Monday, August 15, 2011

Tentang berbuka puasa di R&R Awan Besar

"Ada lagi?" tanya wanita itu ketika menuruni anak tangga yang semuanya berjumlah empat tingkat sahaja. Dia bertanya sama ada masih ada anak tangga yang harus dituruninya kerana dia cacat penglihatan. Dan dari pengamatanku, dia juga mungkin sakit atau badannya tidak lagi kuat. Terpaksa dipimpin seolah-olah dia akan terjatuh jika dilepaskan. Aku tidak mendengar jelas jawapan diberikan oleh wanita yang sedang memimpinnya kerana suaranya terlalu perlahan.

Aku dan mereka berselisih di  anak tangga itu.

Aku baru keluar dari surau dan mereka pula sedang menuju ke surau yang sama bahagian wanita untuk solat maghrib setelah berbuka di perhentian rehat Awan Besar di KESAS. 

Aku sudah terlebih dahulu berbuka nasi lemak di perhentian rehat itu dan seperti biasa aku memang makan laju (memang dah jenis begitu) dan terus saja mendirikan solat maghrib.

Selepas itulah aku kembali semula ke ruangan makan untuk membeli air minum dan berselisih dengan mereka.

Surau yang aku tinggalkan tadi kosong sahaja manakala tempat makan itu penuh sesak dengan mereka yang masih duduk-duduk menghembuskan asap rokok, bersembang dengan gelak ketawa atau sekadar duduk sambil menggigit straw kosong mendengar celoteh kawan-kawan semeja. 

Pukul berapakah atau adakah mereka ini akan pergi bersolat, aku tidak tahu kerana mereka aku tinggalkan sebaik aku mengambil keputusan tidak jadi membeli air di situ (kerana cuma ada air bergas sahaja).

Cuma aku doakan mereka menjadi insan yang tahu bersyukur terhadap Allah Ta'ala kerana dilahirkan cukup sifat dan cukup panca indera dan tidak perlu dipapah dan ditunjukkan jalan ke surau. Amin.

2 comments:

Rin Ahmad said...

kan? time2 berbuka tu.. leka mereka2 itu dengan juadah.. sambil bergelak ketawa gembira kerana dapat mengisi perut yang seharian kelaparan dan kehausan... tapi mereka2 itu lupa... siapakah yang memberi itu semua?

moga2 kita diberikan petunjuk... Amin!

plug2pin said...

syukur alhamdulillah kita diberi akal dan hati utk pikir semua benda tu

Post a Comment