Tuesday, May 3, 2011

Tentang Beramal Ibadat

Pada pengamatan aku dari kecil sampailah dewasa ini, nenek dan emak adalah orang yang kuat beramal ibadat.

Perlu dijelaskan, ini adalah mengikut "ukuran" aku sendiri.

Kuat beramal dalam konteks tulisan aku ini ialah berkenaan sembahyang-sembahyang sunat, puasa-puasa sunat, amalan membaca Quran, berzikir, pelbagai jenis doa Rasulllah dan para sahabat serta sedekah jariah.

Jika ada yang mengikut "jejak langkah" nenek dan emak, mereka ialah adik perempuan dan abang sulungku. Aku pula sangat berbeza dan buat malu sahaja. Aku rasa aku memang patuh pada agama tetapi setakat sembahyang dan berpuasa serta menjauhkan diri dari apa yang dilarang. Zikir yang aku amalkan hanya zikir biasa sedangkan apa yang diamalkan nenek, emak dan adik perempuan ku adalah zikir yang aku tidak tahu kewujudannya. Argument aku ialah mana ada "zikir biasa" sebab semuanya sama - memuji kebesaran Allah. Wallhualam.  

Di tepi sejadah tempat nenek dan emak bersolat, diletakkan bertingkat pelbagai kitab-kitab yang jadi rujukan mereka. Tidak pernah dialihkan. Ada yang sudah lusuh kerana diguna bertahun-tahun, ada yang muka surat berlipat-lipat dan ada yang penuh ditandakan dengan pensil dan pen. Ada juga kertas-kertas kecil yang bertulis dengan doa dan zikir diselitkan di celah-celah kitab berkenaan.

Kerana itu juga ketika kejadian emak dipukul perompak tahun lalu, kitab-kitabnya turut terkena percikan darah.

Walaupun kitab-kitab itu sentiasa tersusun di tepi sejadah, selalunya kebanyakan isinya (doa dan zikir) telah mereka hafal kerana diucapkan bertahun-tahun dan melekat dihati dan bibir.

Dan sudah tentulah mereka selalu bising kerana merasakan aku terlalu banyak membuang masa membaca buku fiskyen dan surat khabar. Emak masih ok lagi. Tetapi nenek sampailah ke saat dia terlantar di katil masih tidak faham kenapa aku terlalu suka mendakap surat khabar (dari kecil.) 

Dan emak juga selalu bising mengapa jarang benar aku pergi mendengar ceramah-ceramah di masjid.

Setiap kali tiba waktu berpuasa sunat, sehari sebelum emak sudah pasti menelefon untuk mengingatkan.

Dan sejak emak tahu menghantar SMS, dia pernah cuba menghantar kandungan ceramah yang dihadirinya tetapi tidak jadi kerana katanya terlalu banyak sangat dia nak kena key in. Hehe

Apabila bercakap mengenai topik ini, aku juga teringat kepada beberapa perkara.

Pertamanya sering diceritakan kepada aku nenek pernah "menjumpai" malam lailatul qadar ketika mudanya. Keduanya ketika semua kain baju dan perkakasan rumah nenek musnah terbakar semasa zaman pemerintahan Jepun, satu-satunya benda yang ditemui tidak terjejas ialah surat Yasin miliknya. Ketiganya, aku pernah lihat sendiri di dinding simen bahagian kepala tempat nenek tidur setiap malam terdapat rekahan simen membentuk kalimah Bismillah.       

  


4 comments:

Cik Liza said...

InsyaAllah..
selagi masih hidup.. rezeki menambah ilmu tu tetap ada..;)
good luck yo..

Anonymous said...

Moh kite ...

Rin Ahmad said...

u patut pelajari tu semua dengan mak u... u bertuah kerana mak ada ilmu agama yang cukup tinggi..

jangan sia-siakan apa yang orang lain tak ada..

(^_^)

plug2pin said...

teringat kat arwah nenek ngan arwah mak.
arwah nenek mmg kuat amal ibadah dia. rs menyesal plak tak sempat salin doa yg diamalkan setiap kali org azan, dan usap pada mata, insyaallah mata akan tidak kabur. arwah nenek mmg sampai ke tua tak pernah pakai spek dan mata dia tak rabun. dan terasa sungguh insaf bila di saat dia terlampau uzur dan nyanyuk, yg dia igt satu jer, nak berbuat ibadah...sibuk minta kain smyg sbb nak solat dan asyik nak puasa...walaupun brp rakaat pun dia dah lupa sbb nyanyuk.

arwah mak mmg setiap kali berckp ngan dia, yg paling dia igtkn adalah ibadah, terutama solat. itu yg dipesan setiap kali diakhir perbualan dlm telefon. teringt kata2 dia masa kitaorg tanya pasal jodoh. dia ckp, dia tak kisah siapa menantu dia, keje biasa pun dakper, yg penting seorg yg tak tinggal solat dan blh mengaji Al-quran.
selepas arwah meninggal, kitaorg terjumpa satu kaset yg dia rakamkan sendiri, bacaan Yaasin yg arwah baca. Berderai air mata bila dgr bacaan tu...huhuhu

Post a Comment