Tuesday, March 8, 2011

Tentang Meneruskan Hidup Dengan Lawak Jenaka


Pakcikku ini kalau dibiarkan bercakap boleh membuat kita ketawa pecah perut. Dia kelakar. Dan dengan kebolehan berjenaka begitu, dia mampu melihat semua isu hidup dari sudut yang ringan tanpa mengenepikan hakikat bahawa pentingnya isu itu ditangani.

Kalau ikutkan, hidupnya dibelenggu segala macam masalah dan takdir yang mungkin akan dikeluh oleh sesetengah orang. Kakinya kudung, dipotong kerana diabetes. Anak lelakinya, yang masih kira budak lagi, sudah menjadi pesakit darah tinggi. Seorang lagi anak perempuannya bisu. Perniagaannya pula lingkup hasil campurtangan orang politik. 

Memang ada kalanya dia nampak duduk diam, agaknya memikirkan tentang kehidupannya tetapi bila kita ada berdekatan, ada saja benda lucu yang keluar dari mulutnya. Dan bahan lawaknya itu selalunya berkaitan diri dan masalah hidupnya sendiri.

Semasa minum petang dengannya Sabtu lalu dia bercerita mengenai kaki palsu barunya yang berharga RM12,000 dan sudah tentunya lebih selesa berbanding kaki palsu lamanya yang  berharga RM6000 lebih. Aku tidak tahupun kaki palsu semahal itu.
Katanya kaki palsu lama itu banyak masalahnya. Contohnya, satu hari ketika menunggang motosikal dia telah berhenti di satu simpang kerana lampu merah. Apabila lampu hijau, dia segera menekan  gear kaki menggunakan bahagian tumit kaki palsunya kerana untuk orang sepertinya, disitulah bahagian yang kuat.

Entah macamana tumit kaki palsunya tersangkut pada gear dan apabila cuba ditarik, keseluruhan kaki palsu itu telah tercabut dan terkulai jatuh di atas jalanraya.

Masa itu katanya beberapa orang perempuan yang ada ditepi jalan telah menjerit dan ada yang menutup muka kerana menyangkakan yang terputus itu adalah kaki betul 

Katanya beberapa lelaki lain yang ada berhampiran juga mulanya terkejut tetapi ketawa berdekah-dekah setelah menyedari apa sebenarnya yang berlaku.

Kata pakcikku dia sendiri pun turut ketawa sama semasa mengambil kaki palsunya itu di atas jalan raya.

Kemudian pakcikku bercerita bagaimana berpuluh tahun dulu dia pernah berjenaka dengan emaknya sendiri ketika kaki emaknya juga hendak dipotong dahulu. Katanya dia telah memberitahu emaknya doktor nak potong kaki emak sebab nak pinjam untuk buat kajian kejap.

Aku tak tahulah apa respon nenek saudara aku bila mendengar anaknya berjenaka macam tu. Mungkin jenaka ada tempat dan ada caranya. Dan mungkin juga berjenaka begitu hanya boleh dibuat orang tertentu sahaja.



3 comments:

plug2pin said...

kkdg buat lawak tu utk menutup penderitaan kita di mata org lain

Rin Ahmad said...

siannya yang ketawakan dia... tapi orang yang suka buat lawak ni... sentiasa nampak muda kan?

Cik Liza said...

:)

mcm p.ramlee
suka buat org ketawa..

Post a Comment