Wednesday, July 13, 2011

Tentang nenek

Serba salah.

Mak ngah aku yang memulakan dan dialah yang terlebih dahulu merasa serba salah diikuti kami adik beradik dan sepupu-sepupu. Kisahnya, mak ngah mahu merujukkan nenek yang terlantar sakit tua kepada ustaz-ustaz untuk melihat sama ada wujud unsur lain menyebabkan dia terus bernafas - walaupun badannya sudah ibarat hanya tinggal kulit sahaja sekarang ini. Mak ngah mahu melihat sama ada wujud saka yang enggan melepaskan nenek pergi. Bagaimanapun ini perlu dibuat tanpa ada sekelumitpun hasrat mahu menyingkatkan umur nenek. Siapa tidak sayangkan nenek yang ketika sihatnya adalah tunjang kekuatan keluarga ini dan oleh itu memang tiada siapa mahu melepaskan dia pergi.

Apa yang mendorong tindakan mak ngah ialah rasa tidak sanggup melihat nenek tersiksa terlantar tanpa sedar apa-apa lagi. Kata mak ngah, rakan-rakan yang sama belajar ilmu perubatan Islam dengannya di Masjid Negeri juga berkongsi pendapat bahawa perlu rujuk nenek  kepada ustaz-ustaz yang mahir dalam hal seperti ini.

Tambahan pula sebelah nenek dari keluarga raja Brunei dan oleh itu mungkin ada penjaganya. Memang kami biasa mendengar pelbagai cerita aneh sejak kecik mengenai kunjungan dan jelmaan benda tertentu yang kata orang-orang tua (datok dan nenek saudara) didatangkan (menjelma) dari Brunei atas sebab tertentu. Wallhualam.
Bagaimanapun, untuk melihat sama ada benar wujud unsur saka,  persetujuan semua mesti diperolehi. Cuma mak ngah bimbang abang aku yang sulung tidak bersetuju. Memang aku pernah rujukkan hal ini pada abangku selepas kami solat maghrib pada satu hari dan jawabnya kalau sudah Tuhan mahu memanjangkan umur nenek kita kena terima saja seadanya.
Oleh itu aku agak terkejut apabila mendapat tahu abangku itu sendiri yang telah membawa seorang ustaz datang ke rumah untuk melihat-lihat nenek.  

Diceritakan pada aku, ustaz berkenaan telah melaungkan azan dan membacakan ayat-ayat suci. Kemudian dia bertanya tentang sebarang senjata tajam diperbuat dari besi yang mungkin ada dsimpan oleh kami. Memangpun nenek ada menyimpan senjata yang dibawa keluarganya dari Brunei. Bersama senjata itu ada macam-macam lagi perkakasan logam yang di bawa sama. Ustaz mengajar bagaimana cara "mematikan" senjata itu supaya ia tidak menjadi tempat tinggal saka. 
Dan seperti yang disuruh oleh ustaz itu juga kami kemudiannya membuangnya ke sungai yang mengalir ke laut.
Kami berserah dan bermohon pada Allah Ta'ala supaya memberikan yang terbaik dan tindak tanduk kami berada di jalannya sentiasa. Biar apa sekalipun, kami tetap menjaga nenek dengan penuh kasih sayang.   

0 comments:

Post a Comment