Friday, February 18, 2011

Tentang Nyonya Kantin

Di satu majlis korporat yang aku hadiri atas urusan kerja dan sudah semestinya atas arahan boss, aku terkejut tiba-tiba ternampak nyonya kantin sekolah aku dulu di antara para hadirin. Kami sama-sama terkejut sebenarnya. Dia masih mengenali aku dan turut kehairanan apa aku buat di situ. Dan aku lagilah pula, nyonya kantin dari sebuah sekolah tidak terkenal di sebuah pekan kecil sedang berada di sebuah majlis korporat di sebuah hotel besar di Kuala Lumpur. Macam tak make sense. Biasalah aku kan berfikiran begitu. Aku tidak dapat pergi segera mendapatkan nyonya itu untuk merungkaikan tanda tanya yang menguasai diri kerana majlis sedang berlangsung.

Ok lah, majlis ini ialah sempena cadangan penyenaraian sebuah syarikat di Bursa Malaysia. Kejayaan tuan punya syarikat ini iaitu seorang taukeh muda, memang mengkagumkan. Jika tidak hebat, tentulah tidak layak syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia kerana listing requirement Suruhanjaya Sekuriti dan juga Bursa Malaysia mesti dipenuhi dulu.

Di majlis itu ada ucapan demi ucapan, sedikit taklimat dan akhirnya pemeteraian perjanjian taja jamin  antara syarikat berkenaan dengan beberapa institusi kewangan. Namun, di tengah-tengah majlis itu, aku tidak terlepas dari rasa ingin tahu mengapa nyonya kantin sekolah aku dulu berada di situ.

Selepas majlis berakhir aku terus menuju ke arah nyonya itu dan dia sendiri tersenyum melihat aku datang. Senyumannya terus mengingatkan aku betapa nyonya yang fasih berbahasa Melayu loghat Perak ini dulu memang mesra dan peramah. Dari rupanya yang sudah agak berumur, aku meneka dia sudah tidak meniaga lagi.

Aku terus bertanya khabar dan mengeluarkan soalan yang aku hendak tanya sangat, "Nya buat apa sini?" (kami memang memanggilnya Nya sahaja)

"Itu hah anak aku...'' kata nyonya itu sambil menuding jari ke arah taukeh muda tadi yang mana sudah tentunya seorang jutawan dan bakal bertambah kekayaannya apabila saham syarikatnya diapungkan di Bursa Malaysia.

"Ko pulak buat apa sini?" tanya nyonya itu.

Terasa sebenarnya aku yang tidak layak bertanya apa dia buat di situ.   

0 comments:

Post a Comment