Tuesday, February 14, 2012

Tentang Grik

Aku bercadang untuk menerokai Hulu Perak - satu bahagian di negeri Perak yang belum pernah lagi aku terokai. Pelik juga aku tidak pernah ke sebelah sana sedangkan aku lama menetap di Kuala Kangsar yang tidaklah jauh. Tempat paling jauh aku pernah sampai di daerah Hulu Perak ialah Lenggong. Itu pun semasa kecil dulu ketika mengunjungi rumah rakan keluarga. (Masih teringat lagi dijamu ikan keli bakar cicah air asam). 

Sebagai langkah pertama “pengembaraan” ke Hulu Perak ini aku mulakan dengan mencari tempat bermalam.  Sudah pasti aku mahukan yang selesa dan dekat dengan tempat makan. Aku tiada kenalan berasal dari daerah itu yang boleh dijadikan tempat rujukan. Jadi, pilihan yang ada ialah internet.

Di laman Google aku menaip "Grik + hotel" di dalam kotak search dan beberapa link hotel yang terpacul, aku memilih yang atas sekali iaitu Great Wall Hotel. Ada dua nombor telefon tertera. Aku mendail salah satu nombor dan tidak lama kemudian suara seorang gadis berada di hujung talian.

Gadis : Hello
Aku : Hello, itu Great Wall Hotel?
Gadis : Err bukan. Ini kedai Singer. Tapi hotel Great Wall tu kat atas je.

Aku mula terpinga. Tersalah nombor kah?

Aku : Kat atas?
Gadis : Ha’ah. Tapi tuannya sama.
Aku : Hotel ni cantik lagi ke? (Maksud aku sebenarnya ialah nak tanya hotel ini baru ke?)
Gadis : Cantik. Orang yang cakap ni pun cantik.
Aku : Macamana nak tengok?
Gadis :  Datang sini tengoklah.
Aku : Mesti ramai orang (maksud aku ramai orang macamana nak tahu mana satu dia)
Gadis : Memang ramai.
Aku : Siapa nama?.
Gadis : Ayu.*
Aku : Ok lah Ayu.

* aku tukar namanya hehe

Selepas mematikan telefon, aku lihat balik skrin PC. Rupanya nombor yang aku dail tadi ialah no fax untuk hotel berkenaan yang mungkin juga digunakan sebagai nombor telefon untuk kedai di mana gadis tadi bekerja.

Aku telefon pula nombor yang sebenarnya dan dijawab oleh seorang lelaki Cina.

Aku : Hello
Lelaki Cina : Hello
Aku : Saya mahu tanya, room rate you punya hotel.
Lelaki Cina : Oo. RM60 ada. RM90 pun ada. You bila mau mari?
Aku : Belum tau. Tanya dulu. Kalau saya mahu pergi itu Muzium jauh ka? (Maksud aku ialah Muzium Arkeologi)
Lelaki Cina : Oo. Itu mahu tengok Perak Man ka? Itu di Lenggong sana. Belum sampai Grik lagi.
Aku : Dari Lenggong sampai Grik berapa lama?
Lelaki Cina : Dalam 30, 45 minit itu macam.
Aku : Oo. Ok. Nanti saya datang.

Hasil dari pencarian di internet, aku rumuskan kalau aku jadi memulakan "pengembaraan" ini, cuma ada dua perkara yang patut aku tumpukan iaitu sejarah dan keindahan alam. Dan satu lagi sudah tentu aku juga ingin merasakan masakan orang-orang Grik. 

Tapi entah bilanya aku dapat hendak ke sana dengan kerja yang menimbun ini? 


3 comments:

Rin said...

rumah tumpangan ke tu? hehehehe

usahaone said...

hotel atas kedai la tu :)

hk said...

Yup. Bawah tu kedai Singer katanya

Post a Comment