Oleh sebab “sudah tiada” tempat berceloteh kerana “masalah” dihadapi satu on line forum tempat aku selalu melepak itu, maka di sinilah sahaja nampaknya aku meneruskan curahan rasa.
Semalam sambil duduk menghadap nasi goreng ikan masin dan telur goreng di sebuah gerai untuk makan tengah hari, sempat aku berbalas SMS dengan Puan Admin forum itu. Dari SMS itu aku faham rasa hatinya dan jika sudah itu keputusannya aku redha dalam sedih.
Aku sendiripun sejak kebelakangan sudah tidak selalu ke forum itu kerana urusan tugas dan menangani beberapa hal peribadi.
Minggu lalu aku memang tidak menang tangan menyiapkan kerja terjemahan untuk sebuah bank dan minggu depan pula mungkin akan duduk bersama seseorang yang mahu berbincang mengenai kemungkinan mengadakan satu projek penerbitan dokumentari.
Untuk yang belum tahu, kerja-kerja di atas itu hanya aku lakukan secara part time kerana aku mempunyai kerja sepenuh masa 9 – 5 yang lain.
Untungnya mempunyai kerja part time seperti itu ialah tidaklah hilang skill tak seberapa yang aku ada di bidang content development ini dan seronoknya pula dapatlah ganjaran upah walaupun tidak sebesar mana.
Di negara ini orang belum tahu menghargai intellectual property, creations of minds dan yang sepertinya ... maka ciput sahajalah bayarannya.
Ini membawa aku teringat pada seorang rakan bernama Zul. Dia seorang ahli ekonomi muda lulusan Cambridge yang aku bukakan pintu untuknya menulis di sebuah majalah bisnes. Aku juga pernah menulis di majalah itu. Setelah dua tiga kali menulis dia berhenti kerana katanya artikel yang sama jika dihantar ke majalah ekonomi di UK akan dibayar ribuan ringgit tetapi di sini hanya RM200 atau RM300 sahaja. Maka dengan itu diapun berhenti menulis.
Tetapi lain pula dengan aku. Selain hanya untuk mengisi masa lapang, bermain dengan ayat dan memilih ungkapan kata merupakan passion yang mesti aku lakukan untuk mengisi jiwa. Wah .. macam bagus benar bunyinya padahal tulisan aku adalah hampas belaka hehe. Ye, siapalah yang berminat dengan tulisan-tulisan yang diisi dengan angka dan statistik ekonomi dan dunia perniagaan yang sengaja disedapkan dengan pelbagai forward looking statements.