ke arah tembok sungai yang terdiri dari bongkah batu besar dan apabila hampir-hampir hendak menghentam tembok itu, dia membuat pusingan dan mamat itu yang gatal menaiki bot berkenaan terasa semua dalam perutnya hendak terhambur keluar. Kemudian pemandu itu menuju ke bongkah batu lain pula untuk mengulangi aksi sama. Apabila bongkah batu sudah betul-betul di depan muka, dia memusingkan steering secara mendadak ! Terasa hendak menjerit tetapi pada fikiran mamat itu amatlah tidak macho berbuat demikian.

Bot itu meluncur di atas air yang merupakan salji cair dari gunung berdekatan. Kesejukan mencucuk tulang mamat itu dan muka dan telinganya terasa keras dan kebas di tambah pula dengan rasa ngeri dipandu begitu.

Mamat itu sudah tidak dapat bertahan dan mahu menepuk bahu pemandu bot supaya berhenti saja di mana-mana dan dia diturunkan. Tetapi terasa malu nanti apa pula kata orang-orang lain di dalam bot itu. Walaupun mereka juga pasti ngeri dan gayat, tetapi tidak pula sampai mereka mahu menyuruh bot berhenti.

Setelah pulang ke Malaysia, seminggu kemudiannya mamat itu terbaca di dalam akhbar dan siap melihat gambar sekali akan seorang lelaki jauh lebih berumur (sangat jauh) sedang tersenyum sahaja selepas menaiki  bot yang sama di Shotover River.

“Cisss Dr. Mahathir ni,” getus hati mamat itu.

(ii)

Seorang colleague aku bercuti tiga minggu dan apabila muncul semula semalam terus aku tanya ke mana dia menghilang.

Dia tersengih tanpa berkata apa-apa buat beberapa ketika dan aku tahu itu tandanya dia berat mahu bercerita tetapi tahu akan terpaksa juga menjawab since aku dah menyoal.

“New Zealand,” katanya.

Setelah aku menunjukkan respon terkejut, dia pula tiba-tiba jadi rancak hendak bercerita.

Sesetengah manusia memang begitu kan?

Mulanya hendak berahsia konon tetapi setelah tercerita sedikit, dia jadi seronok pula hendak bercerita.

Yang membuat aku terkejut ialah kerana menyangkakan colleague aku ini mengunjungi ahli keluarganya di Singapura seperti selalu sebelumnya. Tidak sangka pula dia ke New Zealand.

Berbalik pada kunjungannya ke tanah awan panjang itu (begitu ada yang menggelar New Zealand), katanya, seperti kebanyakan pelancong lain, dia terus ke South Island dan tidak pun ke North Island .

Dengan itu dia dapat menjimatkan masa, wang dan lebih penting dia tetap “tidak tertinggal” apa-apapun yang patut dilihat apabila seseorang berkunjung ke New Zealand.

New Zealand terbahagi kepada dua bahagian pulau utama – South Island dan North Island.

Di antara dua pulau ini, South Island itu lebih cantik dan pasti mengusik kalbu siapa yang berpeluang berada di sana. Tetapi ini tidak bermakna pula North Island itu tiada daya tarikannya.

(iii)

Asyik colleague aku bercerita dan aku terus teringat cerita mamat itu dan tidak sabar berkongsi mengenainya di sini.

Ate kome ingat kome berani ke ?

Tuesday, May 3, 2011

Tentang Beramal Ibadat

4 comments
Pada pengamatan aku dari kecil sampailah dewasa ini, nenek dan emak adalah orang yang kuat beramal ibadat.

Perlu dijelaskan, ini adalah mengikut "ukuran" aku sendiri.

Kuat beramal dalam konteks tulisan aku ini ialah berkenaan sembahyang-sembahyang sunat, puasa-puasa sunat, amalan membaca Quran, berzikir, pelbagai jenis doa Rasulllah dan para sahabat serta sedekah jariah.

Jika ada yang mengikut "jejak langkah" nenek dan emak, mereka ialah adik perempuan dan abang sulungku. Aku pula sangat berbeza dan buat malu sahaja. Aku rasa aku memang patuh pada agama tetapi setakat sembahyang dan berpuasa serta menjauhkan diri dari apa yang dilarang. Zikir yang aku amalkan hanya zikir biasa sedangkan apa yang diamalkan nenek, emak dan adik perempuan ku adalah zikir yang aku tidak tahu kewujudannya. Argument aku ialah mana ada "zikir biasa" sebab semuanya sama - memuji kebesaran Allah. Wallhualam.  

Di tepi sejadah tempat nenek dan emak bersolat, diletakkan bertingkat pelbagai kitab-kitab yang jadi rujukan mereka. Tidak pernah dialihkan. Ada yang sudah lusuh kerana diguna bertahun-tahun, ada yang muka surat berlipat-lipat dan ada yang penuh ditandakan dengan pensil dan pen. Ada juga kertas-kertas kecil yang bertulis dengan doa dan zikir diselitkan di celah-celah kitab berkenaan.

Kerana itu juga ketika kejadian emak dipukul perompak tahun lalu, kitab-kitabnya turut terkena percikan darah.

Walaupun kitab-kitab itu sentiasa tersusun di tepi sejadah, selalunya kebanyakan isinya (doa dan zikir) telah mereka hafal kerana diucapkan bertahun-tahun dan melekat dihati dan bibir.

Dan sudah tentulah mereka selalu bising kerana merasakan aku terlalu banyak membuang masa membaca buku fiskyen dan surat khabar. Emak masih ok lagi. Tetapi nenek sampailah ke saat dia terlantar di katil masih tidak faham kenapa aku terlalu suka mendakap surat khabar (dari kecil.) 

Dan emak juga selalu bising mengapa jarang benar aku pergi mendengar ceramah-ceramah di masjid.

Setiap kali tiba waktu berpuasa sunat, sehari sebelum emak sudah pasti menelefon untuk mengingatkan.

Dan sejak emak tahu menghantar SMS, dia pernah cuba menghantar kandungan ceramah yang dihadirinya tetapi tidak jadi kerana katanya terlalu banyak sangat dia nak kena key in. Hehe

Apabila bercakap mengenai topik ini, aku juga teringat kepada beberapa perkara.

Pertamanya sering diceritakan kepada aku nenek pernah "menjumpai" malam lailatul qadar ketika mudanya. Keduanya ketika semua kain baju dan perkakasan rumah nenek musnah terbakar semasa zaman pemerintahan Jepun, satu-satunya benda yang ditemui tidak terjejas ialah surat Yasin miliknya. Ketiganya, aku pernah lihat sendiri di dinding simen bahagian kepala tempat nenek tidur setiap malam terdapat rekahan simen membentuk kalimah Bismillah.       

  


Tentang Aja

2 comments

Aku terima SMS Aja:

Salam pagi jumaat yg indah abang ...

Lalu aku balas begini:

Anugerah Allah indah belaka

Sesungguhnya aku terkejut tetapi gembira dengan nada SMS Aja. Memanglah kadang-kadang SMS tidak menggambarkan perasaan sebenar si penghantar tetapi dikaitkan dengan apa yang dilalui Aja sehari dua ini, aku lega dia mengutus SMS begitu. 

Baru sehari sebelumnya Aja menangis di telefon mengkhabarkan hasil pertemuannya dengan doktor - di klinik biasa sebelah pagi dan di Hospital Pantai Ipoh petangnya (doktor yang ditemui di klinik biasa  meminta dia tidak berlengah bertemu doktor pakar.)

Dan selepas membuat x ray dan bioscopy Aja mengirim SMS meminta aku menghubunginya. Dan yang menyambut panggilanku hanyalah esak tangisnya.

"Abang, memang confirm lump Aja itu kanser..." katanya.

Aja kata dia sudah memaklumkan hal dirinya kepada abah dan respon spontan abah ialah menangis. Kata Aja dia dalam perjalanan ke Gopeng pula untuk memaklumkan kepada emak secara berdepan.

Teringat apa kala aku sakit dulu, selalu Aja mengingatkan itu ujian dan sebenarnya adalah peluang meningkatkan kesabaran dan menambah pahala bagi yang tahu.

Jadi dalam pada aku sedih mengenangkan esak tangis Aja dan terbayang bagaimana dia perlu melalui tempoh perubatannya selepas ini, aku harap Aja tabah seperti mana dia pernah meminta aku turut kuat dan bersabar.

Ya, aku dan Aja sependapat. Hidup ini indah.  


Wednesday, April 27, 2011

Tentang Loghat Perak

1 comments
Pertama kali pulang bercuti ke Perak setelah menjadi "orang KL," seorang kakak di depan rumah bertanya sama ada ada sesiapa di KL yang hairan dengan cara aku menyebut perkataan "surat khabar".

Aku kata tidak ada pula dan terus bertanya kenapa kakak itu, yang aku panggil Kak Tam, bertanya demikian.

Kata Kak Tam sebutan aku "terlalu Perak" dan malah cara aku menyebut perkataan Kuala Lumpur juga tidak sama seperti cara pembaca berita di TV menyebutnya. Aku belesah menyebut kulumpo saja.

Ya, loghat Perak aku pekat. Tetapi ia tidaklah pula sama 100 peratus dengan loghat Perak yang diucapkan oleh karekter Usop Wilcha atau oleh Cikgu Shida (yang menulis di blog menggunakan loghat Perak). 

Loghat Perak aku adalah campuran cara penuturan di dua daerah yang berbeza.

Aku boleh menggunakan cara sebutan di dua-dua daerah itu kerana pernah tinggal di tempat-tempat berkenaan dan oleh itu akan menggunakan salah satu darinya bergantung dengan siapa aku bercakap.

Aku juga menjadi begitu kerana keluarga di sebelah arwah bapa aku menggunakan satu loghat manakala keluarga di sebelah emak pula satu loghat lain. Jadi sudahnya anak mereka ini dua-dua boleh.    

Ramai tidak tahu sebenarnya loghat Perak terbahagi dua yang utama iaitu loghat Kuale seperti yang dituturkan Usop Wilcha (serta Mr Os) dan loghat Parit seperti yang pernah cuba digunakan satu watak di dalam filem P Ramlee (mungkin filem Do Re Mi).  

Jadi, jika aku berdepan dengan orang yang menggunakan loghat Kuale, aku menggunakan loghat itu dan jika aku bercakap dengan orang yang bertutur dalam loghat Parit pula, aku akan cuba sesuaikan loghat aku ke arah itu.  

Loghat Kuale berpusat di  Kuala Kangsar dan dituturkan di Kuala Kangsar, Ipoh, Teluk Intan, Tapah hingga ke Tg Malim manakala loghat Parit itu pula berpusat di Parit dan tempat-tempat seperti Bota, Lambor dan Kg Gajah. 

Bezanya hanya boleh diterangkan dan difahami dengan mendengar bagaimana ia disebut dan dituturkan. 

Thursday, April 21, 2011

Tentang Perkahwinan TY

6 comments


Attended TY's akad nikah and wedding reception last weekend. Here are some photos from the wedding.


TY put up a marquee next to his house for the reception. The akad nikah and bersanding however were in the house. This photo shows the back portion of his house. 


TY's friends from The Porsche Club.  TY is an active member of the club.


She was there. Look at her kening. Walla...
There were few more familiar faces whom I do not know the names hence I don't bother to take their pictures.

 
 

He was there. His father is in London for some business and to attend Prince William's wedding.
  

Freedom.
Shuib's voice is still the same.


TY and spouse.
Moga berbahagia dan kekal selamanya.


Friday, April 8, 2011

Tentang MasterChef Malaysia

4 comments


Setelah beberapa bulan mengikuti rancangan MasterChef US dan kemudiannya Junior MasterChef Australia, bulan Oktober nanti tercongoklah aku di depan TV menyaksikan MasterChef Malaysia pula.

Astro bakal menerbitkan rancangan realiti berasal dari UK  ini dan khabarnya audition sedang berlangsung. Ia akan dikendalikan di dalam bahasa Malaysia dan disiarkan melalui Astro Ria (104).

Sebenarnya Malaysia bukanlah satu-satunya negara Asia Tenggara yang mengambil dan menerbitkan rancangan popular ini sebab Indonesia dan Filipina juga telah berbuat demikian. Selain itu juga ada MasterChef India, MasterChef Greece, MasterChef New Zealand dan MasterChef Sweden. 

Untuk MasterChef Malaysia, aku harap barisan jurinya biarlah chef-chef terkenal juga seperti  Chef Wan atau yang sepertinya. Janganlah setakat ambil selebriti (aktor atau aktres) yang konon-konon handal bab memasak dan ada rancangan TV sendiri tu. Macam tak dapat belajar apapun dari mereka ini.   

Teruja hendak melihat bagaimana tahap kebolehan orang Malaysia apabila disuruh menyiapkan meal course untuk fine dining.

Aku yakin ramai orang Malaysia yang boleh buat cuma mereka selama ini tidak ada tempat menunjukkan kebolehan masing-masing, selain di ceruk dapur sendiri sahaja. Ada yang mendapat kebolehan menyediakan makanan fine dining ini melalui minat dan trial and error sahaja berpandukan buku-buku resipi dan ada juga yang memang belajar secara langsung. 

Sepupuku Reezal adalah antara orang yang memang belajar memasak makanan ala Barat ini secara langsung ketika mengambil kursus Hotel and Catering di NPC.  Tetapi sebaik habis belajar dia memilih menjadi pramagura pula. Bagaimanapun, oleh sebab sudah ada pengetahuan, selalu sahajalah dia menjadi rujukan saudara mara bagaimana hendak membuat mushroom soup, sauce itu ini, steak dll. 


Aku tak tahu sama ada Reezal berminat hendak memasuki MasterChef Malaysia ini. Aku pula sudah tentunya tak layak kalau asyik masak nasi goreng saja.

Selain makanan Barat yang sesuai untuk cafe, bistro, casual dining, aku rasa, rancangan versi Malaysia ini akan disuntik juga dengan elemen tempatan. Mereka akan diuji membuat rendang, segala jenis tumis-tumisan dan kuih muih tempatan dll agaknya.

Habislah dapur MasterChef kita nanti dengan wap dan percikan minyak. But I like.









   

Monday, April 4, 2011

Tentang Pilihan Dalam Hidup

1 comments
Di dalam hidup ini, kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Ada kalanya kita tidak boleh memiliki semua komponen yang kononnya membentuk kebahagiaan secara serentak kerana di antara komponen-komponen ini ada yang mungkin terpaksa dicerai-beraikan untuk mendapat kebahagiaan hakiki.

Aku mempunyai seorang GM yang aku rasa hidup bahagia, dari perhatian luaran aku

Dia sudah berusia 50 tahun dan sudahpun mengerjakan haji.

Aku pernah memikirkan hidupnya sudah lengkap dan bahagia hinggalah dua minggu lalu aku nampak dia diam seperti sedang memikirkan sesuatu.

Aku tahu menungnya itu bukan berkaitan masalah kewangan kerana dia berkedudukan tinggi, bergaji besar dan ada pula pendapatan luar dari petrol station milik sendiri yang khabarnya masuk puluhan ribu sebulan. Isterinya pula CEO sebuah syarikat senarai awam.

Akhirnya aku mendapat tahu rupa-rupanya isterinya yang berjawatan CEO itu diarahkan bertukar ke sebuah negara yang terkenal dengan keganasan gerila untuk membuka perniagaan baru di sana. Dia akan berada di sana beberapa tahun. Anak-anak pula semua bersekolah di Australia sejak kecil.

Dengan perkembangan terbaru ini, GM aku terpaksa membuat pilihan dan pertimbangan. Antara yang aku tahu pertimbangannya ialah seperti berikut:-

Pertamanya; terus menetap di KL dan bekerja di tempat sekarang disamping mengekalkan petrol station nya sementara isterinya berseorangan di negara berkenaan. Ini juga memudahkan anak-anak balik apabila ada cuti singkat kerana jarak KL – Australia adalah lebih dekat.

Keduanya; berhenti kerja, jual petrol station dan menemani isteri di negara berkenaan tanpa berbuat apa-apa. Apabila anak-anak bercuti, dia dan isteri akan bercuti juga dan semua akan pulang dan bertemu di KL.

Aku hendak juga tahu sama ada GM aku ini setuju dengan arrangement semua bertemu di KL itu kerana dia memang terkenal berkira apabila ada perkara membabitkan  wang.

Ini mengingatkan aku pada satu insiden. 

Walaupun berduit, seorang rakanku pernah menemankan GM aku ini membeli hadiah hari jadi beg tangan tiruan “jenama Coach” untuk isterinya di sebuah kedai yang tersorok di KL. Khabarnya dia membeli beg tangan tiruan ini dengan harga RM2,000 dan harga beg yang original dari design yang sama pula kononnya ialah RM10,000. Katanya, buat apa beli yang original mahal-mahal sedangkan mutu buatannya sama dan kerana itulah harganya boleh mencecah RM2,000.

Tak tahu pula aku apa respon isterinya mendapat beg tangan tiruan sebagai hadiah hari jadi dan entah dia perasan atau tidak.

Berbalik kepada pilihan-pilihannya, aku tidak tahu apa lagi opsyen yang difikirkan oleh GM aku ini tetapi apa yang aku tahu dia telah menemui boss nombor satu aku, Dato Y, untuk mendapat pandangan.

Dato Y, ini pula baru sahaja kematian isteri akibat kanser payu dara dan masih melalui fasa bersedih dan kehilangan. Apabila GM aku memberitahu tentang isterinya bakal keseorangan di luar negara beberapa tahun, terus saja Dato’ Y berkata “wife and family are everything and should come first….”

Dato Y berkata buatlah pilihan yang tepat berdasarkan pentingnya keluarga dan jangan jadi seperti dia yang sudah kehilangan isteri baru tersedar.

Kata Dato Y, kadang-kadang apabila jam 10 pagi dia terasa hendak menelefon isterinya dari pejabat for a small chat dan bergurau seperti yang biasa dibuatnya setiap hari selama 25 tahun lalu tetapi sekarang hendak telefon macam mana kerana dia sudah tiada?

Kata Dato Y, ada kalanya bila balik ke rumah dia terus duduk di sofa tanpa membuka pakaian kerana itulah yang biasa dibuatnya sementara menanti isteri (arwah) balik dari menjemput anak-anak sekolah, tuition, mengaji atau kelas piano, untuk minum petang bersama-sama .

Tetapi kini dia hanya mampu duduk termenung di sofa seorang diri sebab anak-anak sudahpun dijemput driver dan masing-masing lebih suka melayan ipad atau PC game di bilik dan isteri pula sudah tiada.

Setelah mendengar kata-kata Dato Y, GM aku terus saja membuat keputusan melepaskan kerjayanya di tempat aku, menjual petrol station nya dan akan menemani isterinya.

Nasib GM aku ini baik kerana apabila tersebar khabar dia akan menetap di negara berkenaan, sebuah syarikat terus menawarkan dia juga jawatan CEO di sana.