Monday, August 29, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

5 comments

Assalamualaikum

Daripada Ibnu Umar r.a katanya "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membayar zakat fitrah sebelum orang ramai pergi solat Aidil Fitri" - Hadis Riwayat Muslim 

Hari Raya yang sebenar adalah hari yang dilalui tanpa melakukan dosa" - Anas bin Malik r.a  

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir Batin

Thursday, August 25, 2011

Tentang aku di majlis MBM

0 comments
Ketika menjengah keluar lif, aku mengharapkan Gee ada diluar dewan dan boleh membawa aku masuk atau memberitahu di meja mana aku harus duduk. Selepas berlegar beberapa minit, aku lega apabila seperti berjanji pula saat itu Gee meninjau ke luar dan ternampakkan aku.

Lalu aku segera dibawa masuk menuju ke meja di mana Azam dan beberapa orang lain yang tidak aku kenal sudah duduk menanti waktu berbuka puasa. Aku diperkenalkan kepada mereka dan salah seorangnya ialah gadis bernama Farhan. Aku dan Farhan duduk dipisahkan sebuah kerusi kosong di mana dia meletakkan beg tangannya. 

Pada ketika ini, di pentas utama, orang-orang MBM sedang bergambar dengan anak-anak yatim yang dibawa dari Kajang. Dan sebaik aku duduk, ditayangkan pula slaid seorang kanak-kanak jantung berlubang yang baru menjalani pembedahan di India. Segalanya ditanggung dan diuruskan oleh MBM.   

Oleh kerana Gee dan Azam perlu juga bertegur sapa dengan tetamu lain, aku ditinggalkan bersama Farhan yang sentiasa ceria dan tersenyum saja orangnya. 

Oh ya, Farhan adalah bekas peserta sebuah rancangan realiti mengcungkil bakat dan dia berada di situ untuk menghiburkan tetamu selepas berbuka nanti. 

Aku berbual-bual kosong dengannya sementara menantikan Gee dan Azam kembali ke meja. Dari perbualan singkat itu aku merumuskan Farhan bukan kosong tetapi bijak orangnya.

Selepas berbuka dan bersolat, Farhan tak putus-putus diminta oleh hadirin bergambar. Pelbagai bangsa. Agak lucu apabila seorang kanak-kanak kecil bertanyakan kepadanya sama ada dia sudah berkahwin. Dan ketika itu juga ada seorang tetamu terus menawarkan Farhan menyanyi di majlis dia pula nanti. Begitulah apabila menyanyi sedap dan keterampilan pula serba sederhana dan disenangi, orang pun suka dan terus saja ditempah untuk show yang lain pula. Rezeki.

Pada satu ketika, semasa meja kami bertukar pendapat dengan boss MBM mengenai gejala sosial di kalangan remaja, Farhan aku tengok mampu mengeluarkan pendapat sendiri. Apabila aku tanya, katanya dia memang suka membaca dan sentiasa bertemankan buku. 


   

       

Monday, August 22, 2011

Tentang Pengumuman Pada Ramadhan ke 20

2 comments
Ketika berada dalam 10 hari terakhir Ramadhan ini dan Hari Raya pun semakin menghampiri, kalau boleh hendak mendengar perkahabaran yang baik-baik saja.

Namun apalah daya.

Selain takdir Tuhan yang menguji hambanya, kadang-kadang hamba-hambanya ini pun juga gagal mengawal emosi ketika pengakhiran Ramdhan ini hingga perkara buruk tidak dapat dibendung dan terpaksa diluahkan pada ketika dan saat ini juga.

Sabtu kelmarin kami adik beradik dan sepupu-sepupu dijemput berbuka puasa di rumah seorang sepupu yang lain di Shah Alam. Namun begitu tujuan sebenarnya bukanlah untuk iftar semata-mata sebaliknya seorang ibu saudara mahu mengumpulkan saudara mara terdekat, termasuk kami, untuk memberitahu keputusannya mahu meminta cerai dari suaminya. 

Memang aku sudahpun sedia maklum mengenai perkara ini sejak seminggu lalu dan oleh itu malas hendak pergi. Mendengar pengumuman satu perkara yang tidak disukai Allah dan dilakukan pula pada bulan Ramadhan adalah satu perkara yang mahu aku elak saja. Tetapi terfikir pula jika tidak pergi, apa pula katanya dan keputusan perpisahan memang sudahpun nekad dibuat oleh ibu saudaraku itu. Pada saat dia bersedih dan tertekan begini, dia dan anaknya mungkin mencari kekuatan menerusi kami. 

Lalu akupun pergilah.

Dan ternyata ketika ibu saudaraku itu menuturkan hasratnya, anaknya, seorang lelaki berusia 29 tahun, langsung tidak boleh menerima keputusan itu dan menangis teresak-esak .

"I need my family. I want you to be back together," katanya perlahan dalam tangis esaknya. 

Ibu saudaraku dengan tenang meminta maaf kepada anaknya itu kerana katanya sudah tidak sanggup lagi ditipu dan diseksa. Katanya dia sentiasa memohon keampunan dari Allah atas apa jua salah silapnya, termasuklah keputusan yang diambilnya pada Ramadhan hari ke 20 itu.



Friday, August 19, 2011

Tentang ADILA

2 comments


Aku diperkenalkan kepada Klasik Nasional oleh dua orang kawan. 

Pertama seorang sahabat yang sudah aku anggap sebagai abang sendiri dan juga sekaligus adalah juga bekas bossku. Bagi tujuan coretan ini aku menamakannya abang RD sahaja. 

Yang kedua pula ialah seorang bekas rakan sepejabat yang juga mempunyai kebolehan menghafal dialog-dialog lucu dari filem P Ramlee. Aku namakan dia di sini sebagai  IJ dan dia berumur pertengahan 30an. 

Ringkas cerita, asal naik sahaja kereta kedua-dua mereka ini untuk mencari makan tengah hari sekitar KL, hendak tak hendak, mahu tak mahu kita "terpaksa" mendengar Klasik Nasional. 

Abang RD yang merupakan salah seorang manusia paling pemurah pernah aku kenal di dunia ini juga memberitahu anak-anaknya supaya tidak menukar siaran lain dan anak-anakya akur. Mereka sudah amat biasa mendengar Klasik Nasional termasuk ketika pulang ke kampong di Kuala Pilah yang memakan masa 3 jam dari Kuala Lumpur dan juga sepanjang perjalanan dua jam lebih dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar apabila mereka dihantar pulang ke MCKK (dua orang anak abang RD belajar di MCKK, malah abang RD sendiri adalah bekas pelajar MCKK).

Kata abang RD yang berumur 40an ini dia mahu anak-anaknya tahu apa dia irama Melayu, apa dia langgam, keroncong dll dan bagaimana bunyinya lagu-lagu tahun 50an, 60an, 70an dan 80an.

Akhirnya kini, kata abang RD, anak-anaknya sendiri sudah menjadi pendengar setia Klasik Nasional dan akan mendengar saluran radio itu ketika dia tidak ada bersama mereka.

IY juga mewarisi minat mendengar lagu-lagu lama dari ayahnya dan kemudian dari abang-abangnya sendiri.  

Dan jika dia memuat turun lagu dari internet, pilihan IY ialah lagu-lagu lama hinggakan bait lagu berbunyi "tuai padi antara masak esok jangan rindu-rinduan" sudah amat biasa aku dengar kerana kerap dinyanyikan IY yang pernah monyok dua tiga hari ketika tunangnya (kini bekas) membuat hal.

Aku pula masih mengutamakan dua stesen iaitu Era dan Sinar tetapi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah aku memang tidak terlepas menukar ke Klasik Nasional untuk mendengar rancangan bertajuk Aku, Dia dan Lagu atau sering dirujuk sebagai ADILA saja di kalangan para penggemar rancangan ini.

Ia bersiaran setiap Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis antara pukul 5.45 ptg hingga 7 petang.

Awas ! Rancangan ini memang boleh menggamit memori dan meruntun rasa. Ia merupakan ruang untuk para pendengar berkongsi coretan mengenai diri masing-masing yang berkaitan dengan asam garam dan pahit manis kehidupan yang dilalui. 

Sekali dengan sumbangan coretan itu, pendengar juga diberi peluang memilih tiga lagu untuk disiarkan dan lagu-lagu ini selalunya berkaitan dengan peristiwa dan kisah hidup yang sedang disampaikan.  

Sejak aku mendengar ADILA dua bulan lalu, tak tersilap rasanya aku merumuskan kisah yang kerap diceritakan pendengar ialah kehidupan masing-masing ketika kecil bersama ayah dan ibu masing-masing. Di situlah kadang-kadang boleh meleleh air mata dibuatnya mengenang ayah yang sudah tiada dan betapa besar jasanya pada diri ini.

Selain itu banyak juga kisah-kisah bertemakan persahabatan, kekeluargaan, percintaan, keagamaan dan lain-lain.

Lebih menarik lagi, kadang-kadang ADILA menampilkan selebriti untuk menceritakan kisah hidup masing-masing. Yang terbaru dan sempat aku dengar ialah Mat Over atau nama betulnya Sulaiman Yasin. 

Mat Over anak jati Kuala Berang yang lahir sebelum Merdeka dan memang sejak kecil sudah bertekad memasuki dunia hiburan walaupun tidak dipersetujui ayahnya. Satu hari, sebelum ayahnya meninggal dunia, ayahnya mengusap kepala Mat Over dan berkata kalau anaknya itu mahu juga menjadi "artis" dia relakan asal saja dia tidak lupa asal usul. 

Cerita  Mat Over kehidupannya di Kuala Berang di zaman itu amat susah dan sebagai anak sulung dia sentiasa memikirkan bagaimana mencari rezeki untuk membantu ibu membesarkan adik-adik. Katanya satu hari dia hampir menangis melihat ibunya menjual jagung di pasar ketika hendak menyambut Hari Raya tetapi tidak satupun laku. Lalu dia mendekati ibunya dan membuat jenaka "mak orang kampong kita ni agaknya nak beli barang luar negara saja" (di zaman itu barangan luar negara dipandang tinggi termasuk makanan). Dia kemudian meminta izin mengambil jagung itu untuk dijualnya sendiri di pekan. Ternyata tindakannya tepat kerana jagung itu berjaya dijual dan dia berjaya memperolehi untung sebanyak tiga ringgit lebih. 

Dengan duit itu kata Mat Over, dia membeli baju Raya seorang sehelai untuk adik-adiknya dan dia pula membeli slipper Jepun. Itupun katanya hanyalah baju yang dipanggil orang Kuala Berang masa itu sebagai "baju sidai" yang mana hari ini dikenali sebagai "baju bundle." 

(Mat Over menceritakan ini semua dalam keadaan sebak dan cakak tranung)    

Jika sahabat-sahabat yang membaca coretan ini ingin mendengar ADILA yang lepas-lepas bolehlah cuba layari laman ini:

         
Memang pasti menggamit memori.
   

Thursday, August 18, 2011

Tentang Maid of Venus - Al fatihah

4 comments
Al fatihah buat teman on line Maid of Venus atau Kak Med atau nama sebenarnya Neng Salmi Barakbah. Semoga dirimu disucikan dari  segala dosa kembali kepadaNya. Semoga dirimu dimasukkan ke dalam golongan mereka yang mendapat balasan sebaik mungkin di sisiNya. 

Ramai teman-teman on line menceritakan mengenai sifat ceria dan pemurahnya yang aku sendiripun tahu walaupun sekadar memerhatikan dari jauh. 

Beberapa tahun lalu, arwah pernah memberikan alamatnya melalui PM apabila meminta dibelikan fridge magnet Taman Rama-rama Kuala Lumpur sekiranya aku ke situ lagi. Tidak pernah aku tunaikan kerana aku tidak ke situ.     

Sesuatu yang "menggembirakan" aku juga sebagai seorang teman on line beberapa tahun lalu ialah apabila arwah membacakan teks ucapan yang aku karang ketika satu majlis membabitkan teman-teman on line. Gambar arwah menyampaikan ucapan disampaikan kepadaku. 

Al fatihah.  

Monday, August 15, 2011

Tentang berbuka puasa di R&R Awan Besar

2 comments
"Ada lagi?" tanya wanita itu ketika menuruni anak tangga yang semuanya berjumlah empat tingkat sahaja. Dia bertanya sama ada masih ada anak tangga yang harus dituruninya kerana dia cacat penglihatan. Dan dari pengamatanku, dia juga mungkin sakit atau badannya tidak lagi kuat. Terpaksa dipimpin seolah-olah dia akan terjatuh jika dilepaskan. Aku tidak mendengar jelas jawapan diberikan oleh wanita yang sedang memimpinnya kerana suaranya terlalu perlahan.

Aku dan mereka berselisih di  anak tangga itu.

Aku baru keluar dari surau dan mereka pula sedang menuju ke surau yang sama bahagian wanita untuk solat maghrib setelah berbuka di perhentian rehat Awan Besar di KESAS. 

Aku sudah terlebih dahulu berbuka nasi lemak di perhentian rehat itu dan seperti biasa aku memang makan laju (memang dah jenis begitu) dan terus saja mendirikan solat maghrib.

Selepas itulah aku kembali semula ke ruangan makan untuk membeli air minum dan berselisih dengan mereka.

Surau yang aku tinggalkan tadi kosong sahaja manakala tempat makan itu penuh sesak dengan mereka yang masih duduk-duduk menghembuskan asap rokok, bersembang dengan gelak ketawa atau sekadar duduk sambil menggigit straw kosong mendengar celoteh kawan-kawan semeja. 

Pukul berapakah atau adakah mereka ini akan pergi bersolat, aku tidak tahu kerana mereka aku tinggalkan sebaik aku mengambil keputusan tidak jadi membeli air di situ (kerana cuma ada air bergas sahaja).

Cuma aku doakan mereka menjadi insan yang tahu bersyukur terhadap Allah Ta'ala kerana dilahirkan cukup sifat dan cukup panca indera dan tidak perlu dipapah dan ditunjukkan jalan ke surau. Amin.

Thursday, August 11, 2011

Tentang Ramadhan hari ke 11

6 comments
Ramadhan indah yang ke 11. Ketika aku menulis ini aku memakai tiga lapis baju - kemeja, pullover dan blazer. Ya macam telur bungkus rupanya. Nak buat macamana, sejuk hingga ke tulang. Tapi itu tanda yang baik, kata someone tadi, sebab lemak dalam badan berkurangan.  

Sepanjang bulan puasa ini aku membenarkan beberapa orang rakan sekerja untuk berehat di tempat aku ketika waktu lunch. Rehat di sini maksudnya ialah tidur. Ya memang beria-ia mereka tidur. Ada yang membawa sleeping bag, ada yang memakai penutup mata dan ada yang membawa bantal kecil. Dan aku tidak perlu menunggu lama sebelum dengkuran mereka memenuhi kamarku. Hari pertama mereka tidur di sini, aku snap gambar mereka dan aku edarkan melalui email kepada beberapa rakan sepejabat, termasuk juga mereka yang tidur itu. Ada pelbagai gaya dan rupa. Sekali sekala aku suka mendajalkan orang.
Aku memilih meneruskan kerja semasa waktu lunch. Jikapun aku tidur, sekejap sudah memadai untuk aku,  

Alhamdulillah kesihatanku semakin baik. Pada minggu pertama berpuasa kali ini, antara makanan sahurku ialah pain killer dan ubat hypertension. Doktor mengesan darah aku yang katanya tinggi itu sehari sebelum Ramadhan. Dan dokor berpesan aku mesti makan ubat. Aku ke klinik itupun setelah demam dan sakit kepala berpanjangan. 

Oh ya, pada era orang tidak menghantar kad hari raya sekarang ini, aku gembira menerima sekeping kad semalam dari Perdana Leadership Foundation. Cantik kadnya. Jika nak dibandingkan dengan kad Raya syarikat aku, jauh sangat bezanya. Ada yang memberikan komen kad Raya syarikat aku langsung tak menampakkan ciri-ciri hendak menyambut Hari Raya. Tapi bak kata someone, kita janganlah suka over analyze. Kalau dah tertulis ayat Selamat Hari Raya pada kad itu, maka itulah maksudnyapun.     

Semalam juga aku menerima jemputan berbuka puasa dari Majlis Belia Malaysia yang akan berlangsung di Dewan Cempaka, Cempaka Service Suites, Menara PGRM. Di mana tu ? Kenalah aku google kalau aku jadi pergi. 

    

Monday, August 1, 2011