Friday, October 7, 2011

Tentang Hari Belanjawan

Nampaknya mulai kali ini perkataan "Belanjawan" kembali digunakan setelah tahun sebelumnya ia dipanggil sebagai "Bajet."

Teringat suasana di tempat kerja lama aku dulu pada hari pembentangan Belanjawan. Keterujaan sudah bermula sejak pagi dan membawa ke tengah malam. Sejak pagi di white board sudah tertulis senarai tugas masing-masing. Pembentangan bermula jam 4 petang tetapi jam 2 atau 3 petang polis sudah tiba di pejabat mengiringi laporan belanjawan yang hanya akan dibacakan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat dua jam lagi. Boss kami menerima laporan itu dan lalu masuk ke bilik mesyuarat dengan boss-boss lain dengan kawalan ketat. Semuanya rahsia besar dan negara serta dunia akan hanya mengetahuinya mulai jam 4 ptg.

Laporan Belanjawan berkenaan dipisah-pisahkan mengikut topik dan kemudian diserahkan kepada kuli-kuli seperti kami yang sememangnya juga sangat teruja dan sudah sedia duduk di depan PC. Bahagian untuk aku (dan rakan-rakan dari seksyen yang sama) sudah semestinya yang berkaitan sektor kewangan dan pasaran modal. Selepas menerimanya melilaulah biji mata membaca mencari points yang harus diketengahkan untuk pengetahuan rakyat dan negara. 

Sesudah siap, ia akan disemak dan sudah pastinya dikepala hasil kerja kami itu akan tertulis besar perkataan EMBARGO, NOT FOR PUBLICATION UNTIL 4.00 PM. 

Kami bekerja sehingga lewat malam walaupun Menteri Kewangan mungkin sudahpun masuk tidur. Makan malam kami hanyalah apa sahaja yang sempat dan jika bernasib baik ofis memesan makanan segera seperti KFC.

Pekerja di bahagian grafik pula ada yang tidur di dalam kereta, tak berani hendak balik takut ada grafik yang  tersalah atau takut tiba-tiba dipanggil kerana perlu membuat grafik tambahan.

Tadi seorang rakan yang masih bekerja di situ bercerita keadaan masih sama di mana staff yang bertugas akan dikuarantin dan kini ada pula satu dua tambahan kawalan seperti handphone masing-masing mesti diserahkan atau dimatikan.      

Begitulah serba sedikit gambaran tugas dan tanggungjawab kami yang bekerja di belakang tabir.


0 comments:

Post a Comment