Pada satu hari pada minggu lepas aku merasa amat malas memandu ke KL. Lalu aku tinggalkan kereta di sebuah stesen minyak di tepi lebuh raya persekutuan dan naik bas yang datang dari Klang dan terus ke KL. Di KL, aku naik bas lain pula ke pejabat.
Ketika balik, aku berjalan ke KLCC, singgah di Auntie Anne’s membeli pretzel dan naik LRT dari stesen KLCC ke stesen Pasar Seni. Ketika menuruni escalator di stesen Pasar Seni, aku nampak seorang peminta sedekah sedang duduk bersimpuh di bawah. Apabila dia nampak aku menyeluk saku dan memegang duit, tangannya segera diangkatkan. Aku, bagaimanapun, sebaik tiba di bawah terus berpatah ke kiri meninggalkan dia terkulat-kulat sebab duit yang aku pegang bukan untuk dia tetapi aku keluarkan untuk membeli tiket bas.
Sedang aku duduk di dalam bas dan menjeling gelagat gadis di sebelahku asyik menjilat jarinya selepas setiap donut yang dimakannya habis, aku tiba-tiba terperasan kunci kereta aku telah tertinggal di pejabat ! Dengan berat hati, aku balik ke pejabat meredah semula kota raya yang sedang sesak pada jam 6 petang.
Dari pejabat aku mengulangi yang sama - berjalan semula ke KLCC, naik semula LRT dari setesen KLCC ke stesen Pasar Seni, turun semula escalator dan berhadapan semula dengan peminta sedekah tadi yang kali ini tidak lagi mengangkat tangan sebaliknya memandang tepat ke arahku seolah kehairanan aku muncul lagi !
Memang aku sudah mahu menyeluk poket sekali lagi mengambil duit untuk membeli tiket bas tetapi tidak jadi berbuat demikian setelah sedar dia memang memandang tepat ke arahku.
Ya, memang kasihan mengeciwakan harapan dia sampai dua kali dalam masa 2 jam tetapi aku masih kuat teringat peristiwa ditipu seorang wanita warga emas dari bangsa yang sama beberapa bulan lalu. Katanya dia pesara guru, membuat aku terus cair. Dia menahan aku di Jalan Raja Chulan dan meminta wang dengan cerita kononnya sedang berkejar ke HUKM kerana suami berada di wad kecemasan. Katanya lagi teksi yang dinaiki tersilap menurunkan dia di Jalan Raja Chulan dan dia telah membayar tambang sebanyak RM45! Menurutnya dia betul-betul perlukan bantuan dan dia boleh menunjukkan kad pesara kalau aku masih ragu-ragu. Seperti yang dikatakan tadi pesara guru membuat aku cair sebab arwah ayah aku juga adalah bekas guru. Aku hulurkan RM30 supaya dia dapat segera ke HUKM. Siap aku tunjukkan dia di mana hendak menunggu teksi.
Minggu hadapannya, di tempat yang sama aku terkejut ditahan wanita yang sama dan membuka cerita yang sama. Ternyata dia tidak perasan sudah pernah berurusan dengan aku sebelumnya. Kali ini aku berlalu tanpa menghulurkan apa-apa.
Beberapa lama selepas itu, dari jauh sekali lagi aku nampak di seberang jalan di kawasan yang sama wanita warga emas berkenaan sedang bercakap-cakap dengan seorang pemuda yang mula menunjukkan muka penuh simpati seperti aku dulu. Aku agak sudah pasti ceritanya sama - suami di HUKM dan teksi tersalah menurunkan dia di situ.
Terdetik hendak melaporkan dia kepada pihak tertentu tetapi memikirkan dia warga emas dan mungkin terdesak, aku hanya memasang harapan dia sedar sendiri.
Kisah wanita warga emas ini pernah aku ceritakan kepada kawan-kawan dan ramai memberi komen bahawa di zaman ini kena semak dan periksa dulu sebelum menghulurkan apa-apa bantuan.
Memang itu betul.
Tetapi ketika turun escalator di Pasar Seni pada minggu lalu itu aku sebenarnya telah membiarkan kepenatan otak dan badan menguasai mood dan fikiran dan dengan itu mungkin telah mengeciwakan insan yang benar-benar memerlukan. Ampunilah aku ya Tuhanku.
2 comments:
OMG... warga emas tu... sgt licik
Entah2 dah ke dalam ...
Post a Comment