Tuesday, February 15, 2011

Tentang Maulidur Rasul


Ketika melepasi simpang Giant Shah Alam semalam ternampak banner mengenai sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor. Ia segera mengingatkan aku kepada dua perkara. Pertamanya sudah lama aku tidak menghadiri majlis sambutan memperingati kelahiran nabi besar junjungan termulia Nabi Muhammad SAW dan keduanya, aku terkenang zaman kanak-kanak di mana sambutan yang "gilang gemilang" dilangsungkan di pekan kecil tempat aku tinggal.

Aku sudah lupa tetapi jikapun aku ada menghadiri majlis Maulidur Rasul ketika sudah dewasa ini, mungkin ia lebih merupakan "paksaan" kerana mewakili majikan.

Selain dari itu, setiap kali datang Maulidur Rasul aku hanya mengucapkan selawat di rumah sahaja, itupun cuma di sebelah pagi.

Ketika aku kecil, sambutan Maulidur Rasul merupakan sesuatu yang istimewa untuk aku. Ia merupakan peluang kedua untuk memakai baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping. Peluang kedua selepas  Hari Raya. Aku dibawa bersama oleh apak menyertai jabatannya dalam sambutan yang dianjurkan oleh majlis daerah. Dan sudah semestinya sebagai kanak-kanak, aku berada di depan sekali, berarak betul-betul di bawah sepanduk yang dihias cantik. Itulah kelebihannya tinggal di sebuah pekan yang kecil kerana apa saja yang berlaku, satu pekan akan tahu dan terbabit  sama.  

Hari ini, perarakan sedemikian tiba-tiba dijadikan isu dan polemik pula oleh golongan berkepentingan. Aku memang bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa ada cara lain lebih afdal menyambutnya iaitu dengan mengadakan majlis ingat-mengingati menjauhkan diri dari kemungkaran dan meningkatkan tekad untuk menjadi terbaik di sisiNya. Tetapi pada masa yang sama, aku juga berpendapat tiada salahnya jika berarak,  sesuatu yang sudah dilakukan di negara ini sejak turun temurun. Ini adalah kerana bukannya kita membuat sesuatu yang mungkarpun malahan ia menjadi pembakar semangat untuk bersatu padu dan untuk menunjukkan apabila berkumpul sebegitu, kita semua sama saja tanpa dibezakan darjat dan keturunan.

Tolonglah berhenti berpolitik disebalik perkara-perkara berkaitan keagamaan.  

Wallahualam.

2 comments:

Cik Liza said...

Selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W yang sentiasa akan menjadi idola kita sepanjang zaman... InsyaAllah

plug2pin said...

Insyaallah semoga Nabi Muhammad sentiasa dlm hati kita

Post a Comment