Friday, August 19, 2011

Tentang ADILA



Aku diperkenalkan kepada Klasik Nasional oleh dua orang kawan. 

Pertama seorang sahabat yang sudah aku anggap sebagai abang sendiri dan juga sekaligus adalah juga bekas bossku. Bagi tujuan coretan ini aku menamakannya abang RD sahaja. 

Yang kedua pula ialah seorang bekas rakan sepejabat yang juga mempunyai kebolehan menghafal dialog-dialog lucu dari filem P Ramlee. Aku namakan dia di sini sebagai  IJ dan dia berumur pertengahan 30an. 

Ringkas cerita, asal naik sahaja kereta kedua-dua mereka ini untuk mencari makan tengah hari sekitar KL, hendak tak hendak, mahu tak mahu kita "terpaksa" mendengar Klasik Nasional. 

Abang RD yang merupakan salah seorang manusia paling pemurah pernah aku kenal di dunia ini juga memberitahu anak-anaknya supaya tidak menukar siaran lain dan anak-anakya akur. Mereka sudah amat biasa mendengar Klasik Nasional termasuk ketika pulang ke kampong di Kuala Pilah yang memakan masa 3 jam dari Kuala Lumpur dan juga sepanjang perjalanan dua jam lebih dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar apabila mereka dihantar pulang ke MCKK (dua orang anak abang RD belajar di MCKK, malah abang RD sendiri adalah bekas pelajar MCKK).

Kata abang RD yang berumur 40an ini dia mahu anak-anaknya tahu apa dia irama Melayu, apa dia langgam, keroncong dll dan bagaimana bunyinya lagu-lagu tahun 50an, 60an, 70an dan 80an.

Akhirnya kini, kata abang RD, anak-anaknya sendiri sudah menjadi pendengar setia Klasik Nasional dan akan mendengar saluran radio itu ketika dia tidak ada bersama mereka.

IY juga mewarisi minat mendengar lagu-lagu lama dari ayahnya dan kemudian dari abang-abangnya sendiri.  

Dan jika dia memuat turun lagu dari internet, pilihan IY ialah lagu-lagu lama hinggakan bait lagu berbunyi "tuai padi antara masak esok jangan rindu-rinduan" sudah amat biasa aku dengar kerana kerap dinyanyikan IY yang pernah monyok dua tiga hari ketika tunangnya (kini bekas) membuat hal.

Aku pula masih mengutamakan dua stesen iaitu Era dan Sinar tetapi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah aku memang tidak terlepas menukar ke Klasik Nasional untuk mendengar rancangan bertajuk Aku, Dia dan Lagu atau sering dirujuk sebagai ADILA saja di kalangan para penggemar rancangan ini.

Ia bersiaran setiap Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis antara pukul 5.45 ptg hingga 7 petang.

Awas ! Rancangan ini memang boleh menggamit memori dan meruntun rasa. Ia merupakan ruang untuk para pendengar berkongsi coretan mengenai diri masing-masing yang berkaitan dengan asam garam dan pahit manis kehidupan yang dilalui. 

Sekali dengan sumbangan coretan itu, pendengar juga diberi peluang memilih tiga lagu untuk disiarkan dan lagu-lagu ini selalunya berkaitan dengan peristiwa dan kisah hidup yang sedang disampaikan.  

Sejak aku mendengar ADILA dua bulan lalu, tak tersilap rasanya aku merumuskan kisah yang kerap diceritakan pendengar ialah kehidupan masing-masing ketika kecil bersama ayah dan ibu masing-masing. Di situlah kadang-kadang boleh meleleh air mata dibuatnya mengenang ayah yang sudah tiada dan betapa besar jasanya pada diri ini.

Selain itu banyak juga kisah-kisah bertemakan persahabatan, kekeluargaan, percintaan, keagamaan dan lain-lain.

Lebih menarik lagi, kadang-kadang ADILA menampilkan selebriti untuk menceritakan kisah hidup masing-masing. Yang terbaru dan sempat aku dengar ialah Mat Over atau nama betulnya Sulaiman Yasin. 

Mat Over anak jati Kuala Berang yang lahir sebelum Merdeka dan memang sejak kecil sudah bertekad memasuki dunia hiburan walaupun tidak dipersetujui ayahnya. Satu hari, sebelum ayahnya meninggal dunia, ayahnya mengusap kepala Mat Over dan berkata kalau anaknya itu mahu juga menjadi "artis" dia relakan asal saja dia tidak lupa asal usul. 

Cerita  Mat Over kehidupannya di Kuala Berang di zaman itu amat susah dan sebagai anak sulung dia sentiasa memikirkan bagaimana mencari rezeki untuk membantu ibu membesarkan adik-adik. Katanya satu hari dia hampir menangis melihat ibunya menjual jagung di pasar ketika hendak menyambut Hari Raya tetapi tidak satupun laku. Lalu dia mendekati ibunya dan membuat jenaka "mak orang kampong kita ni agaknya nak beli barang luar negara saja" (di zaman itu barangan luar negara dipandang tinggi termasuk makanan). Dia kemudian meminta izin mengambil jagung itu untuk dijualnya sendiri di pekan. Ternyata tindakannya tepat kerana jagung itu berjaya dijual dan dia berjaya memperolehi untung sebanyak tiga ringgit lebih. 

Dengan duit itu kata Mat Over, dia membeli baju Raya seorang sehelai untuk adik-adiknya dan dia pula membeli slipper Jepun. Itupun katanya hanyalah baju yang dipanggil orang Kuala Berang masa itu sebagai "baju sidai" yang mana hari ini dikenali sebagai "baju bundle." 

(Mat Over menceritakan ini semua dalam keadaan sebak dan cakak tranung)    

Jika sahabat-sahabat yang membaca coretan ini ingin mendengar ADILA yang lepas-lepas bolehlah cuba layari laman ini:

         
Memang pasti menggamit memori.
   

2 comments:

plug2pin said...

sedihnya citer mat over tu..teringat zaman kesusahan masa dulu2..huhuhu

zarul said...

Dengar lagu klasik! Lagi cool... :P

Post a Comment