Terjebak !
Baru-baru ini aku melanggan pakej Astro Mustika untuk membolehkan aku menonton saluran Astro Warna (132). Sebut saja saluran itu, sedia maklumlah aku mahu menonton Maharaja Lawak. Aku mula tertarik apabila terbaca komen rakan-rakan di forum bahawa mutu lelucon yang dipersembahkan agak tinggi dan pintar. Dan aku tidak menunggu lagi apabila pada satu malam terbaca status facebook sahabat baik aku Dr Noridah yang katanya sedang menanti tayangan Maharaja Lawak untuk meringankan kepala setelah bekerja seharian.
Akupun terus melanggan walaupun sebenarnya tidak menyenangi strategi Astro “mengenakan” pengguna. Pada awalnya Astro menayangkan Maharaja Lawak di Astro Ceria (104) tetapi setelah penonton mula mengikuti, ia ditukarkan ke Astro Warna pula yang mana terpaksa dilanggani berasingan.
Bagaimanapun langganan Astro Warna oleh aku ini adalah untuk sementara sahaja. Langganan ini akan dihentikan sebaik Maharaja Lawak tamat. Tidak kuasa aku hendak menyerahkan duit secara berlebihan kepada Astro setiap bulan.
Ingat lagi Astro pernah terbabit dalam isu membuli pengguna? Apabila ia menjadi terlalu dominan dan “berkuasa” ke atas pelanggannya, ia sudahnya memaksakan itu dan ini ke atas mereka sedangkan perkhidmatan dan mutu siarannya bukanlah boleh dibanggakan.
Apabila berlaku hujan dan ribut, siaran pasti terganggu dan melanggaklah pelanggan melihat skrin kosong. Lalu kerajaan, hasil desakan wakil-wakil yang dipilih rakyat, campurtangan menegur Astro di Parlimen. Dan sebagai jalan keluar, Astro memperkenalkan Byond.
Aku sudah lupa kronologi dan kekerapan Astro meminda perkhidmatan atas nama menambah baik sajian hidangannya.
Melalui Byond pelanggan kononnya mendapat kualiti lebih baik kerana dapat menonoton rancangan-rancangan berformat HD tetapi yuran sudah tentulah lain pula – dinaikkan.
Tetapi apa yang pengguna terlepas pandang bukanlah semua rancangan disiarkan dalam bentuk HD pun.
Jika tidak salah, yuran pelanggan biasa juga sudah dinaikkan. Walaupun yuran naik, program tetap masih diulang-ulang. Jika ia program yang popular tidak mengapa juga tetapi kebiasaannya filem yang amat tiada taste dimainkan berulang kali.
Iklan yang melambak-melambak itu pula tidak disusun elok-elok supaya tidak mengganggu tontonan. Tambah jelik apabila sekarang ini promo filem dan drama hantu banyak sangat.
Pendapatan Astro yang dikaut dari kita semua mencecah ratusan juta tetapi cekik tetap cekik. Begitulah dasar kapitalis dan dia tahu dia memonopoli pula.
Jika tidak kerana adanya saluran sukan yang membolehkan aku melihat aksi pasukan kesayangan saban minggu, jika tidak kerana NetGeo, Discovery dan Histroy, sudah lama aku kerat sahaja kabel putih Astro tu.
Bagaimanapun apa yang pasti, setelah tamat Maharaja Lawak nanti, saluran Mustika pasti dipotong dan jimatlah RM12.95 nanti. Dan apa yang pasti lagi (sigh...) aku nampaknya sudah tergolong dalam komuniti yang terjebak menjadikan saluran TV dan kandungannya sebagai satu isu hidup. Siapa suruh ...
Hidup ini lebih indah di zaman sekadar menonton Cumi dan Ciki.
3 comments:
terjebak juga ke? sama dengan le :P
hehe astro kan mmg pentingkan keuntungan...
and i am famous there for being kuat komplain. i think magazine dijadikan option sbb i hentam mereka kaw kaw nearly 4 months.. :P
hehe apa2pon selamat menonton ML
Pak Asan,
Astro Ceria 611 la
104 tu Astro Ria
Post a Comment