Thursday, March 3, 2011

Tentang Hantaran Perkahwinan

Kalau hendak membuat hantaran perkahwinan jangan memandai sendiri tetapi rujuklah pada pakar - siapa lagi kalau bukan makcik-makcik kita.

Aku bukanlah suka ambil tahu pasal barang hantaran dan persiapan kahwin saudara mara ni dan pembabitan aku biasanya cuma berkaitan fotografi sahaja (jika ada yang kurang bajet mengupah jurugambar, akulah diminta mengangkat kamera dan aku tidak menolak asalkan mereka faham mutu gambar aku banyak kekurangan).

Jadi biasanya kalau ada mesyuarat sempena majlis perkahwinan saudara mara ni, tujuan utama aku hadir cuma untuk makan dan menyakat mengusik sepupu-sepupu dan anak-anak buah saja, mana yang patut. So, rekod kedatangan aku memang bagus.

Di samping itu, apabila ada mesyuarat keluarga seperti ini, aku juga suka mendengar (tak boleh elak sebenarnya) komen-komen emak-emak saudara mengenai apa saja menjelang majlis berlangsung.

Selalunya ini berkaitan perkara yang layak diberi tajuk besar iaitu "BENDA-BENDA YANG TIDAK KENA."

Ya, pada pada emak-emak saudaraku, ada banyak benda-benda yang tidak kena. Otai knows best kan? Sudah menjadi kebolehan mereka menghidu benda yang tidak kena dan orang seperti aku dan sepupu-sepupu aku yang tak kisah ini, harus mendengar dan mengambil iktibar teguran mereka, walaupun telinga pedih.  

Perkahwinan sepupu aku hujung minggu lepas juga tidak terlepas - ada yang mereka kesan tidak kena sehari dua sebelum akad nikah.

Yang pertamanya, sepupu aku yang busy ini telah main order saja barang hantarannya dari satu laman web. Padahnya dekorasi barangan hantaran berkenaan, yang pada aku sudah cukup cantik, telah tidak menepati cita rasa makcik-makcik aku.

Dan ini disedari salah seorang makcik aku sehari dua sebelum pernikahan berlangsung kerana memang kebiasaannya apabila majlis sudah hampir barulah mereka (makcik-makcik aku) datang buat final inspection. Kata makcik aku, bunga yang menghiasi hantaran itu terlalu kecil dan tak sama dengan yang ditunjukkan di laman web.

Dan apabila masalah begini dikesan, yang terpaksa membetulkan semula keadaan ialah siapa lagi .... makcik kita juga.

Seorang makcik yang handal kratftangan datang dengan bakul ajaibnya yang penuh riben, gam UHU, bunga tiruan plastik, bunga tiruan kertas pelbagai saiz dan dawai berwarna hijau dan duduklah dia membuat kerja-kerja alteration sambil ditemani komen-komen siaran langsung dari makcik-makcik yang lain pula.

Seperkara lagi, sepupu aku yang mahu berkahwin ini menggunakan terlalu banyak gajet sebagai hantarannya. Aku diberitahu ada laptop (tapi aku tak nampak pula) dan ada Blackberry, kamera DSLR Nikon D90 dan jam tangan yang aku tak sempat belek.

Oleh kerana terlalu banyak gajet (empat banyak kan?) maka sepupu aku tanpa berunding dengan makcik-makcik aku telah memutuskan supaya kuih kacau (sejenis manisan tradisi dibuat dari labu yang dikacau seperti dodol tetapi berwarna hijau) dikeluarkan dari senarai barang hantaran.

Ini membuat makcikku menggaru kepala. Katanya ini tidak kena sebab kuih kacau sudah menjadi identiti keluarga dan wajib dijadikan  barang hantaran dalam apa keadaan sekalipun.

Ketika makcik-makcikku tengah kecoh pasal kuih kacau itu, seorang sepupu lain yang bakal kahwin bulan Julai depan pula membuka cerita dia baru saja rancang rancang nak letak remote control TV atas dulang hantarannya nanti.

Katanya bukan apa, ini cara dia nak jimat belanja. TV tu sebenarnya sudahpun dibeli dan digunakan sekali sekala. Jadi bila nak kahwin nanti sepupu aku ini suruh makcik aku ikat saja remote control tu dengan riben cantik-cantik dan letak atas dulang.

Mendengar ini, seorang makcik aku terus angin dan mula pot pet pot pet. Aku cuma sempat dengar perkataan "tak pernah dibuat orang" saja sebab aku dah lari keluar untuk tambah makanan.

4 comments:

Mama Datt n Dania said...

tp btol la.. skrg ni byk no benda pelik2 atas pahar (dulang) hantaran tuh. masa kezen kawin dulu hantaran nya adalah sepasang selipar adidas kaler merah! menggeleng kepala semua org.

xsemenggah!

Rin Ahmad said...

HK.. siapakah makcik yang bawak bakul ajaib itu? adakah dia makcik ku jugak? wakakakakakak

hk said...

Kekeh: Selipar? Biar betul hehe
Rin : Alamak, adakah kita berkongsi makcik? Oh tidak.

Hot Mummy said...

ni blog IG ans jugak ek?

Post a Comment