Friday, March 25, 2011

Tentang Moving On

Kalau hidup ini seperti permainan-permainan sukan aku memang sentiasa kalah teruk dan kemudian tidak berpeluang pula membetulkan keadaan.

Semalam di Facebook group sekolah lama aku, aku dingatkan mengenai seorang kawan bernama Firdaus yang sudah lama menghilang. Aku memberitahu sahabat-sahabat di dalam group itu kali terakhir aku bertemu Firdaus ialah ketika kami menginjak ke usia 20an di mana secara kebetulan dan tanpa disangka-sangka pasukan kami bertembung dalam satu perlawanan hoki. Aku segera teringat keputusan perlawanan itu. Pasukan aku dibelasah 6 – 1.

Mengingati Firdaus membawa aku terkenang pula kepada satu perlawanan badminton antara aku dan abangku yang berbeza umur cuma 2 tahun. Aku, abangku, Firdaus dan Amir, iaitu abang kepada Firdaus, adalah rakan sepermainan. Aku kalah teruk perlawanan badminton dengan abangku itu 15- 1 dan 15 – 1. Sejak itu, abangku entah kenapa tidak pernah mengajak aku bermain lagi.

Keengganan abangku bermain lagi dengan aku itu membuatkan aku teringat pula kepada perlawanan catur antara aku dengan Mohd Fadzil, bekas rakan serumah aku dulu.

Masa itu dia baru balik dari US dan tinggal dengan aku sementara mencari pekerjaan. Itu kali pertama aku bermain catur dengan Mohd Fadzil dan keputusannya aku kalah. Dengan segera aku memberitahu Mohd Fadzil ingin bermain lagi kerana tidak puas hati kalah.

Mohd Fadzil bagaimanapun bingkas bangun dan sambil berlari ke dapur dan ketawa dia berkata tidak akan bermain catur dengan aku sampai kiamat sekalipun semata-mata kerana hendak memastikan selama-lamanya rekod kekal menunjukkan bahawa dia, Mohd Fadzil, telah mengalahkan aku. Hampeh.

Di lihat dari segi lain juga  jarang sekali kekecewaan yang aku lalui akan mendapat peluang untuk dibetulkan. Ini termasuklah dalam mengejar cita-cita, merealisasikan harapan dan merealitikan impian.

Maknanya, kekecewaan kekal sebagai kehampaan dan lepas itu menjadi titik hitam pula di dalam hidup aku. Malah, ada antara kekecewaan itu yang lebih teruk lagi dari kekalahan 6-1 dan 15-1 hingga aku terduduk dan membisu tak bersuara.

Tetapi ini bagaimanapun membawa aku mengenali perkataan move on. Dan entah sudah berapa kali agaknya di dalam hidup ini aku telah move on.

Aku bernasib baik kerana setiap kekecewaan yang aku lalui dalam hidup ini tidak pula datang dengan diiringi sekali perasaan marah atau dendam. Mungkin ini yang memudahkan untuk orang seperti aku ini move on. To be able to move on, one has to learn to forgive not only the person who have done one wrong but also oneself. Ya aku maafkan saja semua individu-individu yang terbabit di dalam apa jua kegagalan yang pernah aku lalui dan ini termasuklah diri aku sendiri.

Apa yang hendak dimarahkan apabila kita tidak tahu pun punca kenapa kita ditemukan dengan kegagalan dan kita juga bukan boleh meramalkan hasil dari sesuatu usaha melainkan ia adalah suratan takdir kerana Allah tidak mengizinkannya. Tentulah ada hikmah disebalik semua itu dan cuma apa yang kita boleh buat ialah meminimumkan risk supaya tidak jatuh terlalu teruk.

Sesetengah kegagalan di dalam kes aku adalah bersifat kekal dan oleh itu terlalu lama  aku melihat ia dalam bentuk negatif hanya akan memakan diri, menekan emosi dan membuang masa. Jadi biasanya dengan cepat aku mencari dan memilih untuk melihat benda-benda  positif dari sesuatu kegagalan yang mana, malangnya, sudah pastilah tiada apapun dari segi emosinya tetapi ada dari segi pengajaran dan pengalaman.

Lain orang lain caranya. Untuk diri aku, Alhamdulillah mungkin aku berdaya  bangun dengan cepat dan mampu nyahkan sahaja apa yang berlaku. Aku matikan sahaja di dalam mindaku apa-apa kekaburan yang ada sebab sesetengah kekaburan tidak mungkin menjadi jelaspun apabila tiada upaya kita mengelapnya.

Aku juga ringkaskan saja setiap cerita kegagalan kerana tidak ada gunanya pun mengingati kronologi panjang dan plot-plot bagaimana ia berlaku sebab bukan boleh dijadikan drama yang seronok ditontonpun.

Aku sematkan dalam hati dan minda bahawa semuanya adalah okay sebab kadang-kadang bila kita singkap balik kegagalan kita itu, apa yang berlaku  sebenarnya tidaklah teruk sangat. Kadang-kadang kita mungkin rasa tertekan sebab mental penat dan kering kontang dihisap oleh penyakit (masalah dan mainan emosi) yang datang.

Yang penting ialah stay positive kerana fikiran positif adalah lebih terbuka terhadap jalan penyelsesaian berbanding fikiran negatif yang asyik memikirkan benda karut-karut.

Bagaimanapun, barang diingat, setakat menulis seperti di atas dan setakat cakap saja senanglah kan. Sedangkan hakikat sebenarnya ...

Dan Mohd Fadzil mengajar aku bahawa dalam hidup ini bukan semua orang dapat peluang kedua.




5 comments:

watachiwa said...

kecewa yer pak Asan bukan Keciwa

hk said...

Terima kasih daun keladi Wata.

plug2pin said...

sbb tu walaupun peluang pertama yg diberi, kita patut berusaha sehabis baik..sbb peluang kedua belum tentu akan dpt

plug pun jenis yg senang nak move on..mls nak pikir benda2 dah lps. Dan for me, apa yg terjadi kat plug, ada sebab musabab yg Allah bg..supaya plug lebih byk berpikir dan muhasabah diri..

Rin Ahmad said...

setiap kekecewaan ada ubatnya...
bersabarlah wahai sahabat...
kalau kita rasa kecewa hari ini,
ramai lagi lebih teruk dari kita...

Cik Liza said...

keciwa orang lain takde sapa tau
kita hanya tahu kecewa sendiri.. :)

Post a Comment