Oleh kerana Empire belum dibuka selepas berlaku letupan baru-baru ini, maka destinasi lepak semalam ditukar ke Midvalley. Tetapi setelah gagal menemui parking kerana terlalu ramai orang datang mahu melihat pameran coklat di situ, destinasi bertukar lagi ke One Utama. Aku pun tak tahu ada pameran coklat di situ sebenarnya.
Penuh !
Memang kereta melimpah sampai ke luar dan pengunjung sudahnya meninggalkan saja kereta mereka ditepi jalan di belah luar. Tapi lainlah kalau anda memandu kereta seperti dalam foto di bawah ini kan ... bolehlah tinggalkan di luar Gardens Hotel tu saja.
Siapalah pemiliknya?
Jadi sudahnya menuju ke One Utama melalui Bangsar. Dan untuk ke sana juga kereta tetap banyak.
Banyaknya kereta...
Nasib baik lepak sesama sendiri saja semalam jadi tak banyak karenah hendak menukar tempat. Jika membabitkan gang yang satu itu, harus ada yang merungut atau terus tidak menunjukkan muka. Di One Utama juga susah mencari ruang parking. Pengawal mengarahkan kami ke bangunan sebelah yang mana terdapatnya RHB Bank. Tapi dari situ rupanya kena naik ke level 2 baru boleh ketemu link ke One Utama.
Sebelum itu pandai-pandai saja aku keluar di Ground Floor dan sudahnya tercari-cari akses ke One Utama. Satu pasangan uncle dan aunty Cina mengikut saja aku dan oleh itu sesat sama. Ini memberikan dia cukup masa untuk menyoal; latar belakang aku ... kerja apa dll. Kemudian sempat pula dia bertanya mengenai ekonomi dan memaksa aku mendengar pula ramalannya mengenai harga komoditi.